Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Amerika hantar kapal perang sokong Israel

Oct 9, 2023 | 12:14 PM
TINGKAT SKUADRON: Kereta kebal Israel dilihat berada di jalan raya berikutan penyusupan beramai-ramai pejuang bersenjata Hamas dari Semenanjung Gaza, berhampiran Sderot di selatan Israel pada 8 Oktober 2023.
TINGKAT SKUADRON: Kereta kebal Israel dilihat berada di jalan raya berikutan penyusupan beramai-ramai pejuang bersenjata Hamas dari Semenanjung Gaza, berhampiran Sderot di selatan Israel pada 8 Oktober 2023. - Foto AFP

WASHINGTON: Presiden Encik Joe Biden mengeluarkan kenyataan untuk mengarahkan kapal dan pesawat perang Amerika Syarikat (AS) untuk mendekati Israel sebagai tanda sokongan, sambil menghantar bantuan ketenteraan baru selepas serangan oleh kumpulan Hamas.

Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, berkata pihaknya sedang melihat permintaan tambahan khusus oleh Israel.

“Saya fikir anda mungkin akan mendengar lebih lanjut mengenainya (bantuan ketenteraan) hari ini (Ahad). “Arahan Presiden (Joe) Biden adalah untuk memastikan kami menyediakan semua yang diperlukan Israel pada masa ini untuk menangani serangan daripada Hamas,” kata Encik Blinken kepada CNN.

Pentagon mengumumkan bahawa mereka akan mengirimkan kapal pengangkut pesawat USS Gerald R Ford bersama dengan kapal perang yang menyertainya ke kawasan Timur Mediterranean. Selain itu, skuadron pesawat pejuang Amerika akan ditingkatkan di rantau tersebut. Komando Pusat AS telah mengesahkan bahawa kapal dan pesawat telah mula bergerak ke lokasi baru tersebut.

Rumah Putih segera menegaskan sokongan mereka kepada Israel, yang telah menghadapi serangan mengejut dari Semenanjung Gaza. Amerika menyatakan sokongan mereka sebagai ‘utuh’ dan memberikan amaran kepada pihak lain untuk tidak campur tangan dalam konflik ini.

Pada Ahad, Encik Biden berbincang dengan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dan mengumumkan bahawa “bantuan tambahan untuk Angkatan Pertahanan Israel sedang dalam perjalanan ke Israel, dengan lebih banyak bantuan dijangka akan tiba dalam beberapa hari akan datang,” kata Rumah Putih.

Mereka juga membincangkan usaha berterusan untuk memastikan bahawa musuh Israel tidak percaya mereka boleh atau sepatutnya mencari kelebihan dalam situasi semasa ini.

Presiden Biden kemudian menegaskan bahawa mereka memberi “sokongan penuh kepada pemerintah dan rakyat Israel dalam menghadapi serangan yang belum pernah terjadi sebelumnya dan mengerikan oleh Hamas.”

Hamas, di pihak lain, menuduh Amerika sebagai pembekal utama senjata kepada Israel sebagai “penyertaan sebenar dalam pencerobohan terhadap rakyat kami” dengan penghantaran kapal pengangkut pesawat tersebut.

Dalam usaha untuk mengatasi konflik ini, Encik Netanyahu telah mengerahkan puluhan ribu tenteranya untuk memerangi pasukan Hamas yang menduduki Gaza. Selain kapal induk USS Gerald R Ford, AS juga telah menggerakkan kapal penjelajah peluru berpandu dan empat kapal pemusnah peluru berpandu ke kawasan tersebut.

Encik Blinken berkata serangan terbaru terhadap Israel oleh Hamas, mengganggu potensi menjalinkan hubungan diplomatik antara Israel dan Arab Saudi. Katanya, Amerika turut mengambil perhatian mengenai laporan bahawa beberapa orang rakyatnya terbunuh di Israel.

Washington sedang mengesahkan butiran dan angka kematian, tambah Encik Blinken dalam wawancara pada Ahad dengan CNN.

Timbalan Penasihat Keselamatan Negara AS, Encik Jon Finer, berkata adalah terlalu awal untuk menentukan bagaimana serangan ke atas Israel berlaku.

“Wujud kemungkinan ada peranan dimainkan Iran, atau sama ada serangan itu bertujuan menggagalkan rundingan jalinan hubungan diplomatik Arab Saudi-Israel,” katanya.

Namun, tambah beliau, adalah menjadi kepentingan kedua-dua negara untuk meneruskan rundingan mencapai kemungkinan itu.

Encik Finer berkata demikian dalam temu bual di Fox News Sunday, merujuk kepada usaha Arab Saudi dan Israel untuk menjalin hubungan diplomatik. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg