Singapura meminta agar semua keganasan segera dihentikan menyusuli pertempuran antara Hamas dari Palestin dengan Israel pada Sabtu.
Menerusi satu kenyataan pada Sabtu malam, jurucakap Kementerian Ehwal Luar (MFA) berkata Singapura turut mengecam serangan roket dan pengganas dari Gaza terhadap Israel, yang telah mengakibatkan ramai orang awam yang tidak bersalah terkorban dan tercedera.
“Ingatan kami bersama keluarga mangsa,” ujar jurucakap itu.
Menurut kenyataan itu, Singapura juga menggesa semua pihak berusaha terbaik mungkin untuk melindungi keselamatan orang awam.
Tambahnya, tiada warga Singapura yang dilaporkan terjejas.
Bagaimanapun, warga Singapura di Israel dinasihat agar menetap dekat tempat yang terlindung dan elak daripada perjalanan yang tidak perlu.
Mereka juga harus kekal berjaga-jaga dan memantau berita dengan dekat.
Mereka harus mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan mengambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan masing-masing.
Menurut kenyataan itu, warga Singapura juga harus mengelak daripada semua perjalanan ke selatan Israel.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg