Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Amerika kenang 24 tahun serangan 11 September

Sep 12, 2025 | 11:44 AM
Seorang wanita menanam bendera sempena peringatan 9/11 yang dianjurkan oleh Yayasan Amerika Muda, di luar Bangunan Capitol Amerika Syarikat di Washington, DC pada 11 September 2025, bersempena ulang tahun ke-24 serangan 9/11. New York pada hari yang sama turut memperingati tragedi dahsyat 11 September 2001, 24 tahun selepas rampasan pesawat yang meragut hampir 3,000 nyawa dan mengubah Amerika Syarikat untuk selama-lamanya.
Seorang wanita menanam bendera sempena peringatan 9/11 yang dianjurkan oleh Yayasan Amerika Muda, di luar Bangunan Capitol Amerika Syarikat di Washington, DC pada 11 September 2025, bersempena ulang tahun ke-24 serangan 9/11. New York pada hari yang sama turut memperingati tragedi dahsyat 11 September 2001, 24 tahun selepas rampasan pesawat yang meragut hampir 3,000 nyawa dan mengubah Amerika Syarikat untuk selama-lamanya. - Foto AFP

NEW YORK: Hampir suku abad berlalu sejak tragedi 11 September 2001, namun ingatan dan emosi terhadap serangan paling berdarah dalam sejarah Amerika masih segar.

Pada Khamis, 11 September rakyat Amerika memperingati ulang tahun ke-24 serangan itu dengan upacara penuh hening di New York, Pentagon dan Shanksville, Pennsylvania. Suasana diingati dengan detik hening, dentingan loceng dan pembacaan hampir 3,000 nama mangsa yang terkorban.

“Walaupun sudah 24 tahun, ia tetap menyayat hati,” kata Cik Jennifer Nilsen, yang memakai baju-T bergambar mendiang suaminya, Encik Troy Nilsen, ketika hadir di tapak Ground Zero, Manhattan. “Perasaannya sama setiap tahun.”

Cik Michelle Pizzo, yang turut hadir dengan baju bergambar suaminya Encik Jason DeFazio, menambah: “Generasi muda perlu diingatkan. Mereka harus tahu, kita tidak boleh melupakan hari ini.”

Di New York, ribuan orang berkumpul di sekitar dua kolam peringatan yang dibina di lokasi menara berkembar runtuh. Cik Emma Williamson, 20 tahun, sanggup meninggalkan kuliahnya untuk berada di sana. “Setiap tahun, saya rasa tanggungjawab untuk hadir dan berdiri di sini,” katanya.

Di Pentagon, Presiden Donald Trump dan Wanita Pertama Cik Melania Trump menghadiri majlis memperingati 184 mangsa yang terbunuh apabila pesawat penumpang merempuh ibu pejabat ketenteraan Amerika. “Sebagai satu bangsa, kita memperbaharui sumpah bahawa kita tidak akan pernah melupakan 11 September 2001,” kata Trump dalam ucapannya. “Musuh akan sentiasa gagal. Kita menentang ketakutan, kita bertahan dalam api.”

Di padang terpencil di Shanksville, Pennsylvania, Setiausaha Hal Ehwal Veteran Doug Collins mengetuai upacara memperingati penumpang dan kru Penerbangan 93, yang terkorban selepas cuba menggagalkan rampasan pesawat. “Keberanian mereka menyelamatkan banyak nyawa di sini,” kata Collins.

Serangan al-Qaida pada 2001 mengorbankan 2,977 orang, termasuk pekerja kewangan di World Trade Center, anggota bomba dan polis yang bergegas menyelamatkan mangsa.
Kesan tragedi ini terus dirasai.

Amerika Syarikat membelanjakan berbilion dolar bagi merawat ribuan mangsa yang terdedah kepada debu toksik. Menurut Pusat Kawalan Penyakit (CDC), lebih 24,000 penyelamat menghidap barah akibat pendedahan itu, manakala lebih 8,000 lagi telah meninggal dunia.

Cik Valentina Lygin, 78 tahun, hadir ke plaza peringatan di New York dengan sekuntum bunga untuk anaknya, Alexander Lygin, seorang juruprogram komputer berusia 28 tahun yang bekerja di tingkat 104 menara utara.

“Kami berlari ke Manhattan pada hari itu, berharap membawa pulang anak kami,” katanya sebak. “Akhirnya hanya lesen memandunya ditemui dalam runtuhan.”
Sejak itu, beliau datang setiap tahun pada 11 September dan hari lahir anaknya. “Apa yang saya mahu hanyalah orang terus mengingati,” ujarnya.

Di tapak peringatan 9/11, nama-nama mangsa dibacakan dengan penuh khusyuk, diiringi bunyi bagpipe dan cello.
Bacaan nama dihentikan lima kali, menandakan detik penting: ketika pesawat merempuh menara, Pentagon, serta apabila menara utara dan selatan tumbang.

“Bayangan mereka masih bersama kami,” kata Kapten Christopher A. Smith dari Ladder 118, sebuah balai bomba yang kehilangan lapan anggota termasuk Scott Davidson, ayah pelawak Pete Davidson.

Walaupun biasanya kempen politik dihentikan pada 11 September, namun tempiasnya tetap terasa. Dua calon Datuk Bandar New York,Encik Zohran Mamdani yang berpotensi menjadi Datuk Bandar Muslim pertama dan bekas gabenor Encik Andrew Cuomo, sama-sama hadir ke tapak peringatan.

Encik Cuomo ditemani Encik Sal Turturici, bekas paramedik bomba yang menghidap barah akibat bertugas di Ground Zero. “Beliau berjuang untuk manfaat keluarga mangsa 9/11,” kata Encik Turturici, memberi sokongan kepada Encik Cuomo.

Di seluruh Amerika, ulang tahun 11 September turut ditandai dengan aktiviti khidmat masyarakat daripada derma darah, mengutip makanan, hingga membersihkan taman awam.
Bagi ramai rakyat Amerika, tragedi ini bukan sekadar memori, tetapi pengingat bahawa perpaduan nasional adalah benteng menghadapi cabaran.

“Walaupun kita telah berubah, satu perkara kekal,” kata Encik Trump. “Kita tidak akan pernah melupakan mereka yang terkorban pada hari itu. Dan kita tidak akan membiarkan musuh menang.” - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg