WASHINGTON: Amerika Syarikat mengumumkan kelulusan penjualan bom, peluru berpandu, dan peralatan berkaitan kepada Israel, bernilai lebih daripada AS$7.4 bilion ($10.12 bilion) pada 7 Februari.
Semasa perang selama 15 bulan di Gaza, Israel telah menggunakan senjata buatan Amerika yang mempunyai kesan dahsyat ke kawasan padat itu.
Kementerian Luar Negeri Amerika telah memberi kelulusan untuk penjualan bom, kit panduan dan pemetik bernilai US$6.75 bilion, selain peluru berpandu Hellfire bernilai AS$660 juta, menurut Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan Amerika Syarikat (DSCA).
Usulan penjualan bom ini “meningkatkan keupayaan Israel untuk menghadapi ancaman semasa dan masa depan, memperkukuh pertahanan tanah airnya, dan berfungsi sebagai pencegah kepada ancaman serantau,” kata DSCA dalam satu kenyataan.
Manakala, penjualan peluru berpandu itu akan “meningkatkan keupayaan Israel untuk menghadapi ancaman semasa dan masa depan dengan mempertingkatkan keupayaan Tentera Udara Israel mempertahankan sempadan Israel, infrastruktur penting, dan pusat penduduk (berkumpul),” tambahnya.
Israel melancarkan serangan yang sangat dahsyat di Gaza pada Oktober 2023 sebagai tindak balas kepada serangan kejutan Hamas pada 7 Oktober 2023.
Perang ini telah memusnahkan sebahagian besar Gaza – sebuah wilayah pesisir padat di Laut Mediterranean – menyebabkan ramai penduduknya kehilangan tempat tinggal, lapor AFP.
Namun, gencatan senjata yang telah berkuat kuasa sejak Januari, menghentikan konflik berdarah ini dan membuka jalan bagi pertukaran rakyat Israel yang diambil Hamas sebagai tebusan, dengan ratusan rakyat Palestin yang telah ditahan Israel.
Sebagai respons terhadap kebimbangan berkaitan kematian orang awam, pentadbiran presiden ketika itu, Encik Joe Biden, telah menyekat penghantaran bom seberat 2,000 paun kepada Israel – lebih besar daripada bom yang dicadangkan dalam jualan terkini – namun penggantinya, Encik Donald Trump, dilaporkan telah meluluskan penghantaran tersebut setelah kembali sebagai presiden buat penggal kedua.
Walaupun Kementerian Luar Negeri telah meluluskan penjualan bom dan peluru berpandu tersebut, transaksi ini masih perlu mendapat kelulusan daripada Kongres, yang dijangka tidak akan menghalang penyediaan senjata kepada sekutu rapat Washington di Timur Tengah itu. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg