Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump: Israel akan serah Gaza kepada AS selepas perang

AS tidak akan kerahkan tenteranya di Gaza selepas konflik tamat
Feb 7, 2025 | 10:45 AM
Anggota Action4Palestine Korea Selatan mengangkat papan tanda semasa satu perhimpunan menentang rancangan Gaza Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di hadapan Kedutaan Amerika di Seoul, Korea Selatan, pada 6 Februari 2025.
Anggota Action4Palestine Korea Selatan mengangkat papan tanda semasa satu perhimpunan menentang rancangan Gaza Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di hadapan Kedutaan Amerika di Seoul, Korea Selatan, pada 6 Februari 2025. - Foto EPA-EFE

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan bahawa Israel akan menyerahkan Gaza kepada Amerika Syarikat selepas pertempuran di kawasan tersebut berakhir dan penduduk Gaza telah dipindahkan ke tempat yang lebih selamat.

Encik Trump turut menegaskan bahawa selepas pemindahan, tiada tentera Amerika yang akan dihantar ke Gaza.

Pengumuman ini mendapat reaksi keras dari seluruh dunia. Keputusan Encik Trump untuk menjadikan Gaza sebagai “Riviera Timur Tengah” dan menukarkannya kepada sebuah destinasi pelancongan, serta cadangan pemindahan penduduk Gaza, telah mendapat kecaman hebat, terutamanya daripada negara-negara Arab dan pemimpin Palestin.

Israel pula mengarahkan tenteranya untuk menyediakan pelan yang membenarkan penduduk Gaza meninggalkan kawasan itu secara sukarela.

Encik Trump menjelaskan melalui platform media sosialnya, Truth Social: “Setelah pertempuran berakhir, Gaza akan diserahkan kepada Amerika Syarikat oleh Israel.” Beliau juga berkata bahawa penduduk Palestin akan dipindahkan ke komuniti yang lebih selamat dan lebih indah dengan rumah-rumah yang baru dan moden di rantau ini. “Tiada tentera Amerika yang akan diperlukan,” katanya.

Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, dalam kenyataannya berkata bahawa negara-negara yang mengutuk cadangan Encik Trump seharusnya tampil membantu wilayah Palestin yang telah musnah itu. Encik Rubio turut menambah bahawa Trump telah menawarkan pembinaan semula Gaza, yang kini dianggap tidak boleh dihuni.

“Mungkin ada negara lain yang mampu untuk membantu dalam pembinaan semula ini. Tetapi nampaknya tiada siapa yang mahu bergerak pantas untuk membantu,” tambah Encik Rubio dalam sidang media di Republik Dominica.

Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, menyatakan bahawa beliau telah mengarahkan tentera untuk menyediakan rancangan yang membenarkan penduduk Gaza yang ingin keluar untuk berbuat demikian.

“Saya mengalu-alukan rancangan berani Presiden Trump, penduduk Gaza harus diberikan kebebasan untuk meninggalkan dan berhijrah, seperti yang berlaku di seluruh dunia,” kata Encik Katz di platform X.

Namun, cadangan ini mendapat tentangan keras daripada Hamas dan para pemimpin Palestin. Jurucakap Hamas, Encik Hazem Qassem, menyifatkan cadangan Trump untuk mengambil alih Gaza dan memindahkan penduduknya sebagai “deklarasi untuk menduduki” wilayah Palestin itu.

Hamas juga menggesa diadakan Sidang Kemuncak Arab secara segera untuk menentang rancangan pemindahan ini.

Sejumlah negara besar di Timur Tengah turut mengemukakan bantahan terhadap cadangan Trump. Arab Saudi menolak cadangan tersebut dengan tegas. Raja Abdullah II dari Jordan, yang dijadualkan bertemu Encik Trump di Rumah Putih tidak lama lagi menyatakan bahawa beliau menolak sebarang percubaan untuk merampas tanah dan memindahkan rakyat Palestin.

Para penganalisis meramalkan bahawa rancangan Encik Trump ini boleh mengubah keseimbangan politik di Timur Tengah. Encik Oraib Rantawi, seorang penganalisis politik dari Jordan, berkata bahawa Jordan “boleh hilang kewujudannya jika rancangan pemindahan ini dilaksanakan”.

Selain itu, bekas Menteri Penerangan Jordan, Encik Samih al-Maaytah, menganggap bahawa cadangan ini adalah “bunuh diri politik” bagi Jordan dan Mesir, kerana kedua-dua negara akan dituduh berkomplot untuk menghancurkan perjuangan Palestin.

Bagi Hamas, mereka menegaskan bahawa rakyat Palestin tidak akan pernah meninggalkan Gaza. Mereka juga mengingatkan bahawa pemindahan paksa atau paksaan untuk mengosongkan kawasan yang diduduki adalah satu jenayah perang yang dilarang di bawah Konvensyen Geneva 1949.

Encik Katz juga mencadangkan agar negara-negara yang menentang operasi ketenteraan Israel di Gaza, seperti Sepanyol, Ireland, dan Norway, menerima penduduk Gaza ke negara mereka. “Negara-negara ini, yang telah membuat tuduhan palsu terhadap Israel, secara sah wajib membenarkan penduduk Gaza memasuki wilayah mereka,” katanya. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg