Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Amerika, Qatar hentikan akses dana AS$6b kepada Iran

Oct 13, 2023 | 2:51 PM
HENTIKAN DANA: Bendera Palestin bersaiz besar digantung pada sebuah bangunan di jalan raya Enghelab di Teheran. Pemerintah Iran menyokong secara terbuka serangan Hamas terhadap Israel.
HENTIKAN DANA: Bendera Palestin bersaiz besar digantung pada sebuah bangunan di jalan raya Enghelab di Teheran. Pemerintah Iran menyokong secara terbuka serangan Hamas terhadap Israel. - Foto EPA-EFE

WASHINGTON: Pihak berkuasa Amerika Syarikat dan Qatar telah bersetuju untuk menghalang Iran daripada menggunakan dana bantuan kemanusiaan AS$6 bilion ($8.2 bilion) susulan serangan mengejut kumpulan Hamas ke atas Israel, menurut satu laporan pada Khamis.

Wang itu telah dipindahkan ke akaun Iran di Qatar, dalam perjanjian pertukaran tahanan Amerika-Iran yang dilaksanakan beberapa minggu lalu yang menyaksikan lima tahanan Amerika dibebaskan oleh Iran.

Sebelum ini, pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden didesak untuk membawa pulang tahanan negara itu yang dilihat sebagai tebusan untuk digunakan oleh Iran.

Menerusi pertukaran ini, Iran mendapat akses kepada hampir AS$6 bilion dalam aset minyak yang sebelumnya dibekukan di Korea Selatan.

Akhbar The Washington Post melaporkan pada Khamis bahawa keputusan telah dibuat untuk menghentikan akses kepada dana itu, sedang Presiden Amerika, Encik Joe Biden, menghadapi tekanan yang semakin meningkat mengenai perkara itu memandangkan kebimbangan mengenai hubungan Iran dengan Hamas.

Teheran, yang menyokong Hamas dari segi kewangan dan ketenteraan, telah diletakkan di bawah pengawasan ketat sejak kumpulan Hamas melancarkan serangan mengejut merentasi sempadan selatan Israel pada hujung minggu lalu.

“Kami mempunyai pengawasan ketat terhadap dana itu dan kami mengekalkan hak untuk membekukannya,” kata Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, dalam sidang media di Tel Aviv pada Khamis.

Rumah Putih menambah dalam taklimat berasingan bahawa “setiap sen wang itu masih disimpan di bank Qatar”.

“Tiada satu sen pun daripadanya telah dibelanjakan,” menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara, Encik John Kirby, sambil menambah bahawa Amerika meneliti akaun itu dengan rapi tetapi enggan membuat spekulasi mengenai “urus niaga masa depan”.

Pegawai Amerika sebelum ini berkata bahawa mereka tidak menerima sebarang risikan yang menunjukkan Iran terlibat dalam merancang atau membantu serangan Hamas itu.

Timbalan Setiausaha Perbendaharaan, Encik Wally Adeyemo, memberitahu Demokrat di Dewan Perwakilan bahawa dana Iran tidak “ke mana-mana dalam masa terdekat,” menurut laporan The Washington Post.

Menteri Luar Iran, Encik Hossein Amir-Abdollahian, pada Khamis menegaskan serangan yang dilakukan berterusan ke atas Palestin akan mendapat tindak balas daripada baki ‘axis’ yang lain.

Beliau tidak menyebut secara khusus, namun ‘Axis of Resistance’ merujuk kepada pakatan membabitkan Iran, kumpulan Palestin, Syria, kumpulan Hezbollah di Lebanon dan lain-lain lagi. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg