WASHINGTON: Amerika Syarikat melancarkan siri serangan udara baharu ke atas Iran awal 14 Julai, sekali gus meningkatkan lagi konflik yang kembali memuncak di Asia Barat, walaupun Presiden Donald Trump menegaskan peluang untuk mencapai perjanjian damai dengan Teheran masih terbuka.

Serangan itu merupakan malam ketiga berturut-turut operasi ketenteraan Amerika terhadap Iran sejak permusuhan kembali tercetus minggu lalu.

Markas Pusat Amerika (Centcom) memaklumkan operasi bermula pada 8.45 malam waktu Greenwich (GMT) dan menyasarkan keupayaan ketenteraan Iran.

“Centcom akan terus mengenakan kos yang tinggi kepada angkatan tentera Iran serta melemahkan keupayaannya menyerang orang awam dan kapal dagang di Selat Hormuz,” ujar kenyataan itu.

Amiriah Arab Bersatu (UAE) mendakwa Iran menyerang dua kapal tangki minyak miliknya yang sedang melalui laluan perkapalan di Selat Hormuz, mengorbankan seorang anak kapal dan mencederakan lapan lagi.

Kementerian Pertahanan UAE berkata kapal Mombasa dan Al Bahiyah terkena dua peluru berpandu Iran ketika berada di laluan perkapalan selatan dalam perairan Oman.

Kejadian itu berlaku hanya sehari selepas Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mengumumkan serangan baharu terhadap sasaran di Bahrain, Jordan, Kuwait dan Oman.

Ketegangan yang semakin memuncak menyebabkan harga minyak mentah dunia melonjak lebih 9 peratus berikutan kebimbangan gangguan bekalan melalui Selat Hormuz, laluan strategik yang mengendalikan sebahagian besar perdagangan minyak dunia.

Dalam wawancara bersama hos radio konservatif, Encik Hugh Hewitt, Encik Trump memberi amaran serangan terhadap Iran akan diteruskan.

“Kami akan menyerang mereka dengan sangat hebat malam ini, dan kami akan menyerang mereka lagi esok,” katanya.

Rumah Putih turut mengesahkan Encik Trump sebelum ini telah memaklumkan secara rasmi kepada Kongres mengenai penyambungan operasi ketenteraan terhadap Iran.

Langkah itu memberi Pentagon tempoh tambahan selama 60 hari untuk meneruskan operasi di rantau berkenaan tanpa memerlukan kelulusan baharu daripada Kongres.

Encik Trump turut mengancam memusnahkan Gunung Pickaxe, lokasi yang dipercayai menempatkan kemudahan pengayaan uranium bawah tanah berhampiran Natanz.

“Beritahu Iran supaya bersedia. Beritahu mereka kami akan datang dan mereka tidak mampu menghalangnya,” kata beliau.

Selain operasi ketenteraan, Encik Trump mengumumkan Amerika akan menguatkuasakan semula sekatan ke atas pelabuhan Iran bermula 14 Julai.

Beliau turut mengumumkan cadangan mengenakan caj 20 peratus ke atas semua kargo yang melalui Selat Hormuz, sambil mengisytiharkan Amerika sebagai “Penjaga Selat Hormuz”.

Dalam catatan di platform Truth Social, Encik Trump berkata semua negara lain masih boleh menggunakan laluan perairan itu secara bebas, kecuali Iran yang akan terus dikenakan sekatan.

Cadangan itu bagaimanapun segera disindir Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi.

“Presiden Amerika memang tepat mengatakan bahawa pihak yang menjamin keselamatan pelayaran wajar menerima bayaran. Tetapi kadar 20 peratus itu terlalu tinggi,” katanya menerusi platform X.

Beliau secara sinis berkata Iran mampu mengenakan caj yang lebih rendah jika diberi peluang berbuat demikian.

Di bawah undang-undang antarabangsa, sesebuah negara tidak dibenarkan mengenakan bayaran ke atas laluan perkapalan antarabangsa seperti Selat Hormuz.

Walaupun ketegangan semakin memuncak, Encik Trump tetap percaya penyelesaian diplomatik masih boleh dicapai.

“Saya fikir perjanjian masih boleh dicapai. Kami sebenarnya hampir mencapai persetujuan dua hari lalu, tetapi mereka meminta rundingan diteruskan,” katanya kepada wartawan di Pejabat Oval.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmaeil Baqaei, berkata memorandum persefahaman yang dimeterai pada Jun lalu kini berada dalam keadaan “kritikal”.

Menurutnya, Iran tidak akan mematuhi komitmen yang dipersetujui sekiranya Amerika juga gagal melaksanakan tanggungjawabnya.

Beliau mengesahkan Teheran masih meneruskan rundingan dengan pengantara dari Qatar, Pakistan dan Oman bagi mengelakkan konflik terus merebak.

Penganalisis di Chatham House, Encik Bader Al-Saif, berkata peningkatan serangan hanya akan melambatkan penyelesaian jangka panjang.

“Kedua-dua pihak mahu menamatkan kebuntuan mengikut syarat masing-masing.

“Apabila gagal mencapai persetujuan, mereka kembali menggunakan tekanan ketenteraan,” katanya.

Media pemerintah Iran melaporkan beberapa kawasan di selatan dan barat negara itu diserang dalam gelombang serangan terbaharu Amerika.

Sekurang-kurangnya empat letupan dilaporkan berlaku berhampiran Bandar Abbas yang terletak di pesisir Selat Hormuz.

Sejak konflik kembali tercetus pada 8 Julai lalu, sekurang-kurangnya 25 orang dilaporkan terbunuh di Iran.

Sementara itu, IRGC mendakwa telah melancarkan serangan terhadap pangkalan tentera Amerika di Jordan, Bahrain dan Kuwait.

Iran menegaskan sasarannya hanya kepentingan ketenteraan Amerika di Teluk, namun memberi amaran bahawa mana-mana negara Teluk yang membantu operasi Washington akan dianggap sebagai terlibat secara langsung dalam peperangan. – Agensi berita.