Datuk Seri Amirudin Shari menamatkan spekulasi mengenai pelantikannya sebagai Menteri Besar Selangor selepas selamat mengangkat sumpah jawatan itu pada pagi Isnin.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor itu mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Selangor buat penggal kedua di Istana Alam Shah, Klang, Selangor.
Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta pengurniaan Surat Cara Lantikan itu diadakan di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Istiadat itu turut disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Datuk Amirudin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Tua, hadir berbaju Melayu hitam lengkap bertanjak di Balai Rong Seri Istana Alam Shah bersama isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad.
Beliau dilaporkan turut melafaz ikrar Aku Janji merangkumi beberapa perkara yang perlu dipenuhi dan dipatuhi sepanjang memegang jawatan itu.
Antara Aku Janji itu ialah menyimpan rahsia perbincangan bersama Sultan Selangor dengan pihak luar; menjunjung tinggi Rukun Negara serta memelihara dan memastikan agama Islam tidak diganggu gugat serta menghormati agama lain.
Aku janji itu turut merangkumi memelihara institusi raja daripada dicaci dan diganggu; memelihara kedudukan istimewa orang Melayu serta kepentingan sah kaum lain serta melaksanakan tugas dengan penuh amanah dan bertanggungjawab, selain memastikan kemakmuran Selangor di tahap tertinggi.
Datuk Amirudin turut melafazkan untuk bersedia ditimpa bencana diturunkan Allah serta daulat Sultan Selangor jika melanggar sumpah sebagai Menteri Besar Selangor.
Jawatan Menteri Besar Selangor disandang Datuk Aminudin sejak 2018 dan pada Pilihan Raya Negeri pada 12 Ogos lalu, beliau mempertahankan kemenangan di kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Tua.
Beliau adalah Menteri Besar Selangor yang termuda dalam sejarah kerajaan negeri apabila dilantik ke jawatan itu pada usia 38 tahun, pada 2018.
Sebelum ini beliau pernah dilantik sebagai Exco Pemberdayaan, Generasi Muda dan Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri. – HANNEEYZAH BAHARIN