Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anak Jokowi layak tandingi pilihan raya ketua wilayah lepas Parlimen semak had umur

Aug 22, 2024 | 1:31 PM
Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia menolak keputusan Mahkamah Perlembangaan dan menetap umur minimum  calon gabenor 30 tahun dan calon bupati serta datuk bandar 25 tahun pada tarikh pelantikan rasmi dan bukan pada tarikh pendaftaran sebagai calon.
Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia menolak keputusan Mahkamah Perlembangaan dan menetap umur minimum calon gabenor 30 tahun dan calon bupati serta datuk bandar 25 tahun pada tarikh pelantikan rasmi dan bukan pada tarikh pendaftaran sebagai calon. - Foto DEWAN PERWAKILAN RAKYAT REPUBLIK INDONESIA

JAKARTA: Badan Perundangan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), atau Parlimen, Indonesia bersetuju menyemak Undang-undang Pemilihan Kepala Daerah (Pilkada) bagi menetapkan semula had umur minimum calon kepala daerah berdasarkan keputusan Mahkamah Agung (MA).

Mengikut keputusan itu, umur minimum perlu dikira pada tarikh pelantikan rasmi.

Timbalan Pengerusi Badan Perundangan, Encik Achmad Baidowi, mengetuai perbincangan itu, yang menghasilkan kelulusan senarai inventori masalah (DIM) nombor 71 semakan Undang-Undang Pilkada.

Dengan kelulusan itu, umur minimum bagi calon gabenor ditetapkan pada usia 30 tahun dan bagi calon bupati dan datuk bandar pada usia 25 tahun.

Perbahasan tertumpu pada isu mahu mengikut keputusan MA atau keputusan Mahkamah Perlembagaan (MK), yang mengira umur calon pada tarikh pendaftaran.

Seorang ahli kumpulan parti Gerindra, Encik Habiburokhman, menyokong keputusan MA, manakala anggota kumpulan parti PDI Perjuangan (PDI-P), Encik TB Hasanuddin, menyokong keputusan MK.

“Secara teori, had umur calon perlu ditentukan pada masa pendaftaran, yang lebih masuk akal,” kata Encik Hasanuddin, sebagaimana dipetik agensi berita Antara.

Menteri Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia, Encik Supratman Andi Agtas, berkata pemerintah akan mengikut konsensus parlimen.

“Kami dalam pemerintah hanya mengikut apa yang dipersetujui oleh rakan-rakan kami di parlimen,” kata bekas pengerusi Badan Perundangan DPR itu.

Keputusan MK pada 20 Ogos mempunyai implikasi penting terhadap proses pencalonan ketua wilayah dan penentuan had umur.

Bagaimanapun, keputusan pada 21 Ogos oleh DPR boleh memberi kesan ketara kepada calon seperti Encik Kaesang Pangarep, yang disokong oleh Gabungan Indonesia Maju (KIM) Plus, bagi pemilihan gabenor Jawa Tengah 2024.

Gabungan itu merancang menyokong Encik Ahmad Luthfi sebagai calon gabenor Jawa Tengah dan pasangannya, Encik Kaesang, iaitu anak bongsu Presiden Joko Widodo, sebagai timbalan gabenor dalam pilihan raya akan datang.

Pada mulanya, tidak ada kepastian tentang kelayakan Encik Kaesang berikutan keputusan MK, yang menetapkan umur minimum bagi calon gabenor dan naib gabenor ialah 30 tahun pada masa pendaftaran.

Dilahirkan pada 25 Disember 1994, Encik Kaesang akan memenuhi syarat umur pada masa gabenor yang dilantik mengangkat sumpah pada 1 Januari 2025.

Di bawah peraturan sebelum ini, beliau tidak layak bertanding memandangkan Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) dijadualkan mengumumkan calon yang layak pada 22 September. Ketika itu beliau masih berusia 29 tahun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg