Anak Muammar Gaddafi maut ditembak kumpulan bersenjata di Libya
Anak Muammar Gaddafi maut ditembak kumpulan bersenjata di Libya
TRIPOLI: Seif al-Islam Gaddafi, tokoh politik Libya dan anak kepada bekas pemerintah negara itu Kolonel Muammar Gaddafi, dilaporkan terbunuh pada 3 Februari dalam satu serangan bersenjata di kediamannya di barat Libya, ujar peguam dan penasihat politiknya.
Encik Seif al-Islam, 53 tahun, maut selepas satu unit komando yang terdiri daripada empat lelaki bersenjata menceroboh rumahnya berhampiran bandar Zintan, kata peguamnya, Encik Khaled al-Zaydi, kepada The New York Times.
Menurut beliau, kumpulan penyerang itu terlebih dahulu melumpuhkan kamera keselamatan sebelum melancarkan serangan.
“Beliau dibunuh di rumahnya selepas penyerang memutuskan sistem keselamatan,” kata Encik Khaled, sambil menambah bahawa butiran lanjut mengenai kaedah pembunuhan, identiti penyerang dan motif kejadian masih belum diketahui.
Encik Seif al-Islam sebelum ini dilihat sebagai pewaris utama kepada bapanya yang memerintah Libya selama lebih empat dekad.
Beliau merupakan antara tokoh paling berpengaruh dan digeruni di Libya selepas bapanya, yang digulingkan dan terbunuh dalam kebangkitan rakyat pada 2011.
Setakat ini, tiada suspek diumumkan secara rasmi.
Bagaimanapun, terdapat versi berbeza mengenai kejadian itu apabila saudara perempuannya memberitahu sebuah stesen televisyen Libya bahawa Encik Seif al-Islam meninggal dunia berhampiran sempadan negara itu dengan Algeria.
Briged Tempur 444, sebuah kumpulan militia berpengaruh di Libya, menafikan sebarang penglibatan dalam pembunuhan tersebut.
Dalam satu kenyataan di media sosial, kumpulan itu menegaskan ia tidak terlibat secara “langsung atau tidak langsung” dan menyifatkan dakwaan yang mengaitkan mereka adalah khabar angin berbahaya.
“Kami memberi amaran terhadap penyebaran khabar angin yang bertujuan mengelirukan keadaan, mencetuskan kekacauan dan mereka-reka maklumat,” kata kenyataan itu.
Kematian Encik Seif al-Islam dijangka menambah lagi ketidaktentuan dalam landskap politik Libya yang sedia rapuh.
Negara Afrika Utara itu kekal berpecah sejak kejatuhan Muammar Gaddafi pada 2011, dengan beberapa kumpulan bersenjata dan pemerintah bersaing untuk menguasai wilayah serta institusi negara.
Dilahirkan pada 1972, beliau memainkan peranan penting dalam usaha Libya menjalinkan hubungan lebih rapat dengan negara Barat sejak 2000, sebelum kejatuhan rejim Gaddafi.
Selepas kejatuhan bapanya, Encik Seif al-Islam ditahan oleh sebuah militia pesaing di Zintan selama hampir enam tahun.
Beliau dituduh terlibat secara langsung dalam tindakan keras terhadap protes antipemerintah yang mencetuskan kebangkitan rakyat.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sebelum ini mahu mengheretnya ke perbicaraan atas tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan berkaitan penindasan demonstrasi pada 2011.
Pada 2015, sebuah mahkamah Libya menjatuhkan hukuman mati secara ‘absentia’ atau tidak hadir di mahkamah terhadapnya.
Walaupun tidak memegang sebarang jawatan rasmi dalam pemerintah, Encik Seif al-Islam berpengaruh besar dalam pembentukan dasar dan rundingan berprofil tinggi, termasuk perjanjian yang membawa kepada Libya meninggalkan program senjata nuklearnya.
Langkah itu menyaksikan sekatan antarabangsa terhadap negara Afrika Utara tersebut ditarik balik, dan beliau ketika itu dianggap oleh sesetengah pihak sebagai wajah reformasi Libya.
Encik Seif al-Islam sebelum ini menafikan hasrat mewarisi kuasa bapanya dengan menyatakan bahawa kuasa bukan ‘ladang untuk diwarisi’.
Namun pada 2021, beliau mengumumkan hasrat bertanding dalam pilihan raya presiden Libya yang akhirnya ditangguhkan tanpa tempoh masa yang ditetapkan.
Encik Abdullah Othman, penasihat politik Encik Seif al-Islam dan ketua pasukan politiknya, mengesahkan kematian tersebut dalam satu temu bual di Libya Al-Ahrar TV.
Beliau berkata pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan dan kes itu diklasifikasikan sebagai pembunuhan terancang.
“Keadaan masih dalam siasatan, dan pihak berkuasa menganggapnya sebagai satu pembunuhan,” katanya.
Pejabat Pendakwa Raya Awam di Tripoli serta Peguam Negara Libya mengumumkan bahawa siasatan rasmi telah dimulakan.
Pemerintah yang diiktiraf antarabangsa ketika ini ialah Pemerintah Perpaduan Nasional yang berpangkalan di Tripoli.
Namun, sebahagian besar wilayah Libya berada di bawah kawalan pemerintah saingan dan kumpulan militia yang berpusat di Tobruk di timur negara itu.
Wilayah timur Libya mempunyai perdana menterinya sendiri dan dikuasai oleh panglima perang berpengaruh, Jeneral Khalifa Hifter, sekali gus menggambarkan perpecahan kuasa yang masih berlarutan lebih sedekad selepas kejatuhan rejim lama.
Encik Seif al-Islam dilahirkan pada 25 Jun 1972 di Tripoli sebagai anak kedua Muammar Gaddafi dan isterinya, Safia Farkash.
Maklumat mengenai anggota keluarga terdekat yang terselamat belum diperoleh setakat ini.
Berpendidikan di Britain, Encik Seif al-Islam pada suatu ketika dilihat oleh negara Barat sebagai simbol pembaharuan dan harapan baharu untuk Libya.
Namun, imej itu berubah secara mendadak selepas beliau menyokong tindakan keras terhadap penunjuk perasaan semasa kebangkitan Arab Spring pada 2011.
Sejak itu, beliau sering dikaitkan dengan kekejaman yang menyerupai pemerintahan autoritarian bapanya.
Nasib Encik Seif al-Islam bagaimanapun berbeza daripada bapanya, Muammar Gaddafi, yang memerintah Libya selama lebih empat dekad, yang dibunuh secara ringkas oleh pemberontak pada 2011.
Encik Seif al-Islam pula ditangkap ketika cuba melarikan diri ke selatan negara itu dengan menyamar sebagai Badwi dalam satu konvoi di gurun.
Beliau ditahan selama beberapa tahun oleh sebuah kumpulan militia di Zintan dan tidak diserahkan kepada ICC, meskipun mahkamah tersebut mengeluarkan waran tangkap terhadapnya atas dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan berkaitan tindakan keras 2011.
Pada 2015, Encik Seif al-Islam dijatuhi hukuman mati oleh sebuah mahkamah di Libya dalam perbicaraan yang tidak dihadirinya.
Namun, militia yang menahannya tidak mengiktiraf kewibawaan pemerintah di Tripoli atau sistem kehakimannya, menyebabkan hukuman itu tidak pernah dilaksanakan dan akhirnya menjadi tidak relevan akibat perang saudara.
Dalam satu wawancara dengan The New York Times pada 2021, Encik Seif al-Islam berkata sebahagian bekas penahannya kecewa dengan hasil revolusi dan akhirnya menyokong beliau.
Dibebaskan pada 2017, beliau kembali muncul dalam arena politik Libya beberapa tahun kemudian.
Pada 2021, Encik Seif al-Islam mengumumkan pencalonannya sebagai presiden, langkah yang dianggap oleh sesetengah pihak sebagai cubaan sinis untuk mengembalikan pengaruh keluarga Gaddafi.
Namun, bagi sebahagian rakyat Libya, ketiadaan alternatif politik yang meyakinkan menjadikan pencalonannya masih mendapat sokongan terhad.
Proses pilihan raya itu akhirnya gagal dilaksanakan, dan Libya kembali terperangkap dalam kebuntuan politik.
Pembunuhan Encik Seif al-Islam kini dilihat sebagai satu lagi episod gelap dalam sejarah pasca-Gaddafi, yang berpotensi memperdalam lagi perpecahan dan ketidakstabilan negara tersebut. – Agensi berita.

