TRIPOLI: Konflik berdarah yang tercetus di Tripoli pada 12 Mei menandakan satu lagi titik kegagalan dalam landskap politik Libya yang sudah berpecah belah selama lebih sedekad.
Pembunuhan Ketua Pasukan Sokongan Kestabilan (SSA), Encik Abdul Ghani al-Kikli, telah mencetuskan pertempuran sengit di ibu negara, sekali gus menggugat keseimbangan kuasa yang rapuh dan menimbulkan persoalan besar tentang masa depan Libya sebagai negara bersatu.
Encik Al-Kikli atau lebih dikenali sebagai ‘Ghinaywa’ terbunuh dalam satu serangan di pangkalan Briged 444, sebuah kumpulan yang setia kepada Perdana Menteri Abdul Hamid Dbeibah daripada Pemerintah Perpaduan Nasional (GNU).
Walaupun kedua-dua pasukan militia secara teknikalnya bernaung di bawah GNU, SSA sering bertindak secara bebas dan dilihat sebagai satu cabaran terhadap kekuasaan Encik Dbeibah.
Sebaliknya, Briged 444 pula lebih tekal dengan arahan pemerintah.
Kejadian itu mencetuskan pergolakan berskala besar di daerah Abu Salim, menyebabkan sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan membawa kepada penggantungan operasi sekolah, universiti, serta pemindahan warga asing dari Tripoli.
“Pembunuhan Ghinaywa dan usaha berikutnya untuk melumpuhkan SSA akan memberi kesan besar terhadap dinamik kuasa dan keselamatan di dalam dan sekitar ibu negara,” ujar penganalisis yang juga Pengarah Urusan, Libya-Analysis LLC, Cik Rhiannon Smith.
Meskipun keadaan reda selepas beberapa hari, kestabilan masih rapuh.
Encik Dbeibah segera mengisytiharkan “operasi ketenteraan berjaya mengembalikan ketenteraman” dan mengumumkan penyusunan semula perkhidmatan keselamatan, termasuk pengawal penjara dan unit antipendatang haram.
Dalam ucapan televisyen pada 18 Mei, Encik Dbeibah menyatakan hasrat memulakan projek membasmi militia di Tripoli.
“Kami tidak akan bertolak ansur dengan sesiapa yang terlibat dalam rasuah atau pemerasan. Matlamat kami ialah membentuk Libya bebas daripada militia dan rasuah,” katanya.
Namun begitu, kuasa Encik Dbeibah sendiri semakin dipersoalkan.
Pilihan raya yang dijadual pada Disember 2021 masih belum diadakan, dan ketidakpuasan rakyat terhadap ekonomi dan korupsi semakin memuncak.
Desakan awam turut memaksa beberapa menteri meletak jawatan, termasuk Menteri Ekonomi dan Perdagangan, Encik Mohamed al-Hawij; Menteri Pemerintahan Tempatan, Encik Badr Eddin al-Tumi; dan Menteri Perumahan, Encik Abu Bakr al-Ghawi.
“Terdapat gesaan daripada masyarakat sivil dan majlis tempatan agar Dbeibah berundur,” kata Cik Claudia Gazzini dari Kumpulan Krisis Antarabangsa.
Sejak kejatuhan Encik Muammar Gaddafi pada 2011, yang dibantu oleh campur tangan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), Libya tidak pernah benar-benar membentuk semula institusi negaranya.
Sebaliknya, negara itu dikuasai oleh pelbagai militia yang mewakili kepentingan bandar dan kabilah, serta diperalat oleh pemimpin politik untuk mengekalkan kuasa.
Encik Gaddafi sendiri membina sistem pemerintahan berdasarkan kesetiaan kabilah dan militia.
Selepas beliau digulingkan, ketiadaan pelan pembangunan institusi oleh masyarakat antarabangsa membenarkan militia berkembang tanpa kawalan.
Kini, mereka bukan sahaja menguasai kawasan, malah mempunyai pengaruh besar dalam membuat keputusan dasar dan ekonomi.
Komander pasukan Angkatan Bersenjata Arab Libya (LAAF) di timur Libya, Encik Khalifa Haftar, menguasai wilayah Tobruk dan sebahagian besar timur negara.
Beliau memanfaatkan militia tempatan untuk mengukuhkan kedudukannya dan dilihat sebagai pesaing paling berpotensi kepada Encik Dbeibah.
Penganalisis berpendapat selagi militia tidak dibubarkan secara menyeluruh dan satu struktur kuasa baru tidak dibentuk, keamanan di Libya kekal mustahil.
“Selagi punca utama konflik iaitu pemusatan kekayaan dan kuasa di Tripoli serta ketiadaan kesepakatan pembahagian hasil tidak ditangani, ibu negara akan terus terdedah kepada perebutan kuasa oleh kumpulan bersenjata,” kata mantan Penasihat Khas, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi Libya, Cik Stephanie Williams.
“Di satu pihak, perdana menteri yang sudah lama melepasi tempoh mandatnya terus berkuasa. Di pihak lain pula, terdapat warlord atau pemimpin utama yang mahu mengembalikan pemerintahan diktator tentera,” katanya.
Potensi untuk tercetusnya perang saudara kembali tinggi, apatah lagi dengan gencatan senjata 2020 yang dimeterai di bawah rundingan PBB kini kelihatan semakin longgar.
Di timur, pihak Dewan Perwakilan Libya (HoR) yang dipimpin Perdana Menteri, Encik Ossama Hammad, dan disokong oleh Encik Haftar mengambil peluang untuk menyelar kekacauan di Tripoli, termasuk menuduh pihak pro-Dbeibah menyerang bank pusat.
Pada 18 Mei, Speaker HoR, Encik Aguila Saleh, mengarahkan pembekuan akaun awam kecuali untuk gaji yang dianggap sebagai satu langkah ekonomi yang jelas bertujuan melemahkan pemerintah Tripoli.
Bagi pengamat seperti Cik Smith, perkembangan itu berisiko membawa kepada sekatan minyak baru oleh Encik Haftar, seperti yang pernah dilakukan sebelum ini untuk mendapatkan konsesi politik.
Kestabilan yang tergugat itu juga membawa implikasi besar kepada pelaburan luar, terutama dalam sektor tenaga.
Syarikat antarabangsa dilihat semakin berhati-hati untuk meneruskan komitmen mereka, dan jika ia berlarutan, ekonomi Libya akan terus menjunam.
“Tanpa kestabilan, menghalang kemasukan pelaburan. Dan tanpa pelaburan, ekonomi akan terus merosot. Satu kitaran ganas yang hanya mengundang lebih banyak ketidakstabilan,” jelas Cik Smith.
Walaupun Misi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Libya (Unsmil) masih menjadi pemain utama dalam proses damai, banyak pihak berpandangan pendekatannya terlalu bertumpu kepada tindak balas terhadap krisis semasa dan kurang proaktif dalam menangani akar umbi perpecahan politik yang berlarutan.
Campur tangan asing dari Turkey, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir dan Russia pula menambah lapisan kerumitan.
Turkey menyokong Tripoli manakala tiga negara lain menyokong Haftar.
Namun, menurut Cik Gazzini, kejadian terbaru itu juga boleh membuka ruang baru kepada PBB untuk mempercepat rundingan damai yang mampan.
Apa yang berlaku di Tripoli katanya bukan sekadar pertarungan antara kumpulan bersenjata.
Ia adalah cerminan kegagalan sistematik dalam membina semula negara berdaulat dan demokratik selepas kejatuhan rejim diktator.
Selagi militia menjadi pemegang kuasa sebenar, masa depan Libya akan kekal berada di ambang kegagalan.
Cik Williams dengan tegas berkata:
“Peristiwa tragik di pusat bandar Tripoli harus menjadi peringatan kepada semua pihak di Libya.
“Masa depan negara ini tidak boleh ditentukan oleh elit dan militia semata-mata.
“Masyarakat antarabangsa juga perlu berhenti bersaing dalam isu Libya dan sebaliknya menyokong usaha utusan PBB.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg