Anak Presiden Iran: Mojtaba Khamenei ‘selamat dan sihat’ walau laporan cedera dalam perang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anak Presiden Iran: Mojtaba Khamenei ‘selamat dan sihat’ walau laporan cedera dalam perang

Mar 11, 2026 | 3:59 PM

Anak Presiden Iran: Mojtaba Khamenei ‘selamat dan sihat’ walau laporan cedera dalam perang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Iran, Ayatollah Ali Khamenei, Mojtaba Khamenei, West Asia, Asia Barat, conflict, konflik, oil price, United States, Israel
Sepanduk dipasang di Dataran Valiasr di tengah Teheran pada 10 Mac yang memaparkan pemimpin tertinggi Iran yang telah meninggal dunia, Ayatollah Ruhollah Khomeini (kiri), seolah-olah menyaksikan penggantinya, Allahyarham Ayatollah Ali Khamenei (tengah), menyerahkan bendera kebangsaan kepada anaknya yang kini menjadi pemimpin tertinggi baharu Iran, Mojtaba Khamenei (kanan). Iran menandakan pelantikan Ayatollah Mojtaba Khamenei sebagai pengganti bapanya dengan melancarkan satu lagi gelombang serangan peluru berpandu ke atas Israel dan beberapa negara Teluk pada 9 Mac, ketika perang di Asia Barat menyebabkan harga minyak dunia melonjak. - Foto AFP

TEHERAN: Pemimpin tertinggi baharu Iran, Ayatollah Mojtaba Khamenei, dilaporkan berada dalam keadaan selamat walaupun muncul spekulasi bahawa beliau cedera dalam serangan udara Amerika Syarikat dan Israel yang mencetuskan perang di Asia Barat.

Perkara itu disahkan oleh Encik Yousef Pezeshkian, anak kepada Presiden Iran, yang berkata beliau telah mendapatkan maklumat daripada beberapa individu yang mempunyai hubungan dengan pihak berkuasa.

“Saya mendengar khabar bahawa Mojtaba Khamenei cedera. Saya telah bertanya kepada beberapa rakan yang mempunyai hubungan dengan pihak berkaitan.

“Mereka memberitahu bahawa, syukur kepada Tuhan, beliau selamat dan berada dalam keadaan baik,” katanya dalam satu hantaran di saluran Telegram miliknya.

Kenyataan tersebut muncul ketika pelbagai laporan media antarabangsa menyatakan bahawa pemimpin baharu Iran itu mungkin mengalami kecederaan semasa serangan awal perang yang dilancarkan oleh Israel dan Amerika Syarikat pada 28 Februari lalu.

Televisyen negara Iran sebelum ini merujuk Encik Mojtaba sebagai “veteran perang Ramadan yang cedera”, namun tidak memberikan butiran lanjut mengenai keadaan kesihatannya.

Sejak dilantik sebagai pemimpin tertinggi Iran pada 8 Mac lalu, Encik Mojtaba masih belum muncul di khalayak ramai, tidak menyampaikan ucapan kepada rakyat dan juga tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.

Keadaan itu menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai lokasi dan keadaan sebenar beliau ketika perang di Asia Barat masih berterusan.

Menurut laporan media Amerika Syarikat, beberapa pegawai Iran memaklumkan bahawa Encik Mojtaba kemungkinan mengalami kecederaan pada bahagian kaki semasa serangan awal konflik.

Namun mereka berkata beliau masih dalam keadaan sedar dan kini berlindung di lokasi keselamatan tinggi dengan komunikasi yang sangat terhad.

Situasi tersebut mungkin menjelaskan mengapa beliau masih belum tampil di hadapan umum atau menyampaikan ucapan video kepada rakyat Iran.

Media negara Iran juga beberapa kali merujuk Mojtaba Khamenei sebagai “jaanbaz”, istilah dalam bahasa Parsi yang merujuk kepada individu yang cedera dalam peperangan.

Pengacara televisyen negara menggunakan istilah itu ketika melaporkan pelantikan beliau sebagai pemimpin tertinggi baharu Iran dalam konflik yang digelar pemerintah sebagai “Perang Ramadan.

Namun media negara tidak memberikan penjelasan lanjut mengenai kecederaan yang mungkin dialaminya.
Walaupun beliau masih belum muncul secara terbuka, kempen sokongan terhadap kepimpinannya terus berlangsung di Iran.

Rakaman dari Teheran menunjukkan sebuah mural baharu dipasang di Dataran Valiasr yang menggambarkan Encik Mojtaba menerima bendera Iran daripada bapanya, Ayatollah Ali Khamenei.

Mural tersebut turut memaparkan pengasas Republik Islam Iran, Ayatollah Ruhollah Khomeini, seolah-olah menyaksikan peralihan kuasa tersebut.

Imej tersebut dilihat sebagai usaha pemerintah untuk menunjukkan bahawa peralihan kepimpinan berjalan lancar walaupun berlaku dalam suasana perang.

Pada 10 Mac, kumpulan penyokong pemerintah turut berhimpun di Teheran untuk menyatakan sokongan dan ikrar setia kepada pemimpin baharu negara itu. Seorang peserta perhimpunan berkata rakyat Iran mahu menunjukkan bahawa kepimpinan negara ditentukan oleh rakyatnya sendiri.

“Kami mahu menunjukkan bahawa pemimpin Iran dipilih oleh rakyat Iran sendiri,” katanya kepada media tempatan.

Perhimpunan tersebut juga dilaporkan diadakan sebagai respons kepada kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang menyatakan bahawa kepimpinan Iran sepatutnya dipilih dengan persetujuan Washington.

Sementara itu, laporan media Amerika Syarikat menyatakan bahawa pasukan keselamatan khas Iran telah dikerahkan untuk melindungi Encik Mojtaba selepas kematian bapanya dalam serangan udara.

Pasukan elit tersebut dikenali sebagai NOPO, iaitu unit khas antikeganasan Iran yang terkenal dengan operasi penyelamatan tebusan.

Menurut beberapa penganalisis keselamatan, pasukan itu kini berperanan melindungi pemimpin baharu Iran daripada ancaman serangan atau cubaan pembunuhan.

Encik Mojtaba, 56 tahun, selama ini dikenali sebagai tokoh yang jarang muncul di hadapan umum walaupun mempunyai pengaruh besar dalam struktur kuasa Iran.

Sebagai anak kedua kepada Ayatollah Ali Khamenei, beliau selama bertahun-tahun membina rangkaian pengaruh dalam kalangan ulama, pasukan keselamatan dan elit perniagaan negara.

Pelantikannya sebagai pemimpin tertinggi berlaku ketika Iran berdepan tekanan besar daripada perang dengan Amerika Syarikat dan Israel, yang dianggap sebagai cabaran paling serius kepada republik Islam itu sejak ia ditubuhkan hampir lima dekad lalu.

Bagi penyokong pemerintah, kepimpinan Encik Mojtaba dilihat sebagai kesinambungan dasar keras bapanya yang menekankan kedaulatan Iran, kekuatan tentera serta pendirian tegas terhadap Amerika Syarikat dan sekutunya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg