Pemimpin baru Iran dilapor cedera pada hari awal perang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemimpin baru Iran dilapor cedera pada hari awal perang

Mar 11, 2026 | 1:36 PM

Pemimpin baru Iran dilapor cedera pada hari awal perang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
mojtaba khamenei, Iran
Sepanduk memaparkan Pemimpin Tertinggi baru Iran, Ayatollah Mojtaba Khamenei, dipasang di tepi lebuh raya di Teheran pada 10 Mac. - Foto AFP

TEHERAN: Tiga hari selepas dilantik sebagai Pemimpin Tertinggi Iran yang baru menggantikan bapanya yang terbunuh dalam serangan udara, Encik Mojtaba Khamenei masih belum muncul di khalayak ramai atau menyampaikan sebarang kenyataan rasmi.

Ketiadaan beliau daripada perhatian umum menimbulkan pelbagai persoalan mengenai keadaan sebenar pemimpin berusia 56 tahun itu ketika konflik antara Iran, Amerika Syarikat dan Israel semakin memuncak.

Menurut tiga pegawai Iran yang bercakap secara tanpa nama kerana isu tersebut sensitif, salah satu sebab Encik Mojtaba tidak membuat sebarang kenyataan adalah kebimbangan bahawa sebarang komunikasi boleh mendedahkan lokasi persembunyiannya.

Mereka berkata tindakan tersebut diambil bagi mengelakkan beliau menjadi sasaran serangan.

Namun menurut sumber yang sama, terdapat satu lagi faktor penting yang menyebabkan beliau tidak muncul di khalayak.

Encik Mojtaba dipercayai mengalami kecederaan pada hari pertama serangan yang dilancarkan oleh Israel dan Amerika pada 28 Februari lalu.

Pegawai Iran itu berkata mereka dimaklumkan oleh tokoh kanan pemerintah bahawa Encik Mojtaba mengalami beberapa kecederaan termasuk pada bahagian kaki.

Bagaimanapun mereka menegaskan bahawa beliau masih dalam keadaan sedar dan kini berada di sebuah lokasi perlindungan yang sangat ketat dengan komunikasi yang terhad.

Dua pegawai tentera Israel turut berkata maklumat risikan yang dikumpulkan oleh negara itu menunjukkan Encik Mojtaba kemungkinan besar mengalami kecederaan kaki dalam serangan pada hari tersebut.

Kesimpulan itu dibuat oleh pihak pertahanan Israel bahkan sebelum Encik Mojtaba dipilih sebagai Pemimpin Tertinggi Iran yang baru.

Namun setakat ini, keadaan sebenar dan tahap kecederaan yang dialami beliau masih belum dapat dipastikan.

Serangan udara pada 28 Februari yang meragut nyawa bapanya, Ayatollah Ali Khamenei, berlaku di sebuah kompleks kepimpinan di tengah Teheran.

Dalam serangan itu, beberapa anggota keluarga Encik Mojtaba termasuk ibunya, isterinya dan seorang anak lelakinya turut terkorban bersama beberapa pegawai kanan pertahanan Iran.

Media negara Iran bagaimanapun memberi petunjuk tentang keadaan Encik Mojtaba melalui beberapa laporan rasmi.

Televisyen negara dan agensi berita Irna merujuk beliau sebagai “pemimpin tertinggi yang juga seorang veteran perang yang cedera”.

Satu kenyataan oleh badan kebajikan agama berpengaruh, Komiteh Emdad, turut menyifatkan beliau sebagai “janbaz jang, istilah dalam bahasa Parsi yang merujuk kepada veteran perang yang mengalami kecederaan semasa berkhidmat.

Pada 10 Mac, wartawan tempatan bertanya kepada jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmail Baghaei, sama ada Encik Mojtaba telah mengambil alih sepenuhnya peranan sebagai pemimpin politik dan agama tertinggi negara serta panglima tertinggi angkatan tentera.

Namun Encik Baghaei tidak menjawab soalan tersebut secara langsung.

“Mereka yang perlu menerima mesej itu telah pun menerimanya,” katanya secara ringkas.

Sejak sekian lama Encik Mojtaba dianggap sebagai tokoh misteri dalam politik Iran. Beliau jarang muncul di khalayak umum dan hampir tidak pernah menyampaikan ucapan awam.

Media Iran hanya menyiarkan sebuah video pendek berdurasi kira-kira 30 saat yang memaparkan gambar-gambar statik beliau bersama ringkasan biografi.

Ketika proses pemilihan pengganti pemimpin tertinggi Iran berlangsung awal Mac, Israel dilaporkan melancarkan serangan udara ke atas bangunan yang menempatkan pejabat dan kediaman rasmi pemimpin tertinggi.

Imej satelit menunjukkan bangunan tersebut musnah selepas terkena bom pemusnah kubu.

Pegawai Iran percaya sasaran serangan itu adalah Encik Mojtaba, namun beliau tidak berada di lokasi ketika serangan berlaku.

Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, sebelum ini menyatakan bahawa mana-mana pengganti kepada Ayatollah Ali Khamenei akan dianggap sebagai sasaran.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, pula berkata beliau tidak gembira dengan pelantikan Encik Mojtaba, namun enggan mengulas sama ada Washington mempunyai rancangan untuk mensasarkan pemimpin baru itu.

Walaupun Encik Mojtaba masih tidak muncul di khalayak ramai, imejnya kini sudah mula kelihatan di seluruh Teheran.

Sepanduk besar memaparkan wajah beliau dipasang di beberapa lokasi utama ibu kota.

Sebuah mural gergasi juga menunjukkan Ayatollah Ali Khamenei menyerahkan bendera Iran kepada anaknya sebagai simbol peralihan kepimpinan.

Encik Mojtaba sebelum ini dikenali sebagai tokoh berpengaruh yang bergerak di belakang tabir.

Beliau mempunyai hubungan rapat dengan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dan memainkan peranan penting dalam menyelaraskan hal ehwal keselamatan dan ketenteraan bagi pejabat bapanya.

Namun sedikit sahaja yang diketahui mengenai personaliti atau rancangan kepimpinannya.

Di beberapa bandar di Iran, penyokong pemerintah kini mengadakan majlis “ikrar kesetiaan” kepada pemimpin baru itu.

Dalam majlis tersebut, orang ramai berkumpul di dataran bandar sambil mengibarkan bendera Iran dan mengangkat gambar Encik Mojtaba sebagai tanda sokongan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg