Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PILIHAN RAYA UMUM MALAYSIA: ANALISIS BERITA

Tiada parti diramal dapat bentuk kerajaan

Nov 19, 2022 | 05:30 AM



SELEPAS 15 kali diadakan Pilihan Raya Umum (PRU), buat pertama kalinya belum ada mana-mana parti yang bertanding diramalkan dapat membentuk kerajaan untuk menerajui Malaysia bagi tempoh lima tahun akan datang.



Ramalan awal daripada badan pemikir dan penyelidikan privet, universiti, pusat penyelidikan parti yang bertanding tidak menyatakan dengan jelas pemenang dengan majoriti mudah iaitu 111 daripada 221 kerusi yang dipertandingkan (pilihan raya bagi kerusi Padang Serai ditangguh setelah salah seorang calon, Encik Karupaiya Mutusami, meninggal dunia) hanyalah data terakhir menunjukkan Pakatan Harapan (PH), gabungan parti Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) serta rakan pilihan raya Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mendahului parti lain. Terbaru Merdeka Centre yang pada PRU14 meramalkan Barisan Nasional (BN) menang besar pada kali ini meletakkan PH di hadapan dengan kajian menunjukkan gabungan itu menerima 35 peratus untuk menerajui kerajaan manakala Perikatan Nasional (PN) 22 peratus dan tempat ketiga, Barisan Nasional (BN) 21 peratus manakala 22 peratus daripada 1,067 responden di Semenanjung tidak memberi sebarang jawapan.



Kajian yang dijalankan pada 5 November lepas juga menunjukkan Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi pilihan 30 peratus responden diikuti Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin (24 peratus) dan Penyandang Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob, hanya memperoleh 19 peratus, manakala 28 peratus tidak memberi sebarang jawapan.



Institut Darul Ehsan (IDE) pula menerusi hasil kajian landskap persepsi rakyat Malaysia pada PRU-15 BN dan PH dijangka bersaing sengit dalam perlumbaan menambat hati pengundi dengan PH memperoleh 30.7 peratus sokongan pengundi di Malaysia, diikuti rapat oleh BN dengan 27.9 peratus, manakala PN pula 12.7 peratus dan pengundi atas pagar (28.7 peratus).



Kajian itu dijalankan dari 21 hingga 28 Oktober lalu, iaitu selepas Parlimen dibubarkan dan sebelum penamaan calon, membabitkan seramai 2,423 responden di 165 kerusi Parlimen di Semenanjung yang ditanya parti mana akan diundi bagi kerusi Parlimen pada pilihan raya kali ini.



Persoalannya adakah kajian tersebut boleh diterjemahkan pada hari pengundian nanti kerana rata-rata pemimpin besar BN dan PN beranggapan dakwaan PH mendahului parti lain adalah strategi politik selain hanya sekadar mainan pesepsi untuk mendapat sokongan pengundi terutama mereka yang di atas pagar.



Ramalan awal tersebut boleh diterima pakai berdasarkan kepada langkah yang diambil oleh PH sebaik saja menerima kekalahan teruk PRN Melaka dan Johor. Gabungan parti PH membuat jajaran politik baru dengan iltizam menguatkan parti masing-masing sekaligus menolak pendekatan 'khemah besar' bekerjasama dengan parti pembangkang lain. Bermula dengan PKR yang berani mengadakan pemilihan parti di saat pembubaran Parlimen, kepimpinan baru yang diketuai Timbalan Presiden, Encik Rafizi Ramli, tidak membuang masa untuk mendekati pengundi atas pagar yang sudah muak dengan sikap tamak orang politik dengan melancarkan Ayuh Malaysia mendekati semula golongan tersebut.



Siri Jelajah Trak Ayuh Malaysia bermula pada Ogos lepas yang memberi tumpuan kawasan Parlimen yang dimenangi oleh PKR di Semenanjung. Selain ceramah umum, Ayuh Malaysia juga mengadakan Latihan Ejen Tempat dan Kira Undi (PACA) dan Sukarelawan bagi memastikan kemenangan di pihak PH apabila pengiraan undi dijalankan.



Setiap kali diadakan sebelum dan selepas pembubaran Parlimen, ribuan penduduk tempatan hadir bagi mengikuti perkembangan semasa yang disampaikan oleh penceramah, dan adakalanya terpaksa berhujan.



Pada masa yang sama, Datuk Seri Anwar pula mengepalai Jelajah Mega Harapan yang turut diserta Setiausaha Agung DAP, Encik Anthony Loke; Presiden Amanah, Encik Mohamad Sabu; Presiden Upko, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau serta rakan pilihan raya, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abd Rahman.



Strategi serampang dua mata tersebut berjaya menarik ribuan pengundi setempat yang sanggup berdiri di kawasan yang basah dan tanah becak untuk mendengar dan menimbangkan apa yang dilontarkan oleh penceramah sebelum mereka mengundi.



Berdasarkan kajian oleh IDE, sebelum 2008 kehadiran puluhan ribuan orang pada ceramah mega sesuatu parti itu tidak boleh diterjemahkan kepada undi kerana parti yang terlibat selalunya kalah, seperti berlaku pada 2004 apabila BN menang besar meskipun ceramah pembangkang semasa itu mendapat sambutan hebat.



Bagaimanapun, keadaan tersebut berubah pada 2008 apabila kehadiran ribuan pengundi memberi makna kepada perubahan sikap mereka, ini berlaku pada 'Grand Finale' PH yang diadakan di Subang yang dua hari selepas itu berjaya mengurangkan dua pertiga majoriti BN di Parlimen serta kejatuhan Perak, Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah.



Begitu juga PRU13 dan PRU14 serta beberapa PRN kehadiran masyarakat tempat pada ceramah membawa makna besar kepada keputusan. Malah sejak bermulanya era media sosial kebanyakan ceramah dibuat secara terus di wadah Facebook dan Youtube sehingga memudahkan parti mengetahui berapa ramai yang menonton ceramah yang diadakan itu.



Setakat ini, ceramah yang diadakan oleh PN dan BN serta parti lain tidak mendapat sambutan hebat malah kehadiran amat diragui kerana rata-rata yang hadir adalah anggota parti dan bukannya pengundi atas pagar.



BN misalnya yang pada PRU14 begitu kemas dengan strateginya apabila Presiden Umno semasa itu, Datuk Seri Najib Razak berkempen pelusuk negara, tetapi kalinya agak lesu. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masing-masing banyak bertumpu di kawasan mereka di Bagan Datuk dan Bera.



Begitu juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin dan Presiden PAS, Tan Sri Hadi Awang, yang ceramah mereka dihadiri oleh mereka yang berbaju biru serta berkopiah putih satu gambaran mereka adalah anggota Bersatu atau PAS.



Pada masa yang sama, peratusan keluar mengundi amat penting bagi menentukan kejayaan sesebuah parti berdasarkan kepada keputusan dua Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka yang peratusan mengundi di bawah 60 peratus sedangkan pembangkang memerlukan sekurang-kurangnya 80 peratus penngundian.




"Ramalan awal daripada badan pemikir dan penyelidikan privet, universiti, pusat penyelidikan parti yang bertanding tidak menyatakan dengan jelas pemenang dengan majoriti mudah iaitu 112 daripada 222 kerusi... hanyalah data terakhir menunjukkan Pakatan Harapan (PH), gabungan parti PKR, DAP, Amanah dan Upko serta rakan pilihan raya Muda mendahului parti lain.''




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >