ATLANTA: Ancaman bom palsu telah dilaporkan di beberapa lokasi pengundian di empat negeri utama Amerika Syarikat – Georgia, Michigan, Arizona dan Wisconsin – semasa pengundian Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat sedang berlangsung.
Menurut Biro Siasatan Federal (FBI), ancaman tersebut dipercayai datang dari domain e-mel berdaftar di Russia, walaupun tiada bukti kukuh bahawa ancaman tersebut benar-benar sahih setakat ini.
Di Georgia, dua pusat mengundi di Fulton County terpaksa dikosongkan seketika, menyebabkan operasi tergendala selama kira-kira 30 minit.
Pemerintah tempatan Fulton terpaksa mendapatkan perintah mahkamah bagi melanjutkan waktu mengundi di lokasi tersebut melebihi waktu asal iaitu sehingga 7 malam.
Setiausaha Negeri Georgia, Encik Brad Raffensperger, menyelar ancaman tersebut sebagai campur tangan Russia untuk mengganggu kelancaran pilihan raya dan beliau menyatakan keprihatinan terhadap usaha pihak asing untuk mencetuskan kekacauan dalam proses demokrasi Amerika.
“Russia cuba menimbulkan huru-hara. Mereka mahu kita bergaduh sesama sendiri agar mereka dapat manfaat daripada situasi ini,” kata Encik Raffensperger kepada pemberita.
Bagaimanapun, Kedutaan Russia di Washington menafikan tuduhan tersebut dan menganggapnya sebagai fitnah semata-mata.
Dalam kenyataannya, kedutaan itu menyatakan bahawa Russia tidak pernah campur tangan dalam urusan dalaman negara lain, termasuk Amerika, selaras dengan kenyataan Presiden Vladimir Putin yang menegaskan bahawa Russia menghormati pilihan rakyat Amerika.
Selain Georgia, dua lokasi di Madison, Wisconsin, turut menerima ancaman bom palsu, tetapi pengundian tidak terjejas.
Di Michigan pula, beberapa lokasi dilaporkan menerima ancaman yang sama, namun pejabat Setiausaha Negeri, Cik Jocelyn Benson, mengesahkan bahawa semua ancaman tersebut tidak berasas.
Di Arizona, empat ancaman bom palsu turut dilaporkan di pusat mengundi di Navajo County, kawasan yang majoritinya didiami oleh suku kaum asli Amerika.
Setiausaha Negeri Arizona, Encik Adrian Fontes, mengkritik keras campur tangan Russia dan menyifatkan tindakan itu sebagai cubaan untuk mencemarkan proses demokrasi Amerika.
Ancaman bom itu dilihat sebagai episod terkini dalam siri dakwaan campur tangan Russia dalam pilihan raya Amerika 2024.
Ketika itu, video palsu turut disebarkan bagi menggambarkan dakwaan penipuan undi oleh pendatang Haiti di Georgia serta tuduhan rasuah terhadap salah seorang calon. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg