Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ancaman pengganasan jelang pilihan raya 2024: Agensi keselamatan AS

Sep 15, 2023 | 11:55 AM
AMARAN SERANGAN PENGGANAS: Serangan terhadap Bangunan Capitol Amerika Syarikat pada 6 Januari 2021 menyaksikan ratusan individu didakwa dan menerima hukuman penjara termasuk anggota kumpulan pelampau.
AMARAN SERANGAN PENGGANAS: Serangan terhadap Bangunan Capitol Amerika Syarikat pada 6 Januari 2021 menyaksikan ratusan individu didakwa dan menerima hukuman penjara termasuk anggota kumpulan pelampau. - Foto fail

WASHINGTON: Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat (DHS) memberi amaran bahawa ancaman pengganasan domestik kekal tinggi menjelang pilihan raya November 2024.

Amaran itu dikeluarkan walaupun beratus-ratus individu, termasuk anggota kumpulan pelampau telah dijatuhi hukuman dan dipenjara berhubung serangan pada 6 Januari 2021 ke atas Bangunan Capitol Amerika Syarikat.

“Dalam 2024, kami menjangkakan ancaman kekerasan daripada golongan pelampau di Amerika Syarikat akan kekal tinggi,” kata DHS dalam penilaian ancaman tahunan Amerika.

Menurut DHS, corak ancaman daripada kumpulan pengganas domestik, sama ada mereka yang tidak mempunyai kaitan dengan penjenayah antarabangsa tertentu atau pelampau yang dipengaruhi pertubuhan pengganas asing, tidak banyak berubah.

Kecenderungan kelakuan melampau ini digerakkan oleh gabungan teori konspirasi; dendam peribadi; serta ideologi perkauman, etnik, agama, dan antipemerintah yang berkekalan, yang sering dikongsi dalam talian,” kata laporan DHS.

DHS menyatakan bahawa ancaman utama adalah daripada pelampau bermotifkan kaum dan etnik yang menyokong peperangan kaum.

Dalam dua tahun lepas, beberapa serangan oleh kumpulan pelampau telah menyasarkan prasarana komunikasi dan tenaga, seperti loji kuasa, dengan tujuan menimbulkan ketakutan dan menggugat ketenteraman masyarakat.

Beberapa individu juga telah melakukan tembakan beramai-ramai yang dilakukan atas dasar perkauman.

Kejadian terkini berlaku pada akhir Ogos di Jacksonville, Florida, apabila seorang lelaki kulit putih berusia 21 tahun membunuh tiga orang kulit hitam di sebuah kedai diskaun sebelum membunuh diri sendiri.

Bagi pilihan raya tahun 2024, DHS mengatakan, pelampau yang digerakkan oleh teori konspirasi dan dendam antipemerintah mungkin “mencari jalan untuk mengganggu proses pemilihan”.

DHS memberi amaran tentang kemungkinan kekerasan atau ancaman terhadap pegawai pemerintah, pengundi dan pegawai pemilihan.

Selain itu, DHS berkata, Russia, China dan Iran mungkin mengambil peluang pada musim pilihan raya untuk menjalankan kempen pengaruh secara terang-terangan atau berselindung, bertujuan membentuk dasar luar Amerika yang menguntungkan mereka dan menjejaskan kestabilan Amerika. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg