WASHINGTON: Pengasas pertubuhan sayap kanan Oath Keepers telah dijatuhi hukuman penjara 18 tahun kerana peranannya dalam konspirasi menghasut untuk mengganggu pengiraan pilihan raya, hukuman paling berat setakat ini berpunca daripada serangan ganas ke atas bangunan Capitol, Amerika Syarikat pada 6 Januari 2021 .
Juri di Washington, D.C., mensabitkan Stewart Rhodes pada November lalu atas pertuduhan hasutan berunsur politik dan pelbagai jenayah lain.
Buat pertama kali dalam kes yang berkaitan dengan serangan 6 Januari itu, Hakim Daerah Encik Amit Mehta mendapati tindakan kumpulan sayap kanan itu sama dengan keganasan dan mengambil kira dalam menjatuhkan hukuman di bawah garis panduan nasihat penghukuman.
Peguam Negara, Encik Merrick B. Garland, berkata hukuman tersebut menggambarkan ancaman besar terhadap institusi demokrasi Amerika.
“Jabatan Kehakiman akan terus melakukan segala-galanya dalam bidang kuasa kami untuk mempertanggungjawabkan mereka yang bertanggungjawab secara jenayah atas serangan 6 Januari lalu ke atas demokrasi Amerika,’‘ katanya.
Rhodes telah didakwa atas tuduhan konspirasi menghasut bersama 10 anggota kumpulan lain yang mana tiga anggota kumpulan itu mengaku bersalah.
Hukuman penjara Rhodes boleh mempengaruhi mana-mana hukuman yang sama terhadap ketua kumpulan Proud Boys dan anggota kumpulan sayap kanan yang lain yang didakwa atas tuduhan menghasut berhubung serangan ke atas bangunan Capitol (Kongres) itu.
Ketua kumpulan Proud Boys , Henry ‘Enrique’ Tarrio, sudah pun menghadapi tuduhan lain berkaitan percubaan untuk menyekat kemenangan pilihan raya presiden oleh anggota Parti Demokrat, Encik Joe Biden.
Menurut dakwaan, Tarrio tidak berada di Washington pada 6 Januari 2021, tetapi bertemu dengan Rhodes pada 5 Januari di garaj tempat letak kereta bawah tanah di Washington dan berhubung dengan anggota Proud Boys yang menyerbu bangunan Capitol.
Sebelum ini, dakwaan keatas kumpulan sayap kanan itu dibuat tiga hari sebelum pendengaran awam oleh jawatankuasa pilihan Dewan yang menyiasat kes serbuan bangunan Capitol itu.
Jawatankuasa itu cuba melihat sama ada Encik Trump atau anggota kumpulan kanannya memainkan peranan merancang atau menggalak serangan ganas itu dan memanggil penasihat serta pembantu bekas presiden itu.
Serangan ke atas bangunan Capitol itu menyebabkan sekurang-kurangnya lima orang mati dan 140 pegawai polis cedera menyusuli ucapan berapi-api oleh Encik Trump kepada ribuan penyokongnya berhampiran Rumah Putih.
Encik Trump didakwa sebanyak dua kali, satu rekod bersejarah, oleh Dewan Perwakilan Rakyat selepas rusuhan di Capitol Hill.
Beliau didakwa menghasut pemberontakan tetapi dibebaskan Senat, dengan hanya tujuh anggota parti Republikannya sendiri mengundi menentangnya. – Agensi berita.