Ancaman tarif Greenland: EU pilih rundingan, Denmark perkukuh kehadiran tentera
Ancaman tarif Greenland: EU pilih rundingan, Denmark perkukuh kehadiran tentera
BRUSSELS: Pemimpin Kesatuan Eropah (EU) mula menyatukan pendirian mengenai strategi rundingan dengan Amerika Syarikat pada 18 Januari, susulan ancaman Presiden Amerika, Encik Donald Trump, untuk mengenakan tarif menghukum sekiranya tuntutannya untuk memperoleh Greenland tidak dipenuhi.
Kesatuan itu dipaparkan ketika Denmark akan memperkukuh kehadiran tenteranya di Greenland dan memperluas latihan bersama sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).
Ia sebagai sebahagian daripada usaha lebih meluas untuk meningkatkan tanggungjawab perikatan itu terhadap keselamatan di Artik dan Atlantik Utara.
Kementerian Pertahanan Denmark menyatakan bahawa wujud persefahaman bersama antara Denmark dengan sekutunya bahawa Nato “mesti memikul tanggungjawab yang lebih besar” terhadap keselamatan di kawasan berkenaan.
“Oleh itu, kami akan memperkukuh kehadiran tentera kami di Greenland dan bekerjasama rapat dengan sekutu Nato bagi memastikan kehadiran yang lebih kekal serta lebih banyak latihan bersama di Artik,” kata jurucakap itu dalam satu kenyataan bertulis.
Encik Trump pada 17 Januari menuntut satu perjanjian untuk membeli Greenland dan memberi amaran bahawa kegagalan mencapai persetujuan akan mendorong Washington mengenakan tarif ke atas beberapa negara Eropah.
Menurutnya, tarif akan bermula pada kadar 10 peratus pada Februari dan meningkat kepada 25 peratus menjelang Jun.
Ancaman itu mencetuskan mesyuarat segera duta-duta dari 27 negara anggota EU di Brussels pada 18 Januari bagi menilai keadaan.
Walaupun perbincangan itu bersifat awal, beberapa perkara menjadi jelas – EU lebih cenderung memilih jalan rundingan berbanding tindak balas balas, namun pada masa sama, bertekad mempertahankan Greenland sebagai wilayah autonomi di bawah Denmark daripada dibeli atau diambil alih jika itu bukan kehendak rakyatnya.
Pentadbiran Encik Trump, bagaimanapun, menunjukkan tiada tanda berundur.
Dalam temu bual bersama rancangan NBC, Meet the Press, Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Encik Scott Bessent, berkata pemimpin Eropah akhirnya akan menerima bahawa kawalan Amerika ke atas Greenland adalah “yang terbaik untuk Greenland, terbaik untuk Eropah dan terbaik untuk Amerika”.
“Pemimpin Eropah akan akhirnya menerima perkara ini,” katanya.
Lewat malam 18 Januari, Encik Trump menambah tekanan dengan menulis di platform Truth Social bahawa Nato telah memberitahu Denmark selama 20 tahun bahawa negara itu perlu “menjauhkan ancaman Russia daripada Greenland”.
“Malangnya, Denmark gagal berbuat apa-apa. Kini masanya telah tiba, dan ia akan dilakukan!!!” tulis Encik Trump, tanpa menjelaskan lanjut maksud kenyataan tersebut.
Jika Washington terus menekan EU berhubung isu Greenland, pegawai Eropah tidak menolak kemungkinan bertindak balas, menurut dua diplomat yang mengetahui perbincangan dalaman tersebut.
Antara pilihan yang sedang dipertimbangkan ialah mengaktifkan semula senarai tarif balas bernilai 93 bilion euro ($139 bilion) yang dirangka ketika perang perdagangan pada 2025 dan dijangka berkuat kuasa seawal Februari.
Selain itu, beberapa anggota Parlimen Eropah dan Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, mencadangkan agar EU menggunakan langkah yang lebih tegas melalui satu instrumen khas yang belum pernah digunakan sebelum ini bagi menentang paksaan ekonomi daripada pihak luar.
Cadangan ini dikemukakan sebagai pilihan sekiranya tekanan berterusan dikenakan terhadap EU.
Instrumen tersebut, yang secara rasmi dikenali sebagai instrumen anti-paksaan dan secara tidak rasmi digelar “bazuka perdagangan” Eropah, membolehkan EU mengenakan sekatan terhadap syarikat teknologi besar Amerika atau penyedia perkhidmatan lain yang menjalankan perniagaan berskala besar di benua itu, sekiranya didapati terlibat dalam tindakan yang dianggap memaksa atau menekan kepentingan ekonomi EU.
Bagaimanapun, diplomat menegaskan langkah sedemikian bukan pilihan pertama kerana berisiko mencetuskan peningkatan konflik perdagangan.
Semua pilihan EU dijangka dibincangkan dalam mesyuarat kepimpinan yang akan diadakan di Brussels dalam beberapa hari akan datang.
Presiden Majlis Eropah, Ebcik Antonio Costa, mengumumkan beliau telah memutuskan untuk memanggil mesyuarat khas pemimpin EU, yang mungkin berlangsung pada 22 Januari.
Mesyuarat itu dijangka berlangsung ketika ramai pemimpin Eropah bersiap untuk menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, acara yang turut dirancang dihadiri Encik Trump, sekali gus membuka ruang pertemuan langsung.
Walaupun sebahagian pemimpin Eropah masih berharap isu ini dapat diselesaikan melalui perbincangan, kemajuan setakat ini dilihat terhad.
Eropah selama ini berhati-hati untuk bertindak balas keras terhadap Amerika kerana kebergantungan terhadap Washington dalam aspek ketenteraan dan sokongan Nato.
Namun, Encik Brando Benifei, anggota Parlimen Eropah dan pengerusi delegasi hubungan Amerika-EU, berkata sentimen awam di Eropah kini semakin kritikal terhadap Amerika.
“Ramai yang mengatakan kita sudah jelas melampaui satu garis merah,” katanya dalam satu wawancara.
Di London, Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, berkata beliau telah menghubungi Encik Trump pada 18 Januari dan menegaskan bahawa “mengenakan tarif ke atas sekutu kerana mempertahankan keselamatan bersama Nato adalah satu kesilapan”, menurut jurucakap Downing Street.
Perdana Menteri Italy, Cik Giorgia Meloni, turut berkata beliau telah berbincang dengan Encik Trump dan menyifatkan cadangan tarif itu sebagai “satu kesilapan”.
Setiausaha Agung Nato, Encik Mark Rutte, memaklumkan di media sosial bahawa beliau juga telah berbincang dengan Encik Trump mengenai Greenland, sambil menyatakan usaha akan diteruskan dan beliau menantikan pertemuan di Davos.
Reaksi sekutu Amerika semakin tegas.
Britain, Perancis dan Jerman bersama Denmark mengeluarkan kenyataan bersama pada 18 Januari mengecam ancaman tarif tersebut, dengan menyatakan ia “melemahkan hubungan transatlantik dan berisiko mencetuskan kitaran kemerosotan yang berbahaya”.
Negara-negara penandatangan, semuanya anggota Nato, menegaskan solidariti bersama Greenland dan berikrar untuk kekal “bersatu dan terkoordinasi dalam tindak balas”.
Kenyataan itu kemudiannya disokong oleh beberapa negara Eropah lain termasuk Iceland, Latvia dan Lithuania, mencerminkan kesepakatan yang semakin kukuh dalam menghadapi tekanan Washington. – Agensi berita.

