BRUSSELS (Belgium): Pemimpin Kesatuan Eropah (EU) pada 17 Januari memberi amaran tentang kesan berbahaya yang boleh melanda menyusuli ikrar Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, untuk melaksanakan kenaikan tarif ke atas sekutu Eropah sehingga Amerika dibenarkan membeli Greenland.
“Tarif akan menjejas hubungan transatlantik dan berisiko mencetus kesan yang berbahaya. Eropah akan kekal bersatu, bekerjasama, dan komited mempertahankan kedaulatannya,” kata Presiden Suruhanjaya Eropah, Cik Ursula von der Leyen, dan Presiden Majlis Eropah, Encik Antonio Costa, dalam hantaran di X.
Diplomat Tertinggi Suruhanjaya Eropah, Cik Kaja Kallas, berkata tarif akan menjejas kemakmuran di kedua-dua belah Atlantik, sambil mengalih tumpuan EU daripada “tugas utama” menamatkan perang Russia di Ukraine.
“China dan Russia pasti sedang bergembira. Mereka mendapat manfaat daripada perpecahan antara sekutu,” kata Cik Kallas di X.
“Tarif berisiko menjadikan Eropah dan Amerika lebih miskin serta menjejas kemakmuran di antara kita. Jika keselamatan Greenland terancam, kita boleh menanganinya melalui Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato),” tambah Cik Kallas.
Para duta daripada 27 negara anggota EU akan mengadakan mesyuarat kecemasan pada 18 Januari untuk membincangkan tindak balas mereka terhadap ancaman tarif itu.
Sementara itu, dalam hantaran di Truth Social pada 17 Januari, Encik Trump berkata tarif import tambahan sebanyak 10 peratus akan berkuat kuasa pada 1 Februari bagi barangan dari Denmark, Norway, Sweden, Perancis, Jerman, Belanda, Finland dan Britain.
Kesemua negara tersebut sudah dikenakan tarif oleh Encik Trump sebelum ini.
Menurut Encik Trump, tarif tersebut akan dinaikkan kepada 25 peratus pada 1 Jun dan akan kekal sehingga wujud persetujuan membenarkan Amerika membeli Greenland.
Encik Trump berulang kali menegaskan beliau tidak akan berkompromi sehingga Greenland, yang merupakan wilayah autonomi milik Denmark, diperolehinya.
Pemimpin Denmark dan Greenland menegaskan bahawa pulau tersebut bukan untuk dijual dan tidak mahu menjadi sebahagian daripada Amerika.
Satu tinjauan Reuters/Ipsos ke atas penduduk Amerika minggu ini mendapati kurang satu daripada lima responden menyokong idea pemerolehan Greenland.
Encik Trump berulang kali menyatakan kepentingan Greenland bagi keselamatan Amerika kerana kedudukan strategik dan sumber mineral yang besar.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan menggunakan kekerasan untuk memperoleh pulau tersebut.
Negara-negara Eropah minggu ini telah mengerah anggota tentera mereka ke pulau tersebut atas permintaan Denmark.
“Negara-negara ini, yang sedang bermain permainan yang sangat berbahaya, telah meletakkan (negara mereka) dalam risiko yang tidak boleh diterima atau dikekalkan,” tulis Encik Trump.
Pada 17 Januari, penunjuk perasaan di Denmark dan Greenland mengadakan bantahan menentang tuntutan Encik Trump serta menegaskan bahawa wilayah itu perlu diberi hak untuk menentukan masa depannya sendiri.
Negara-negara yang disenaraikan oleh Encik Trump pada 17 Januari telah menyokong Denmark – amaran bahawa jika tentera Amerika mengambil alih wilayah yang merupakan anggota Nato, ia boleh menggugat keselamatan pakatan ketenteraan yang diketuai Washington.
“Pengumuman Presiden (Trump) mengejutkan,” kata Menteri Luar Denmark, Encik Lars Lokke Rasmussen, dalam satu kenyataan.
Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, mengutuk ancaman Encik Trump, dan berkata di X bahawa negaranya akan membangkitkan isu itu secara langsung dengan Washington.
“Mengenakan tarif ke atas negara sekutu kerana mempertahankan keselamatan bersama anggota Nato adalah salah sama sekali,” kata Encik Starmer.
Selain itu, para pegawai Norway, Sweden, Perancis dan Jerman turut menegaskan sokongan mereka terhadap Denmark pada 17 Januari dan berkata tarif tidak sepatutnya menjadi sebahagian daripada perbincangan mengenai Greenland.
Sementara itu, Cyprus, yang kini memegang jawatan sebagai pengerusi EU, berkata ia akan mengadakan mesyuarat kecemasan bagi para duta daripada 27 negara anggota kesatuan itu pada 18 Januari. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg