WASHINGTON: Amerika Syarikat melepasi 800,000 kematian akibat Covid-19 menurut maklumat yang dikeluarkan Universiti Johns Hopkins.
Angka itu jauh lebih besar daripada keseluruhan penduduk di beberapa negeri, termasuk North Dakota dan Alaska.
Speaker Dewan Perwakilan Amerika, Cik Nancy Pelosi; Speaker Dewan Senat, Encik Chuck Schumer; Pemimpin Dewan Republikan, Encik Kevin McCarthy, dan ahli Kongres yang lain bertafakur di tangga bangunan Capitol petang kelmarin.
"Pada hari ini... kita mengingati bahawa 800,000 orang tersayang sudah terkorban, kita kehilangan bapa atau datuk, ibu atau nenek, kawan dan mereka yang dikenali di kawasan kejiranan kita.
"Kita semua tahu bahawa penyakit ini sudah meragut banyak nyawa," kata Encik Schumer dalam satu kenyataan.
Kira-kira 450,000 daripada kematian berlaku pada 2021, walaupun suntikan vaksin berjaya mengurangkan jangkitan sejak dibenarkan pada Disember 2020 dan digunakan secara meluas menjelang musim bunga lalu.
Sebilangan besar kematian membabitkan mereka yang tidak divaksinasi.
Menurut data rasmi, analisis terbaru September lalu, risiko kematian akibat Covid-19 adalah 14 kali lebih tinggi dalam kalangan orang yang belum divaksin sepenuhnya.
Vaksinasi meningkat semasa gelombang keempat penyakit itu, didorong oleh jangkitan varian Delta, dan lebih 60 peratus daripada 332 juta orang di negara itu sudah divaksin sepenuhnya - walaupun Amerika masih ketinggalan di belakang negara kaya lain.
Negara itu kini memasuki gelombang kelima, dengan pusat penularan kes kini tertumpu di negeri utara yang lebih sejuk, apabila orang ramai mula berkumpul di rumah.
Varian baharu Covid-19, Omicron, meningkatkan kebimbangan di seluruh dunia sejak pertama kali dilaporkan di Afrika Selatan pada akhir bulan lalu, kini menyumbang kira-kira 3 peratus daripada keseluruhan kes jangkitan di Amerika, yang dijangka meningkat dengan cepat, seperti yang berlaku di negara lain.
Data awal menunjukkan Omicron hanya menyebabkan penyakit yang lebih ringan pada kebanyakan orang yang sah dijangkiti, namun peningkatan kebolehjangkitan dan keupayaan mengatasi sistem imuniti boleh menyebabkan lebih ramai orang boleh dijangkiti.
Pihak berkuasa kesihatan menggesa semua yang berusia lebih 16 tahun mendapatkan suntikan penggalak bagi memulihkan imuniti ke tahap yang setanding dengan dua dos terhadap jenis terdahulu. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg