VALENCIA (Sepanyol): Angka kematian akibat banjir kilat yang dahsyat di timur Sepanyol meningkat kepada 158 orang pada 31 Oktober.
Pasukan penyelamat masih mencari mereka yang hilang dalam apa yang disifatkan sebagai bencana berkaitan ribut terburuk di Eropah dalam tempoh lebih lima dekad.
“Terdapat sejumlah 158 orang yang terkorban dan angka kematian dijangka bertambah akibat berpuluh-puluh orang yang dilaporkan hilang,” kata Encik Angel Victor Torres, menteri yang bertanggungjawab bagi dasar kerjasama wilayah Sepanyol, dalam satu sidang akhbar.
Hujan sepanjang setahun telah turun dalam tempoh lapan jam di beberapa bahagian wilayah Valencia pada 29 Oktober.
Tragedi itu merupakan bencana berkaitan banjir terburuk dalam sejarah moden Sepanyol, dan pakar meteorologi berkata perubahan iklim yang disebabkan oleh perbuatan manusia menjadikan kejadian cuaca ekstrem seperti itu lebih kerap berlaku dan menimbulkan kerosakan besar.
Pada 2021, sekurang-kurangnya 185 orang maut dalam banjir besar di Jerman.
Sebelum itu, 209 nyawa terkorban di Romania pada 1970 dan banjir di Portugal pada 1967 membunuh hampir 500 orang.
Pasukan penyelamat pada 31 Oktober menemui lapan mayat, termasuk seorang anggota polis tempatan, yang terperangkap di dalam garaj di pinggir bandar Valencia, kata Datuk Bandar, Cik Maria Jose Catala, kepada pemberita.
Di kawasan kejiranan yang sama di La Torre, katanya, seorang wanita berusia 45 tahun turut ditemui mati di dalam rumahnya.
Beribu-ribu orang yang membawa beg atau menolak troli beli-belah dapat dilihat melintasi jejatas merentasi Sungai Turia dari La Torre ke pusat bandar Valencia untuk menyimpan bekalan penting.
Anggota politik pembangkang menuduh pemerintah pusat di Madrid bertindak terlalu perlahan untuk memberi amaran kepada penduduk dan menghantar pasukan penyelamat.
Kementerian Dalam Negeri berkata pihak berkuasa wilayah bertanggungjawab terhadap langkah perlindungan awam.
“Mereka yang terkorban tidak akan mati jika mereka diberi amaran tepat pada masanya,” kata pengurus pasar raya, Cik Laura Villaescusa.
Cik Maribel Albalat, datuk bandar Paiporta yang berdekatan, berkata penduduk tidak diberi amaran tentang bahaya banjir yang akan berlaku.
Menurutnya, 62 orang terkorban di bandarnya.
“Kami mendapati ramai orang tua di dalam rumah mereka dan orang yang pergi untuk mendapatkan kereta mereka. Mereka terperangkap dalam banjir,” tambahnya.
Di Godelleta, sebuah bandar di barat bandar Valencia,seorang penduduk, Encik Antonio Molina, 52 tahun, menggambarkan bagaimana beliau terselamat dengan berpaut pada tiang di anjung rumah jiran ketika air mencecah lehernya.
Rumah Encik Molina mengalami dua banjir besar pada 2018 dan 2020 dan beliau menyalahkan pihak berkuasa kerana membenarkan pembinaan bangunan kediaman dalam lekukan tempat air terkumpul.
“Kami tidak mahu tinggal di sini lagi,” katanya.
Banjir itu turut menjejas prasarana di sekitar Valencia, menghanyutkan jambatan, jalan raya dan landasan kereta api serta menenggelamkan ladang di rantau yang menghasilkan kira-kira dua pertiga daripada tanaman sitrus Sepanyol seperti oren, yang dieksport ke serata dunia.
Kira-kira 80 kilometer jalan raya di wilayah timur rosak teruk atau tidak dapat dilalui, kata Menteri Pengangkutan, Encik Oscar Puente.
Beliau menambah bahawa pihaknya perlu mengambil masa dua hingga tiga minggu untuk memulihkan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi yang terjejas antara Valencia dengan Madrid.
Mengunjungi pusat penyelarasan menyelamat berhampiran bandar Valencia, Perdana Menteri Sepanyol, Encik Pedro Sanchez, menggesa orang ramai supaya tidak keluar rumah kerana ancaman cuaca lebih buruk.
“Buat masa ini perkara yang paling penting ialah melindungi sebanyak mungkin nyawa,” katanya kepada pemberita.
Di kawasan di luar bandar Utiel yang dilanda teruk, tebing Sungai Magro pecah, menyebabkan limpahan air sehingga tiga meter ke kebanyakan rumah satu tingkat di sekitarnya.
Datuk Bandar Utiel, Ricardo Gabaldon, berkata sekurang-kurangnya enam orang maut di bandar dengan kira-kira 12,000 orang, kebanyakannya warga emas atau orang kurang upaya yang tidak dapat melarikan diri ke tempat lebih selamat.
Kumpulan penyelidik Climate Central berkata dalam satu laporan pada 31 Oktober bahawa sistem tekanan rendah di sebalik banjir Sepanyol telah memasuki “sungai atmosfera” yang membawa kelembapan berlebihan dari Atlantik Tropika yang luar biasa hangat. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg