GENERAL SANTOS (Filipina): Pasukan penyelamat di selatan Filipina menemui satu lagi mayat dari runtuhan sebuah pasar raya yang roboh pada 10 Jun ketika angka korban gempa bumi kuat di Mindanao terus meningkat kepada 46 orang.

Gempa bumi bermagnitud 7.8 yang berlaku di luar pantai Mindanao pada 8 Jun itu memusnahkan bangunan, menyebabkan tanah runtuh dan amaran tsunami di beberapa kawasan di pulau selatan Filipina itu.

Mayat yang ditemui dikenal pasti sebagai Encik Joey Deluvio, 39 tahun, seorang daripada dua pekerja pasar raya di General Santos City yang menjadi tumpuan operasi mencari dan menyelamat sejak dua hari lalu walaupun gegaran susulan terus berlaku.

Penyelamat tempatan, Encik Michelle Chua, berkata peralatan hayat sebelum ini mengesan “denyutan lemah” ketika operasi dijalankan.

“Namun, apabila pasukan berjaya sampai ke lokasi mangsa, tiada lagi tanda-tanda kehidupan,” katanya, lapor agensi berita, AFP.

Mayat Encik Deluvio ditemui tersepit di antara dua batang rusuk konkrit runtuhan bangunan.

Agensi bencana nasional Filipina menaikkan angka korban rasmi kepada 45 orang pada 10 Jun, manakala jumlah mangsa hilang meningkat mendadak daripada empat kepada 17 orang.

Bagaimanapun, pejabat pertahanan awam mengesahkan angka itu belum termasuk Encik Deluvio yang ditemui beberapa jam kemudian.

Pegawai pertahanan awam, Encik Rafaelito Alejandro, berkata kebanyakan kematian tambahan direkodkan di wilayah Davao Occidental dan sebahagian besar mangsa maut akibat tanah serta bangunan runtuh.

“Sebahagian besar mangsa terbunuh akibat runtuhan bangunan dan tanah runtuh di kawasan pergunungan,” katanya dalam wawancara radio.

Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan di beberapa bangunan rosak teruk bagi memastikan tiada lagi mangsa terperangkap.

Pihak berkuasa mengakui terdapat beberapa bangunan runtuh dan struktur yang mengalami kerosakan serius masih perlu diperiksa secara menyeluruh.

Gempa bumi yang berpusat di laut berhampiran Mindanao itu turut mencederakan hampir 500 orang dan memaksa lebih 32,000 penduduk berpindah ke pusat perlindungan sementara.

Ramai penduduk meninggalkan rumah mereka kerana bimbang tsunami akan melanda kawasan pantai.

Ombak tsunami setinggi 1.4 meter direkodkan di beberapa kawasan di Filipina, namun kerosakan besar akibat tsunami tidak dilaporkan kecuali enam rumah atas air yang musnah di sebuah kampung pesisir pantai.

Ombak kecil turut dilaporkan melanda kawasan di Indonesia, Palau dan selatan Jepun.

General Santos, bandar pesisir yang terkenal sebagai pusat industri tuna Filipina dengan lebih 700,000 penduduk, antara kawasan paling teruk terjejas.

Sekurang-kurangnya 13 orang maut di bandar itu akibat bangunan runtuh dan serpihan yang jatuh.

Di wilayah Sarangani pula, sekurang-kurangnya 18 orang maut kebanyakannya akibat tanah runtuh yang menimbus rumah di bandar Glan.

Kematian lain direkodkan di South Cotabato, Davao Occidental dan Pulau Balut.

Penilaian awal pemerintah menunjukkan kira-kira 2,500 rumah dan 117 bangunan serta kemudahan pemerintah mengalami kerosakan di beberapa wilayah.

Lapangan Terbang Antarabangsa General Santos masih ditutup untuk hari kedua berturut-turut, menyebabkan 63 penerbangan domestik dibatalkan kecuali penerbangan bantuan kemanusiaan.

Kira-kira 6,000 bangunan sekolah awam di wilayah terjejas juga perlu diperiksa sebelum sesi persekolahan boleh disambung semula.

Gempa itu berlaku pada hari pertama sesi persekolahan nasional selepas cuti musim panas selama dua bulan.

Ramai mangsa yang cedera dilaporkan terdiri daripada pelajar yang sedang berhimpun untuk upacara menaikkan bendera pagi.

Pihak berkuasa memberi amaran bangunan yang mengalami keretakan berisiko runtuh akibat gegaran susulan yang masih berlaku dan sebahagiannya agak kuat.

“Kami tidak boleh memaksa sekolah dibuka segera kerana perlu memastikan keselamatan dan struktur bangunan,” kata Encik Alejandro.

Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina berkata gempa itu berpunca daripada pergerakan di Parit Cotabato, pada kedalaman 33 kilometer dan merupakan gempa paling kuat sejak tragedi gempa dan tsunami 1976.

Gempa bermagnitud 8.1 pada 17 Ogos 1976 itu mencetuskan tsunami setinggi lapan hingga 10 meter dan mengorbankan kira-kira 8,000 orang.

Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr., mengarahkan pegawai kanan pertahanan dan pengurusan bencana dari Manila ke kawasan terjejas bagi menyelaras operasi mencari dan menyelamat serta pengagihan bantuan makanan dan bahan binaan.

Amerika Syarikat, sekutu pertahanan Filipina, berkata pihaknya bersedia membantu operasi bantuan kemanusiaan.

Perancis, Jepun dan New Zealand turut menyatakan sokongan kepada Filipina.

Filipina sering dilanda gempa bumi dan letusan gunung berapi kerana kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik, kawasan yang aktif dengan pergerakan seismik. – Agensi berita.