Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

GEMPA DI SULAWESI

Angka korban naik kepada hampir 1,400 orang

Oct 04, 2018 | 05:30 AM



PALU (Sulawesi Tengah): Hampir 1,400 orang kini disahkan maut dalam gempa bumi dan tsunami yang membadai Sulawesi Tengah, dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran tentang keperluan "besar" mangsa bencana itu dan pasukan penyelamat.



Hampir 200,000 orang memerlukan bantuan segera, kata pejabat kemanusiaan PBB, termasuk puluhan ribu anak-anak, dengan anggaran 66,000 rumah hancur atau rosak oleh gempa sekuat 7.5 pada skala Richter dan tsunami yang dicetuskannya.



Mangsa kehausan dan kelaparan dengan kurang bekalan makanan dan air bersih dan hospital tempatan dibebani oleh jumlah mangsa cedera yang tinggi.



"Masih ada kawasan besar yang mungkin paling teruk terjejas yang belum dapat dimasuki (oleh bantuan kemanusiaan) dengan betul, tetapi pasukan penyelamat terus berusaha, mereka melakukan apa yang termampu," kata Encik Jens Laerke, daripada pejabat kemanusiaan PBB, kepada pemberita di Geneva kelmarin.



Sedang mangsa terselamat mengumpulkan mayat di kawasan kejiranan mereka, mereka menemui lebih banyak mayat.



"Jumlah korban kini 1,374, dan 113 hilang," kata Encik Willem Rampangilei, ketua agensi bencana nasional Indonesia, di Palu.



"Dan masih ada beberapa mayat terperangkap di bawah runtuhan. Kami tidak tahu berapa banyak. Keutamaan kami masih mencari dan menyelamatkan orang," ujarnya.



Dalam usaha menyelamat diteruskan di Sulawesi Tengah, Gunung Soputan di Sulawesi Utara di pulau yang sama meletup semalam, mengeluarkan abu gunung berapi setinggi 4,000 meter ke langit.



Pihak berkuasa memerintahkan orang keluar dari radius empat kilometer dari puncak itu, dengan menyebut mengenai ancaman lahar dan awan mendung akibat letusan itu, menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB).



Namun, Lapangan Terbang Antarabangsa Sam Ratulangi di Manado, ibu kota Sulawesi Utara, beroperasi seperti normal, kata Dr Sutopo Purwo Nugroho, jurucakap BNPB dalam satu kenyataan.



Gunung Soputan terletak 900 kilometer ke timur laut kawasan bencana gempa dan tsunami itu dan tiada laporan segera mengenai sembarang mangsa daripada letusan gunung berapi tersebut.



Presiden Indonesia, Encik Joko 'Jokowi' Widodo, melakukan kunjungan kedua ke pulau Sulawesi semalam - menggariskan keadaan kian terdesak - dengan mengatakan usaha membantu mangsa sedang dipertingkat dan beliau ingin melihat kegiatan ekonomi diteruskan.



"Apa yang saya perhatikan selepas datang lagi ialah peralatan berat telah tiba, logistik telah mula tiba walaupun belum maksimum, bahan api sebahagiannya telah tiba," kata Encik Jokowi.



Ditanya mengenai usaha memulihkan bekalan elektrik, beliau berkata: "Ini adalah satu proses. Yang paling penting, saya telah meminta gabenor membuka semula pusat-pusat ekonomi supaya orang mula kembali ke kegiatan harian, sementara proses pemindahan diteruskan, dan kemudian pemulihan dan pembinaan semula.



Semasa kali pertama ke sana kelmarin, beliau meminta bantuan tambahan bagi usaha mencari mangsa, sambil berkata semua orang perlu dicari.



Beliau mengulangi gesaan itu selepas meninjau usaha "pemindahan" di Hotel Roa Roa, di mana beliau berkata kira-kira 30 orang terperangkap dalam puing.



Sekurang-kurangnya tujuh pesawat kargo tiba di lapangan terbang Palu awal pagi semalam membawa bertan-tan bantuan, sebahagiannya tertera cap mohor pejabat presiden yang menyatakan: "Bantuan daripada Presiden Republik Indonesia".



Dr Sutopo berkata kelmarin bahawa penyelamat telah sampai ke semua empat daerah yang terjejas paling teruk, yang jumlah penduduknya 1.4 juta, tetapi enggan memberikan anggaran jumlah korban.



Tawaran bantuan antarabangsa bertambah sejak Jakarta meminta pertolongan. Lewat kelmarin, Pusat Respons Kecemasan PBB berkata ia sedang mengagihkan bantuan berjumlah AS$15 juta ($20.1 juta).



Australia semalam mengumumkan ia menghantar pasukan perubatan ke zon bencana itu dan menyediakan bantuan tambahan berjumlah AS$5 juta.



Walaupun pegawai memberi jaminan, keadaan terdesak terpapar di jalan-jalan di Palu, ibu kota Sulawesi Tengah, di mana mangsa berussaha mencari apa sahaja yang boleh diselamatkan.



"Pemerintah, presiden telah datang ke sini, tapi apa yang kami perlukan ialah makanan dan air," kata Burhanuddin Aid Masse, 48 tahun.



Masalah sanitasi juga semakin meningkat. "Orang di mana-mana hendak pergi ke tandas tetapi tidak ada tandas. Jadi kami melakukannya sepanjang jalan pada waktu malam," kata Armawati, 50 tahun.



Terdapat kebimbangan bahawa masyarakat lebih terpencil terlepas respons yang diberi kepada Palu. Kemusnahan lebih terserlah di sepanjang jalan ke Donggala, sebuah bandar besar yang hampir dengan pusat gempa itu.



"Jangan pusatkan semua bantuan di Palu," rayu Farid, seorang penduduk Donggala berusia 48 tahun. "Kami di Donggala tidak ada apa-apa." - Reuters, AFP




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >