Topic followed successfully
Go to BHkuAngkasawan Artemis II telah lepasi titik tengah antara bumi dengan bulan
Angkasawan Artemis II telah lepasi titik tengah antara bumi dengan bulan
Angkasawan Artemis II telah lepasi titik tengah antara bumi dengan bulan
HOUSTON: Angkasawan Artemis II telah melepasi titik tengah antara bumi dengan bulan pada 4 April ketika mereka memecut ke arah lintasan lunar, dengan Pentadbiran Penerbangan dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) mengeluarkan imej awal bumi yang diambil daripada dalam kapal angkasa Orion.
Salah seorang angkasawan, Cik Christina Koch, berkata kru begitu gembira setelah diberitahu tentang peristiwa penting itu, yang dicapai sekitar dua hari, lima jam dan 24 minit selepas kapal angkasa itu berlepas daripada Pusat Angkasa Kennedy di Florida.
“Kami dapat melihat bulan, ia adalah pemandangan yang indah,” katanya sekitar 11 malam pada 3 April, menurut siaran langsung rasmi agensi angkasa lepas.
Papan pemuka dalam talian Nasa pada 4 April menunjukkan bahawa kapal angkasa Orion yang membawa angkasawan kini berada lebih 229,000 kilometer dari bumi.
Agensi angkasa lepas itu sebelum ini mengeluarkan imej daripada Orion yang merangkumi potret penuh bumi, yang menampilkan lautan biru tua dan awan berkepul.
Selepas beberapa aktiviti berisiko tinggi termasuk letupan dramatik dan enjin yang melonjakkan mereka ke angkasa untuk mengelilingi bulan, empat angkasawan kini dapat menarik nafas lega ketika mereka terus melakukan pelbagai pemeriksaan dan ujian peralatan.
“Saya rasa seakan begitu tidak percaya, ia sangat luar biasa,” kata Encik Jeremy Hansen dari Canada semasa sesi soal jawab dengan pihak media pada lewat 2 April.
“Saya sangat menyukainya di atas sini. Pemandangan sangat luar biasa,” kata Encik Hansen, dalam perjalanan pertamanya ke angkasa lepas.
“Sangat menyeronokkan untuk terapung-apung dalam sifar graviti. Ia membuatkan saya rasa seperti kanak-kanak kecil,” tambahnya.
Angkasawan – Encik Koch, Encik Victor Glover, Encik Reid Wiseman dan Encik Hansen – kini berada pada laluan “pulang bebas”, yang menggunakan graviti bulan untuk meluncur mengelilinginya sebelum kembali ke bumi tanpa dorongan.
Mereka dijadualkan mengelilingi bulan awal minggu depan – satu pencapaian baru dalam tempoh lebih 50 tahun.
Pegawai Nasa, Cik Lakiesha Hawkins, memuji gambar-gambar yang diambil oleh Encik Wiseman, menyifatkannya sebagai “menakjubkan” semasa taklimat pada 3 April.
“Kami terus mempelajari semua tentang kapal angkasa kami semasa kami mengendalikannya di angkasa lepas bersama kru buat kali pertama.
“Adalah penting untuk mengingatkan diri kita tentang perkara itu semasa kami mempelajari sedikit lagi hari demi hari,” ujar beliau. – AFP.

