Topik diikuti
Pergi ke BHkuNasa lancar misi ke bulan pertama dengan anak kapal dalam setengah abad
Nasa lancar misi ke bulan pertama dengan anak kapal dalam setengah abad
‘Artemis II’ langkah paling berani AS dekad ini, dalam perlumbaan angkasa lepas
Nasa lancar misi ke bulan pertama dengan anak kapal dalam setengah abad
CAPE CANAVERAL (Florida): Empat angkasawan telah berlepas dari Florida, Amerika Syarikat, pada 1 April dalam misi Artemis II Pentadbiran Penerbangan dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa), sebuah perjalanan berisiko tinggi selama 10 hari mengelilingi bulan.
Ia menandakan langkah paling berani Amerika setakat ini – dalam perlumbaan dengan China – untuk mengembalikan manusia ke permukaan bulan pada dekad ini.
Roket Sistem Pelancaran Angkasa (SLS) Nasa, yang dilengkapi kapsul anak kapal Orion, mula bergerak sejurus sebelum matahari terbenam pada 6.35 petang (6.35 pagi, 2 April waktu Singapura) di Pusat Angkasa Kennedy agensi tersebut di Cape Canaveral, Florida.
Ia membawa anak kapal – tiga angkasawan Amerika dan seorang angkasawan Canada – ke orbit bumi.
Kenderaan angkasa setinggi 32 tingkat itu membelah langit cerah meninggalkan tiang wap tebal berwarna putih yang menjulang tinggi.
Pentadbir Nasa, Encik Jared Isaacman, berkata pelancaran itu hanyalah permulaan bagi misi seterusnya yang akan merangkumi pembinaan sebuah pangkalan di bulan, bagi menyokong hasrat mereka “mewujudkan kehadiran yang kekal di permukaannya”.
Jika misi itu berjalan seperti dirancang, anak kapal yang terdiri daripada angkasawan Nasa, Encik Reid Wiseman, Encik Victor Glover dan Cik Christina Koch, serta angkasawan Agensi Angkasa Canada, Encik Jeremy Hansen, akan terbang mengelilingi bulan dan kembali dalam ekspedisi hampir 10 hari itu.
Ia bakal menguji kapal angkasa tersebut sambil menjelajah lebih jauh ke angkasa daripada yang pernah dicapai manusia.
Misi itu merupakan penerbangan ujian dengan anak kapal sulung dalam program Artemis, pengganti projek Apollo era Perang Dingin Nasa, dan yang pertama di dunia menghantar angkasawan ke kawasan berhampiran bulan, keluar dari orbit bumi, dalam tempoh 53 tahun.
Ia berfungsi sebagai latihan penting sebelum usaha Nasa mendaratkan manusia di permukaan bulan dalam dekad ini, selepas satu lagi misi dengan anak kapal bagi mengelilingi bulan.
Nasa menyasarkan 2028 untuk Artemis IV, pendaratan pertama angkasawan di Kutub Selatan bulan, dengan tujuan mendahului misi dengan anak kapal China yang dirancang ke kawasan sama di bulan seawal 2030.
Kali terakhir angkasawan berjalan di atas bulan – pencapaian yang setakat ini hanya berjaya dilakukan oleh Amerika – adalah dalam misi Apollo terakhir pada 1972.
Selepas hampir tiga tahun menjalani latihan, anak kapal itu menjadi yang pertama terbang dalam program Artemis Nasa – satu siri misi bernilai berbilion dolar yang diasaskan pada 2017.
Matlamatnya adalah membina kehadiran Amerika yang berkekalan di bulan, sekali gus membuka jalan kepada misi ke Marikh pada masa hadapan.
Beberapa minit sebelum roket itu berlepas, angkasawan Canada, Encik Hansen, yang terikat di dalam Orion, berkata kepada pusat kawalan misi di Houston: “Ini Jeremy, kami pergi demi kemanusiaan.”
Pengarah Pelancaran, Encik Charlie Blackwell-Thompson, berkata:
“Reid, Victor, Christina dan Jeremy, dalam misi bersejarah ini, kalian membawa bersama hati pasukan Artemis ini, semangat berani rakyat Amerika dan rakan kerjasama kami di seluruh dunia, serta harapan dan impian generasi baharu.”
“Semoga berjaya, semoga selamat, Artemis II. Yuk pergi,” tambahnya.
Pelepasan kapal angkasa pada 1 April itu menandakan pencapaian besar bagi agensi angkasa Amerika itu, setelah lebih sedekad dalam pembangunan.
Ia sekali gus membuktikan kepada kontraktor utamanya, Boeing dan Northrop Grumman, bahawa roket SLS mereka itu benar-benar mampu membawa manusia ke angkasa dengan selamat.
Nasa semakin bergantung pada roket baharu yang lebih murah daripada SpaceX, milik usahawan, Encik Elon Musk, dan syarikat lain untuk menghantar angkasawan ke orbit rendah bumi. – Reuters.
