BEIJING: China berjaya melancarkan kapal angkasa Shenzhou-24 pada 25 November, membawa tiga angkasawan termasuk seorang warga Pakistan yang bakal mencipta sejarah sebagai angkasawan asing pertama menjejakkan kaki ke stesen angkasa Tiangong milik China.

Kapal angkasa itu dilancarkan menggunakan roket Long March-2F pada 8.18 pagi dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di Gurun Gobi, barat laut China.

Muhammad Zeeshan Ali, seorang juruterbang berusia 40 tahun, menyertai misi itu bersama komander China, Tang Hongbo, dan jurutera penerbangan, Wu Yi.

Kejayaan pelancaran itu menandakan satu pencapaian penting dalam program angkasa lepas China, yang semakin membuka peluang kepada negara lain untuk menyertai kegiatan penerokaan dan penyelidikan saintifiknya.

Beijing sedang mempromosikan Tiangong sebagai pusat kerjasama angkasa lepas antarabangsa, sedang Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang diterajui Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (Nasa) berkemungkinan menamatkan operasinya menjelang 2030.

Encik Ali, menjadi warga Pakistan pertama memasuki orbit Bumi, bertugas sebagai pakar muatan dan menjalankan beberapa eksperimen saintifik sepanjang berada di Tiangong.

Beliau dijangka berada di stesen angkasa itu selama lima hingga 10 hari sebelum kembali ke Bumi menaiki kapal angkasa Shenzhou-23, yang berlabuh di Tiangong sejak Mei lalu.

Bagi Encik Ali, penyertaannya dalam misi itu bukan sekadar pencapaian peribadi, malah membawa makna besar kepada rakyat Pakistan.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

“Saya bukan terbang untuk diri sendiri. Saya memikul nama Pakistan di bahu saya serta harapan 250 juta rakyat Pakistan,” katanya kepada wartawan pada 24 November.

Sebagai persediaan menghadapi misi tersebut, Encik Ali menjalani latihan selama tujuh bulan di Beijing, termasuk mengikuti kelas bahasa Mandarin secara intensif.

Selain menjalani latihan angkasa lepas, beliau turut mempelajari lagu dan puisi China, berlatih seni khat Cina serta bermain pingpong.

Dalam sidang media memperkenalkan kru misi tersebut, Encik Ali turut menarik perhatian apabila menyampaikan ucapan dalam bahasa Mandarin yang fasih, selain bahasa Urdu dan Inggeris.

Bagaimanapun, beliau bukan warga Pakistan pertama yang pernah ke angkasa lepas.

Penjelajah kutub Pakistan yang berpangkalan di Monaco, Namira Salim, pernah menyertai penerbangan suborbit Galactic 04 anjuran syarikat Virgin Galactic pada Oktober 2023.

Berbeza dengan penerbangan itu, misi Encik Ali akan membawanya memasuki orbit Bumi dan menjalankan penyelidikan di sebuah stesen angkasa.

China telah melaburkan berbilion dolar dalam program angkasa lepasnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini dalam usaha merapatkan jurang dengan pesaing utamanya, Amerika Syarikat.

Penyertaan Pakistan dalam misi Shenzhou-24 turut mencerminkan hubungan diplomatik dan perdagangan yang erat antara Islamabad dengan Beijing.

Hubungan tersebut kini diperluas kepada bidang sains, teknologi dan penerokaan angkasa lepas.

Stesen angkasa Tiangong, yang menjadi kebanggaan program angkasa lepas China, lazimnya dikendalikan tiga angkasawan yang bertukar giliran setiap enam bulan.

Kru yang kini berada di stesen itu diketuai Zhu Yangzhu, 40 tahun, bersama Lai Ka-ying dan Zhang Zhiyuan, yang juga berusia 40 tahun.

Lai merupakan angkasawan pertama dari Hong Kong dan satu-satunya wanita yang kini berada di stesen angkasa tersebut.

Selepas ketibaan kru Shenzhou-24, Encik Ali akan kembali ke Bumi bersama Lai dan Zhang.

Zhu pula akan terus berada di Tiangong bagi melengkapkan misi pertama China yang menyaksikan seorang angkasawan menghabiskan masa setahun penuh di angkasa lepas.

Misi tersebut merupakan ujian penting untuk menilai daya tahan manusia sepanjang berada di angkasa lepas bagi tempoh yang panjang.

Pengalaman itu juga penting bagi menyokong cita-cita China untuk melaksanakan misi ke Bulan dan kemungkinan penerokaan angkasa yang lebih jauh pada masa hadapan.

Zhu akan ditemani sepanjang enam bulan berikutnya oleh Tang, 51 tahun, seorang angkasawan berpengalaman, serta Wu, yang berusia lewat 30-an dan menyertai penerbangan angkasa lepas buat kali pertama.

Jurucakap Agensi Angkasa Lepas Berawak China (CMSA), Zhang Jingbo, sebelum pelancaran berkata semua anggota kru berada dalam keadaan baik, manakala stesen angkasa Tiangong berfungsi seperti biasa dan memenuhi semua keperluan misi.

Kejayaan pelancaran Shenzhou-24 sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha China memperluas kerjasama antarabangsa dalam penerokaan angkasa lepas.

Bagi Pakistan pula, misi tersebut diharap dapat menyuntik semangat generasi muda negara itu untuk menceburi bidang sains dan teknologi, selain membuktikan bahawa penerokaan angkasa lepas bukan hanya menjadi milik negara kuasa besar.

Encik Ali turut menyampaikan pesanan khas kepada kanak-kanak Pakistan agar berani mengejar impian mereka.

“Kepada setiap kanak-kanak yang menyaksikan misi ini ketika saya berada di orbit, pandanglah ke langit dan ingatlah bahawa saya berada di sana bersama impian anda,” katanya. – Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti