Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Angkasawan terkandas 9 bulan di angkasa selamat pulang ke bumi

Mar 19, 2025 | 2:31 PM
Kapsul ‘Crew Dragon’ yang membawa Encik Butch Wilmore dan Cik Suni Williams serta dua angkasawan lain mendarat di permukaan laut di luar pantai Florida, sejurus mereka kembali ke bumi daripada Stesen Angkasa Antarabangsa pada 18 Mac.
Kapsul ‘Crew Dragon’ yang membawa Encik Butch Wilmore dan Cik Suni Williams serta dua angkasawan lain mendarat di permukaan laut di luar pantai Florida, sejurus mereka kembali ke bumi daripada Stesen Angkasa Antarabangsa pada 18 Mac. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Selepas sembilan bulan tinggal di angkasa lepas, sepasang angkasawan Pentadbiran Penerbangan dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) akhirnya kembali ke bumi pada 18 Mac, menyelesaikan misi yang menarik perhatian global dan menjadi titik kilat politik.

Sebuah kapal angkasa SpaceX Crew Dragon yang membawa Encik Butch Wilmore dan Cik Suni Williams – bersama rakan senegaranya Encik Nick Hague serta angkasawan Russia, Encik Aleksandr Gorbunov – melintasi atmosfera sebelum menggunakan payung terjun untuk mendarat di luar pantai Florida pada 5.57 petang waktu tempatan (5.57 pagi, waktu Singapura).

Para kakitangan Nasa bersorak kegembiraan ketika kapal angkasa bernama Freedom itu mencecah permukaan laut berombak di bawah langit yang cerah.

Mereka kemudian diterbangkan dengan helikopter ke Houston bagi menjalani program pemulihan selama 45 hari.

Encik Wilmore dan Encik Williams, kedua-duanya mantan juruterbang tentera laut dan veteran dua misi angkasa lepas, terbang ke makmal orbit pada Jun 2024, sepatutnya menghabiskan tugas ulang-alik hanya selama beberapa hari untuk menguji Starliner Boeing pada penerbangan kru pertamanya.

Tetapi kapal angkasa itu mengalami masalah pendorongan dan dianggap tidak sesuai untuk menerbangkan mereka kembali ke bumi. Ia kembali tanpa mereka.

Para angkasawan itu kemudiannya ditugaskan semula ke misi SpaceX Crew-9 Nasa, yang tiba di ISS September lalu dengan pengurangan dua kru untuk menampung pasangan itu, yang telah dirujuk secara meluas sebagai angkasawan “terkandas”.

Pada awal 16 Mac, pasukan bantuan Crew-10 berlabuh di ISS, membuka jalan bagi pasukan Crew-9 untuk berlepas.

Keberadaan Encik Wilmore dan Encik Williams selama 286 hari melebihi pusingan biasa ISS selama enam bulan.

Di sebalik tempoh selama sembilan bulan itu, cabaran yang mereka hadapi seperti kehilangan otot dan tulang, pergeseran cecair yang boleh menyebabkan batu karang dan masalah penglihatan, serta pelarasan semula keseimbangan apabila kembali ke persekitaran graviti telah diurus dengan berkesan.

Tugas mereka yang tidak dijangka itu juga menjadi penangkal petir politik, dengan Presiden Donald Trump dan penasihat rapatnya, Encik Elon Musk – yang mengetuai SpaceX – berulang kali mencadangkan mantan Presiden Joe Biden supaya meninggalkan para angkasawan itu dan menolak rancangan menyelamat lebih awal.

Tuduhan sedemikian telah mencetuskan bantahan dalam komuniti angkasa lepas, terutamanya kerana Encik Musk tidak memberikan butiran khusus dan rancangan Nasa untuk kepulangan angkasawan yang tidak berubah sejak penugasan semula Crew-9 mereka. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg