Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anies cabar keputusan pilihan raya di mahkamah

Mar 21, 2024 | 1:43 PM
Calon presiden yang kalah, Encik Anies Baswedan, enggan menerima keputusan rasmi pilihan raya presiden dan mencabarnya di Mahkamah Perlembagaan.
Calon presiden yang kalah, Encik Anies Baswedan, enggan menerima keputusan rasmi pilihan raya presiden dan mencabarnya di Mahkamah Perlembagaan. - Foto AFP

JAKARTA: Calon presiden Indonesia yang kalah, Encik Anies Baswedan memfailkan kes di mahkamah perlembagaan pada 21 Mac untuk mencabar keputusan pilihan raya yang dimenangi oleh Menteri Pertahanan, Encik Prabowo Subianto.

Encik Anies berkata tujuan keputusannya itu adalah untuk memastikan demokrasi dipertingkatkan dan berkata terdapat banyak masalah dengan pilihan raya yang perlu diperbetulkan.

Mantan gabenor Jakarta itu enggan menerima keputusan rasmi yang diumumkan pada 20 Mac itu. Malah pasukannya telah mendakwa pihak pentadbiran secara tidak adil berusaha untuk mempengaruhi pilihan raya itu. Dakwaan ini telah ditolak oleh pihak berkuasa.

Keputusan rasmi menunjukkan mantan komander pasukan khas, Encik Prabowo Subianto, yang disokong secara diam-diam oleh penyandang presiden sekarang yang sangat popular, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, menang dengan hampir 60 peratus undi.

Ini diikuti Encik Anies dengan 25 peratus manakala mantan gabenor Jawa Tengah, Encik Ganjar Pranowo, memperolehi 16 peratus.

“Proses dan hasilnya sama pentingnya. Apabila ada proses yang bermasalah, akan ada hasil yang bermasalah,” Encik Anies memberitahu sidang akhbar.

“Dari aspek dasar, peraturan, sehinggalah kepada pelaksanaan (pilihan raya), terdapat banyak masalah dan kita mahu perkara itu diperbetulkan supaya ia tidak berulang,” ujarnya seperti dipetik agensi berita Reuters.

Pasukan Anies telah mengadu mengenai peruntukan bantuan sosial yang meluas seperti beras, baja dan pemberian wang tunai, di kawasan pilihan raya utama, yang menurut mereka mempengaruhi undi. Pihak pentadbiran telah menolak dakwaan itu.

Mereka juga telah mengkritik keputusan detik akhir Mahkamah Perlembagaan pada 2023 untuk mengubah peraturan pilihan raya yang membenarkan anak Presiden Jokowi menjadi pasangan calon Encik Prabowo.

Ketua hakim mahkamah pada masa itu ialah abang ipar Encik Jokowi.- Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg