Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PDI-P dan kem Anies gesa Dewan Rakyat siasat penyelewangan pilihan raya

Mar 06, 2024 | 01:06 PM



JAKARTA: Ahli Dewan Rakyat kembali bertugas pada 5 Mac dengan beberapa kumpulan menggesa Dewan itu membuka siasatan berhubung laporan penyelewengan dan penipuan yang didakwa mencemar Pilihan Raya Indonesia pada Februari.


Bagaimanapun masih belum ada cadangan rasmi diajukan dan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), penyokong utama siasatan – menunggu masa untuk menyiapkan kesnya dan mencari sekutu selepas beberapa pihak dilihat mula mengubah pendirian.

Keputusan tidak rasmi kiraan pantas menunjukkan Encik Prabowo Subianto dari Parti Gerindra, yang bertanding dengan anak Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo, Encik Gibran Rakabuming Raka, telah mengatasi dengan selesa pesaingnya, Encik Anies Baswedan dan calon PDI-P, Encik Ganjar Pranowo.

Tetapi kedua-dua pesaing itu enggan mengaku kalah, malah mereka mendakwa pilihan raya itu dicemari oleh ugutan terhadap pengundi dan penyalahgunaan sumber negara.

Justeru, PDI-P menggesa supaya diadakan siasatan Dewan, lapor The Jakarta Post.


Semasa sidang pleno Dewan Rakyat pada 5 Mac, Parti Keadilan Sejahtera (PKS) yang pro-Anies adalah yang pertama menyuarakan diadakan siasatan.

Anggota PKS, Encik Aus Hidayat Nur, berkata siasatan akan membantu menjawab “kecurigaan orang ramai yang semakin meningkat” terhadap penipuan semasa pilihan raya.

Beliau segera diikuti oleh Cik Luluk Nur Hamidah dari Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), sebuah lagi parti di kem Encik Anies.

Ketika menggesa siasatan Dewan Rakyat, Cik Luluk berkata moral dan etika telah merosot ke paras terendah semasa pilihan raya Februari.

Ahli politik PDI-P, Encik Aria Bima, juga menyuarakan permintaan untuk diadakan siasatan, sambil mengatakan bahawa Dewan perlu “mengoptimumkan fungsi pemantauan yang digunakan untuk Pilihan Raya Presiden dan perundangan 14 Februari”.

Gesaan itu disambut dengan bantahan daripada pihak pro-Prabowo.

Ahli parlimen Gerindra, Encik Kamrussamad, berkata terdapat lebih banyak perkara yang mendesak untuk diselesaikan oleh Dewan sementara Encik Herman Khaeron dari Parti Demokrat berkata parti politik perlu mengelak daripada membuat dakwaan liar dan menjalankan usaha wajar mereka sebelum mencadangkan satu siasatan.

Satu-satunya sekutu pro-Ganjar PDI-P dalam badan perundangan, Parti Pembangunan Bersatu (PPP), dan Parti NasDem, penyokong utama Encik Anies, berdiam diri semasa sidang pleno.

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Encik Sufi Dasco Ahmad, dari Gerindra, mempengerusikan sidang pleno itu bagi pihak speaker, Cik Maharani (PDI-P), yang kini berada di Paris bagi lawatan kerja.

Lebih separuh daripada penggubal undang-undang menghadiri pleno itu secara peribadi atau secara maya.

Gesaan siasatan itu dibuat walaupun terdapat komen pemerhati bebas bahawa tiada tanda-tanda penipuan dalam pilihan raya berkenaan, selain daripada beberapa isu seperti daftar pemilih yang dianggap lapuk serta kelewatan ketika pengundian.

Kiraan tidak rasmi menunjukkan Encik Prabowo, yang juga Menteri Pertahanan, memenangi pusingan pertama undian dengan kira-kira 58 peratus undi.

Encik Anies dan Encik Ganjar pula masing-masing memperoleh 25 peratus dan 17 peratus undian, dengan kiraan awal oleh pihak berkuasa pilihan raya menunjukkan pecahan yang sama. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >