KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggesa Thailand dan Kemboja supaya menghentikan segera ketegangan di sempadan susulan pertempuran berdarah antara kedua-dua negara Asia Tenggara itu yang telah meragut sekurang-kurangnya 11 nyawa awam.
“Perkara paling minimum yang boleh kita harapkan ialah kedua-dua pihak berundur dan, mudah-mudahan, cuba memasuki fasa rundingan,” kata Datuk Anwar kepada media pada 24 Julai.
Malaysia kini mempengerusikan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), yang turut dianggotai Thailand dan Kemboja.
Pertempuran terbaru yang tercetus pada 24 Julai menyaksikan jet pejuang F-16 milik Thailand melancarkan serangan udara ke atas sasaran ketenteraan di Kemboja, manakala pihak Kemboja membalas dengan tembakan roket dan artileri. Ketegangan ini berpunca daripada pertikaian sempadan lama yang melibatkan kawasan dikenali sebagai Segitiga Zamrud, iaitu tempat pertemuan sempadan Thailand, Kemboja dan Laos yang turut menempatkan beberapa kuil purba.
Menurut Kementerian Kesihatan Awam Thailand, serangan merentas sempadan oleh Kemboja pada 24 Julai telah membunuh sekurang-kurangnya 11 orang awam, kebanyakannya dalam serangan roket berhampiran sebuah stesen minyak di wilayah Sisaket.
“Perkembangan ini amat membimbangkan. Kedua-dua negara adalah anggota penting ASEAN dan sangat dekat dengan Malaysia,” ujar Anwar. “Saya telah menghantar mesej kepada kedua-dua Perdana Menteri dan berharap dapat bercakap dengan mereka malam ini (24 Julai). Keamanan adalah satu-satunya pilihan yang kita ada. ASEAN ditubuhkan atas prinsip keamanan dan kerjasama. Kita perlu kembali kepada asas tersebut dan memastikan konflik seperti ini tidak terus berlarutan.”
Pertempuran itu berlaku hanya dua minggu selepas menteri-menteri luar ASEAN bertemu di Kuala Lumpur bersama rakan sejawat dari kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China. Pertemuan tersebut antara lain menekankan kepentingan kerjasama serantau dan keselamatan sempadan.
Dalam pada itu, Filipina turut menyuarakan kebimbangan terhadap nasib orang awam yang terjejas akibat konflik. Dalam satu kenyataan rasmi, Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina menyeru Thailand dan Kemboja supaya “menunjukkan keprihatinan dan pertimbangan terhadap orang awam tidak bersalah yang mungkin terjejas akibat pertempuran.”
“Filipina tidak mengambil sebarang pendirian terhadap pertikaian ini, namun kami menekankan betapa pentingnya memastikan saluran komunikasi terus terbuka dan usaha mengurangkan ketegangan terus dipertingkatkan,” kata kenyataan itu lagi.
Filipina turut menyatakan harapan agar pertikaian dapat diselesaikan secara aman dan selaras dengan undang-undang antarabangsa.
Sementara itu, China menyuarakan “kebimbangan mendalam” terhadap pertempuran maut yang berlaku, dan menggesa kedua-dua negara supaya menyelesaikan isu secara damai.
Jurucakap Kementerian Luar China, Encik Guo Jiakun berkata, “Kami amat bimbang dengan perkembangan semasa dan berharap kedua-dua pihak dapat menyelesaikan isu melalui dialog dan perundingan.”
Encik Guo menekankan bahawa semangat kejiranan baik dan penyelesaian perbezaan secara damai adalah kepentingan jangka panjang bagi kedua-dua negara. “Kami akan terus memainkan peranan konstruktif dalam menggalakkan keamanan dan meredakan ketegangan,” katanya. China, menurut beliau, akan mengekalkan pendirian adil dan saksama dalam menangani krisis ini.
Pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja telah berlarutan sejak beberapa dekad lalu. Ia pernah mencetuskan pertempuran berdarah lebih 15 tahun dahulu, dan kembali memuncak pada Mei 2025 apabila seorang askar Kemboja terbunuh dalam satu insiden tembakan.
Konflik kembali meletus pada 24 Julai apabila Kemboja melancarkan tembakan roket dan artileri ke arah Thailand, dan tentera Thailand pula membalas dengan serangan udara menggunakan jet pejuang F-16.
Kawasan Segitiga Zamrud yang dipertikaikan itu menjadi pusat kepada tuntutan sejarah dan kepentingan strategik, termasuk lokasi beberapa kuil kuno yang berharga tinggi dari sudut budaya. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg