BANGKOK: Thailand mengusir duta Kemboja pada 23 Julai dan memanggil balik utusannya di negara itu selepas seorang askar Thailand kehilangan kaki akibat letupan periuk api ketika pertikaian sempadan semakin memuncak.
Pemangku Perdana Menteri Encik Phumtham Wechayachai berkata siasatan tentera Thailand menemui bukti bahawa Kemboja telah meletakkan periuk api baru di kawasan yang dipertikaikan.
Pertembungan yang berlangsung lama di kawasan yang dikenali sebagai Segitiga Zamrud, bersempadankan kedua-dua negara dan Laos, bertukar menjadi pertempuran tentera pada Mei yang menyebabkan seorang askar Kemboja maut.
Sejak itu, kedua-dua pihak telah saling melakukan tindakan balas, dengan Thailand menyekat lintasan sempadan dan Kemboja menghentikan import tertentu.
Lima anggota peronda tentera Thailand cedera terkena periuk api pada petang 23 Julai di daerah Nam Yuen di timur laut wilayah Ubon Ratchathani, kata tentera Thailand.
Sebagai tindak balas, kerajaan Thailand bersetuju dengan cadangan tentera untuk menutup beberapa pusat pemeriksaan sempadan, katanya dalam satu kenyataan.
“Ia juga telah memutuskan untuk merendahkan hubungan diplomatik dengan memanggil semula duta Thailand ke Kemboja dan mengusir duta Kemboja ke Thailand,” katanya.
Tentera Thailand berkata bahawa selain askar yang kehilangan kakinya, yang lain mengalami kecederaan telinga dan sakit dada dalam letupan periuk api itu.
Namun, Phnom Penh menafikan dakwaan itu dan menyatakan bahawa askar Thailand telah tersasar daripada laluan rondaan yang dipersetujui, lantas memijak periuk api lama yang masih tertanam sejak era peperangan berdekad lalu.
Pertikaian sempadan telah menjejaskan hubungan antara Phnom Penh dengan Bangkok - mendorong penutupan sempadan dan Kemboja menyekat import bahan api dan gas serta buah-buahan dan sayur-sayuran daripada Thailand.
Ia juga mencetuskan krisis politik domestik di Thailand yang menyaksikan Perdana Menteri Cik Paetongtarn Shinawatra telah digantung daripada jawatan sementara menunggu siasatan etika berhubung kelakuannya semasa konflik itu.
Satu panggilan diplomatik antara Cik Paetongtarn dengan Encik Hun Sen, bekas pemerintah lama Kemboja dan bapa kepada Perdana Menteri Kemboja Encik Hun Manet, telah dibocorkan oleh pihak Kemboja, mencetuskan siasatan kehakiman ke atas Cik Paetongtarn.
Minggu lalu, Encik Hun Manet mengumumkan bahawa Kemboja akan mula mengerahkan orang awam tahun depan, mengaktifkan draf undang-undang mandatori yang telah lama tidak diaktifkan.
Beliau berkata bahawa ketegangan dengan Thailand bermakna kerahan tenaga diperlukan, dan bajet pertahanan juga mungkin ditingkatkan. AFP
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg