KUALA LUMPUR: Perjanjian maritim yang dimeterai antara Indonesia dengan Malaysia tidak termasuk wilayah yang masih dalam rundingan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri Malaysia itu berkata perjanjian yang ditandatangani baru-baru ini dengan Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, menamatkan pertikaian maritim selama 18 tahun tetapi tidak meliputi wilayah seperti Pulau Sebatik di Sulawesi Selatan.
“Perjanjian itu tidak termasuk wilayah yang sedang dalam rundingan seperti Pulau Sebatik di Sulawesi Selatan kerana kita akan memanggil wakil dari Sabah untuk membincangkan perkara itu.
“Ia juga tidak melibatkan sempadan sepanjang Pelabuhan Tanjung Pelepas.
“Rundingan untuk menyelesaikan sempadan Laut Sulawesi akan diteruskan kerana Jokowi berkata menurut pakarnya, sempadan itu milik Indonesia manakala kita berdiri teguh sempadan itu milik Malaysia, jadi kita menangguhkan perkara itu dan akan terus berunding,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Ahli Parlimen Tambun itu menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Baru) mengenai jaminan kerajaan bahawa perjanjian sempadan yang baru ditandatangani itu tidak akan menjejaskan hak kedaulatan Malaysia dan meletakkan negara dalam kerugian, khususnya kesan negatifnya terhadap aktiviti ekonomi maritim dalam jangka panjang.
Datuk Anwar memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan kedaulatan negara semasa rundingan dengan Indonesia.
“Tidak mungkin kita akan mengorbankan walau seinci tanah kita.
“Kami telah menjelaskan pendirian dan tuntutan kita dan Indonesia memahami apa yang kita minta dan mereka juga jelas dengan tuntutan mereka.
“Isu kedaulatan negara kita dikompromi tidak sepatutnya timbul kerana kita mahu menyelesaikan perkara ini sebaik mungkin,” katanya.
Datuk Anwar menjawab soalan mantan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) jika kerajaan akan berkompromi soal kedaulatannya semasa merundingkan perjanjian itu.
Datuk Anwar juga menegaskan bahawa sempadan Johor bukan sebahagian daripada perjanjian itu kerana ia hanya meliputi tiga batu nautika dari negeri itu. – The Star.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg