KUALA LUMPUR: Malaysia kekal bersedia menghulurkan bantuan kepada Indonesia bagi menangani kebakaran hutan dan tanah yang menyebabkan jerebu rentas sempadan, selain mengusulkan mekanisme kerjasama pada peringkat Asean bagi memperkukuh usaha bersama menangani masalah itu.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau memantau dengan teliti perkembangan kebakaran berkenaan yang turut menjejas kesihatan dan kehidupan harian rakyat Malaysia, termasuk menyebabkan sekolah ditutup di beberapa negeri dan kawasan.

“Malaysia kekal bersedia menghulurkan bantuan sepertimana yang telah ditawarkan sebelum ini,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook pada 18 Oktober.

Beliau mengakui usaha menangani bencana itu bukan mudah berikutan keluasan kawasan terjejas dan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Menurutnya, cabaran rentas sempadan itu perlu ditangani menerusi komitmen serta tanggungjawab bersama, selaras dengan hubungan erat antara kedua-dua negara dan semangat kerjasama serantau.

“Kita telah mengusulkan mekanisme kerjasama pada peringkat Asean bagi memperkukuhkan penyelarasan, kesiapsiagaan dan tindakan kolektif dalam menangani jerebu rentas sempadan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, berkata Malaysia sebelum ini telah menawarkan bantuan aset, membabitkan tiga helikopter, sebuah pesawat dan kira-kira 50 anggota.

“Walaupun aset dan jumlah keanggotaan yang ditawarkan itu kecil, berbanding dengan seluruh tenaga untuk pembanterasan kebakaran, kita komited untuk meneruskan bantuan ini.

“Perdana Menteri (Datuk Anwar) juga sudah menghubungi Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, sebagaimana yang kita lihat sekarang ini.

“Bantuan kita, sekecil mana pun adalah satu langkah muhibah untuk membantu negara jiran yang terdekat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Keselamatan Jalan Raya 2026 di sini.

Jumaat lalu, Encik Prabowo dilaporkan meluluskan penerimaan bantuan daripada negara jiran bagi membantu memadamkan kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia.

Portal berita Antara melaporkan, Menteri Luar, Encik Arrmanatha Nasir, berkata bahawa Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) sedang memuktamadkan prosedur operasi dan teknikal bagi menerima bantuan berkenaan.

Sementara itu, Datuk Ahmad Zahid berkata, kerajaan ketika ini sedang bersiap siaga untuk menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2026 sudah pun dilancarkan di Ipoh pada 11 Oktober lalu.

“Kita berdoa supaya banjir kali ini agak berkurangan dan kita mementingkan kesiapsiagaan supaya mangsa dapat dipindahkan lebih awal melalui sistem amaran awal yang kita laksanakan,” katanya. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti