Topik diikuti
Pergi ke BHkuJerebu dek kebakaran hutan selubungi Sumatera, Batam
Sumatera Utara arah pembelajaran dari rumah untuk semua peringkat sekolah
Jerebu dek kebakaran hutan selubungi Sumatera, Batam
JAKARTA: Mutu udara di Batam merosot pada 18 Oktober akibat jerebu kebakaran hutan dan tanah dari Pulau Sumatera.
Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) mengisytiharkan mutu udara di pulau itu “tidak sihat”.
Sementara itu, Sumatera Utara mengarahkan pembelajaran dari rumah untuk semua peringkat sekolah mulai 16 Oktober kerana jerebu menyelubungi semua kawasan di wilayah itu.
Sebuah pesawat pembenihan awan turut dipindahkan ke Lampung untuk membantu memadamkan kebakaran hutan dan tanah di Riau.
Ketua perkhidmatan maklumat di Stesen Meteorologi Hang Nadim BMKG di Batam, Encik Suratman, berkata jarak penglihatan merosot mendadak kepada hanya 1.4 hingga 1.9 kilometer di Lapangan Terbang Antarabangsa Hang Nadim, sekali gus menyebabkan penerbangan tertangguh.
Jarak penglihatan hanya 50 hingga 100 meter di kawasan Batam Center, manakala di perairan terbuka, ia mencecah kira-kira 400 meter.
Jerebu tebal itu turut menghalang pemandangan ke arah ufuk Singapura di Marina Bay Sands, yang biasanya jelas kelihatan dari Harbour Bay dan kawasan pesisir pantai Batam.
BMKG menggesa orang ramai, terutama kanak-kanak dan warga emas, mengurangkan kegiatan luar dan memakai pelitup untuk melindungi kesihatan pernafasan.
Gabenor Sumatera Utara, Encik Bobby Nasution, berkata wilayah itu memutuskan untuk melaksanakan pembelajaran dari rumah selepas diselubungi jerebu beberapa hari kebelakangan ini.
“Jerebu daripada kebakaran hutan dan tanah telah menjejaskan mutu udara di seluruh wilayah Sumatera Utara, justeru kita memerlukan perlindungan untuk mencegah masalah kesihatan kepada orang ramai, termasuk pelajar,” kata Encik Bobby.
“Semua pengetua sekolah mesti melaksanakan pembelajaran dari rumah supaya pelajar masih boleh belajar walaupun berada di rumah,” ujarnya.
Beliau berkata pentadbiran wilayah telah mencuba operasi pengubahsuaian cuaca untuk mencetuskan hujan dan meredakan jerebu, seperti di daerah Samosir, dan akan diteruskan di kawasan lain.
“Kami juga telah bekerjasama dengan pentadbiran wilayah Sumatera Selatan mengenai pengendalian jerebu dengan menggunakan teknologi untuk mengurangkan jerebu,” tambah beliau.
Pada mulanya, kebakaran itu dikaitkan dengan musim kemarau panjang yang disebabkan fenomena yang digelar ‘Godzilla El Nino’.
Namun, laporan dari lapangan mendapati banyak kebakaran sebenarnya dimulakan dengan sengaja untuk memberi ruang bagi ladang kelapa sawit.
Keadaan itu dikatakan diburukkan lagi oleh kegagalan pentadbiran Presiden Encik Prabowo Subianto, untuk bertindak memadamkan kebakaran itu dengan segera.
Ini kerana semua peruntukan disalur kepada program makanan berkhasiat percuma yang diuruskan dengan buruk.
Keengganan pemerintah menghukum syarikat dan individu yang membakar hutan dan tanah turut memburukkan keadaan, kerana minyak sawit mentah dianggap komoditi strategik nasional.
Penduduk di pelbagai wilayah di Pulau Kalimantan dan bahkan Pulau Papua turut melaporkan jerebu yang disebabkan kebakaran hutan.
Orang ramai di Malaysia dan Singapura meluahkan kemarahan dalam hantaran media sosial dan menuntut pemerintah mereka mengambil tindakan. – Agensi berita.