KUALA LUMPUR: Pelaksanaan subsidi bersasar akan dilaksanakan sebaik kerajaan mengenal pasti mekanisme yang sesuai, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kerajaan masih mengusahakan mekanisme itu.
“Ada satu pasukan sedang mengusahakannya sekarang. Terdapat beberapa cadangan tetapi kami tidak terlalu yakin dari segi keberkesanannya selepas pelaksanaan,” ujar Anwar
“Ia tidak seperti penggunaan elektrik yang lebih mudah dengan rumah besar atau kilang. Kajian perlu dilakukan terhadap diesel,” tambahnya.
Datuk Anwar berkata demikian ketika bercakap kepada media selepas melawat Pusat Penjaja Jalan Tunku Abdul Rahman di sini pada Khamis.
Ketika ditanya mengenai garis masa untuk melaksanakan skim subsidi itu, Datuk Anwar berkata jika semuanya sudah bersedia, “kerajaan boleh melaksanakannya esok”.
Bagaimanapun, beliau enggan memberikan tempoh tertentu tetapi menambah kerajaan akan melakukannya secepat mungkin.
Pada Rabu, Menteri Ekonomi, Encik Rafizi Ramli, berkata perbincangan antara Kementerian Ekonomi dengan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah dimulakan mengenai jenis bantuan yang akan diberikan di bawah pendekatan subsidi bersasar baru.
Beliau menambah bahawa mereka telah memulakan perbincangan dengan MTEN mengenai golongan mana yang patut layak mendapat bantuan. – The Star.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg