ABU DHABI: Firma Arab Saudi mengurangkan premium gaji lumayan yang pernah menarik bakat asing terkemuka ke dalam sektor seperti pembinaan dan perkilangan ketika kerajaan itu mengawal perbelanjaan dan menyusun semula keutamaan ekonomi, kata empat firma merekrut karyawan.
Arab Saudi, pengeksport minyak utama dunia, sudah lebih separuh jalan dalam merealisasikan pelan tindakan transformasi ekonominya, yang dikenali sebagai Wawasan 2030, yang bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada pendapatan hidrokarbon, mewujudkan pekerjaan, dan mengembangkan industri seperti pelancongan, hartanah, perlombongan dan perkhidmatan kewangan.
Sebagai sebahagian pelan jangka panjang, kerajaan itu telah melabur secara besar-besaran dalam projek mega bernilai berbilion dolar, meningkatkan permintaan untuk pekerja asing berkemahiran tinggi, tetapi telah bergelut dengan pelaksanaan dan kelewatan.
Pekerja asing tidak lagi seharusnya menjangkakan untuk merundingkan premium sebanyak 40 peratus atau lebih, kadangkala menggandakan gaji sedia ada mereka, yang biasa berlaku awal dekad ini, kata dua sumber, dengan tawaran yang jauh lebih terhad sekarang.
“Di satu pihak, ekonomi terbesar di rantau ini sedang merasionalkan perkara ini dan di pihak yang lain, terdapat ramai calon yang sangat terbuka untuk datang ke rantau ini,” kata Encik Magdy Al Zein, pengarah urusan firma Recruitment Boyden.
Perubahan ini mencerminkan langkah lebih luas oleh Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi bernilai AS$925 bilion ($1,201 bilion), yang terjejas dalam projek meganya, yang kebanyakannya berkaitan prasarana dan hartanah.
Arah tujunya kini beralih pada sektor seperti kecerdasan buatan (AI), logistik dan perlombongan, yang dilihat menawarkan pulangan lebih baik.
Contohnya, Neom, sebuah bandar futuristik yang dirancang bernilai AS$500 bilion di padang pasir, dan hab pelancongan gunung Trojena, tuan rumah Sukan Musim Sejuk Asia 2029.
Arab Saudi banyak mengambil pekerja untuk projek mega tersebut, menyasarkan bakat antarabangsa kerana kemahiran yang terhad dalam tenaga kerja tempatan.
Pengurus projek di negara jiran Amiriah Arab Bersatu (UAE), sebagai contoh, boleh meraih gaji sekitar AS$100,000 di Arab Saudi berbanding AS$60,000 di UAE, kata Encik Hasan Babat, Ketua Pegawai Eksekutif Tuscan Middle East, yang berpangkalan di Dubai, sebuah firma perunding pengambilan pekerja.
Neom dan usaha niaga lain yang disokong PIF kini tertunda ketika kerajaan itu meneruskan usaha rasionalisasi.
Harga minyak lebih rendah telah memberi kesan kepada kewangan awam, menambah defisit fiskal, walaupun Arab Saudi telah mengekang pengeluaran minyak mentah untuk menyokong pasaran minyak. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg