RIYADH: Projek mega NEOM bernilai AS$500 bilion ($647 bilion) di Arab Saudi terus menarik perhatian dunia sebagai eksperimen pembangunan bandar futuristik paling berani dan bercita-cita tinggi pada abad ini.
Teras utamanya, The Line, dipromosikan sebagai sebuah bandar linear sepanjang 170 kilometer yang bebas karbon, tanpa kereta dan tanpa jalan raya – lambang cita-cita kerajaan untuk mentakrif semula cara kehidupan manusia pada masa depan.
Namun, 2025 menyaksikan rentak kemajuan tidak seiring dengan keghairahan awal.
Bahagian pembangunan yang siap masih kecil, jadual dan bajet dikemas kini.
Pelbagai persoalan mula timbul seperti sejauh manakah visi futuristik itu boleh diterjemah ke dunia nyata?
Konsep The Line diletakkan di wilayah Tabuk, berhampiran Laut Merah.
Ia direka dengan struktur menegak berlapis yang mampu menampung sembilan juta penduduk tanpa pencemaran dan tanpa penggunaan kereta.
Tenaga boleh diperbaharui serta kecerdasan buatan (AI) akan memacu seluruh ekosistem bandar itu.
Bagi Arab Saudi, The Line bukan sekadar projek pelancongan atau hartanah, bahkan amalan masa depan yang bakal menjadi rujukan sejagat.
Namun, meskipun dengan pembinaan besar-besaran selama tiga tahun, hasil fizikalnya masih tertumpu pada kawasan terhad.
Sehingga 2025, hanya beberapa komponen utama menunjukkan perkembangan ketara.
Antaranya ialah Pembangunan Hidden Marina – segmen sepanjang 2.4 kilometer ini direka untuk menempatkan 200,000 penduduk dengan 80,000 unit apartmen dan 9,000 bilik hotel, selain kawasan beli-belah dan hiburan.
Sasaran siap ialah menjelang 2030, selari dengan persiapan Piala Dunia Fifa 2034 yang menjadi agenda negara.
Bagi kerja asas dan pengorekan tanah, sudah lebih 4,500 cerucuk asas dipasang, daripada sasaran 15,000 unit. Sekitar 1 juta meter padu tanah digali setiap minggu untuk menyediakan tapak bagi pembinaan menegak The Line.
Sementara itu, prasarana mobiliti dan perkhidmatan pula menyaksikan pembinaan terowong, rangkaian rel, dan sistem utiliti yang berjalan serentak.
Ia menjadi asas kepada bandar bebas kereta yang digerakkan AI.
Dengan semua itu, masih ada kenyataan penting yang tidak dapat dielakkan iaitu rentak pembinaan jauh lebih perlahan daripada jangkaan asal.
The Line pada mulanya dirancang bakal dilancar sebelum 2030.
Kini, jangkaan siap keseluruhan dianjak ke 2045, hampir dua dekad lebih lewat.
Dana Pelaburan Awam (PIF) pemilik dan pembiaya utama dilaporkan menanggung kerugian penilaian sekitar AS$8 bilion berkaitan projek itu.
Meski begitu, pihak NEOM menegaskan fasa pembinaan secara berperingkat adalah strategi yang bertujuan menyesuaikan teknologi dan reka bentuk dengan perkembangan semasa.
Kenyataan penganalisis ekonomi Teluk, Encik Tim Callen, menjadi amaran jelas. Beliau berkata:
“Adakah teknologinya benar-benar tersedia? Adakah kos pembangunan terlalu tinggi? Soalan-soalan itu semakin kritikal apabila harga minyak susut beberapa tahun kebelakangan ini.”
Kebergantungan dana kerajaan terhadap harga minyak menambah tekanan fiskal.
Apabila harga minyak mencecah AS$70 setong, suasana kewangan berubah berbanding ketika ia kukuh melepasi AS$100 pada 2022.
Encik Callen menambah: “NEOM pasti akan diteruskan dalam satu bentuk. Tetapi kemungkinan besar berskala lebih kecil dan disiapkan dalam tempoh lebih panjang.”
NEOM diumumkan pada 2017 sebagai sebahagian teras Wawasan 2030 yang bertujuan mengurangkan kebergantungan negara kepada hasil minyak.
Namanya sendiri berasal daripada gabungan ‘Neo’ (baru) dan ‘Mostaqbal’ (masa depan).
Sejak diumumkan pada 2017, perkembangan NEOM melalui beberapa fasa penting yang membentuk asas projek hari ini.
Pada 2018, kajian tapak dan konsep bandar pintar dimuktamadkan sebelum kerja-kerja awal prasarana bermula pada 2020 dan 2021.
Menjelang 2024, kos mula meningkat dan jadual projek turut mengalami pelarasan, sementara pada 2025 pembinaan menegak dimulakan walaupun garis masa rasmi terus disemak semula bagi menyesuaikannya dengan realiti kos dan teknologi di lapangan.
Dalam konteks ini, pengumuman terkini tentang pelanjutan jadual menonjolkan cabaran sebenar untuk mengimbangkan aspirasi futuristik dengan keupayaan pelaksanaan semasa.
Walaupun Arab Saudi menegaskan semakan strategik merupakan “amalan biasa”, pengkritik berpendapat budaya kerja dalam NEOM cenderung terlalu optimistik dan kurang berpijak pada realiti pelaksanaan.
Tokoh perniagaan Amerika di Riyadh, Encik Tarik Solomon, berkata dengan jujur:
“Jangkaan tidak diurus dengan baik. Untuk berjaya, projek berskala ini perlu mengikut realiti pasaran dan membina kepercayaan.”
Beliau memuji keberanian projek itu tetapi menegaskan perunding dan firma arkitek tidak boleh sekadar mengiyakan setiap visi megah tanpa tanggungjawab profesional.
“Mereka perlu mempunyai rasa pemilikan dan tanggungjawab lebih besar,” katanya.
Tanpa pembetulan budaya dan pentadbiran, visi sebesar ini boleh menjadi mangsa keghairahan dalaman sendiri, tambah Encik Solomon.
Sumber yang terlibat secara langsung dalam projek mendedahkan bahawa pengurangan pekerja dijangka berlaku demi mengekang perbelanjaan.
“Mereka akhirnya mula membuat keputusan yang lebih waras daripada sudut kewangan,” kata seorang perunding yang enggan dinamakan.
The Line tetap menjadi aspirasi bandar masa depan paling berani di dunia.
Ia mencabar kebiasaan bandar moden yang bergantung pada kenderaan, prasarananya melangkaui piawaian biasa, dan ideologinya mahu menempatkan manusia – bukan kereta sebagai pusat kehidupan bandar.
Namun projek itu kini berada di persimpangan penting.
Jika berjaya, ia akan menjadi model sejagat “bandar tanpa pencemaran sebenar”.
Jika gagal, ia akan menjadi peringatan tentang jurang antara fantasi teknologi dengan realiti ekonomi
Dalam perspektif akademik, The Line memperlihatkan konflik abadi dalam perancangan bandar: utopia memerlukan masa, kos, dan tolak ansur.
Kini seluruh dunia menunggu satu jawapan yang hanya dapat ditentukan oleh masa: Adakah The Line akan menjadi mercu tanda transformasi atau monumen yang keterlaluan?
NEOM masih berdiri sebagai simbol keazaman kerajaan Arab Saudi untuk melangkah ke era pasca-minyak.
Walaupun jadual kini panjang, kos meningkat dan skeptisisme bertambah, The Line masih berjalan selangkah demi selangkah, cerucuk demi cerucuk.
Persoalan paling besar masih belum terjawab.
Sejauh manakah dunia bersedia menerima bandar masa depan yang lahir bukan daripada keperluan, tetapi daripada visi yang melangkau had kebiasaan.
Jawapan itu mungkin hanya akan diketahui dalam dua dekad lagi apabila The Line yang sebenar akhirnya terhasil, atau mungkin tinggal garis di atas kertas rancangan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg