RIYADH – Pihak berkuasa Arab Saudi pada 11 September berkata serangan dron yang dilancarkan dari Iraq menyebabkan penutupan sementara laluan penting eksport minyak yang digunakan bagi mengelak penutupan Selat Hormuz.

Riyadh meningkatkan penggunaan saluran paip East-West, yang menghubungkan Abqaiq, berhampiran Teluk, dengan pelabuhan Yanbu di Laut Merah, sejak tercetusnya perang di Timur Tengah bagi mengelak penutupan Selat Hormuz oleh Iran.

Kementerian Luar Arab Saudi mengutuk “serangan terhadap saluran paip East-West di wilayah Riyadh dan Madinah oleh beberapa dron yang datang dari Iraq, yang menyebabkan kecederaan dan kerosakan”.

“Saluran paip itu dihentikan sebagai langkah berjaga-jaga dan serangan berkenaan mengakibatkan beberapa orang cedera,” kata seorang pegawai Kementerian Tenaga kepada agensi berita SPA sebelum ini.

Imej satelit Copernicus Sentinel yang dirakam pada 10 September menunjukkan kepulan asap hitam berhampiran Madinah, di sepanjang laluan umum saluran paip timur-barat yang membawa minyak Arab Saudi ke pantai Laut Merah.

Pejabat Perdana Menteri Iraq, Ali al-Zaidi, mengesahkan serangan itu berpunca dari wilayah Iraq dan berkata di platform X bahawa komander yang bertanggungjawab bagi wilayah selatan Maysan telah dipecat.

Pemerintah Iraq berkata pihaknya mengutuk “serangan yang menyasarkan saudara kami di Kerajaan Arab Saudi, yang berpunca dari lokasi dalam wilayah berkenaan”.

Riyadh berkata, atas permintaan Perdana Menteri Iraq, pihaknya memilih “untuk tidak bertindak balas pada peringkat ini dan menyokong usaha pemerintah Iraq... bagi mencegah serangan yang dilancarkan dari Iraq terhadap Kerajaan Arab Saudi dan negara-negara jiran”.

Riyadh sebelum ini menuduh kumpulan militia Iraq yang disokong Iran menyasarkan infrastruktur minyaknya.

Namun, Arab Saudi menegaskan bahawa kerajaan itu “berhak mengambil segala langkah yang diperlukan bagi melindungi kedaulatan, keselamatan, kemudahan” serta rakyatnya.

Bahrain, Jordan dan Qatar turut mengutuk serangan terhadap saluran paip minyak Arab Saudi, manakala Majlis Kerjasama Teluk (GCC) mengecamnya sebagai “peningkatan yang berbahaya dan ancaman tidak boleh diterima terhadap keselamatan Kerajaan Arab Saudi”.

Harga minyak meningkat melebihi AS$100 ($127) setong minggu ini, manakala harga purata diesel di Amerika Syarikat melepasi AS$6 buat kali pertama pada 11 September – keadaan yang berpotensi menimbulkan masalah bagi Presiden Donald Trump menjelang pilihan raya pertengahan penggal.

Pemberontak Houthi yang disokong Iran di Yemen pada Julai mengumumkan sekatan maritim terhadap Arab Saudi – yang menyokong pemerintah Yemen – dengan menyerang kapal tangki minyaknya di Laut Merah.

Selepas menguasai pantai Laut Merah Yemen dan pulau-pulau di Selat Bab el-Mandeb pada 11 September, Houthi mengukuhkan penguasaan mereka ke atas laluan strategik yang menghubungkan Eropah dan Asia.

Houthi berkata pelayaran melalui Selat Bab al-Mandab kekal “selamat” bagi semua pihak kecuali Arab Saudi susulan kemajuan terbaru itu. - Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti