Topik diikuti
Pergi ke BHkuHouthi serang 4 bandar Saudi, konflik Teluk kembali memuncak
Serangan ke atas kemudahan minyak Saudi, tindakan AS ke atas kapal tangki Iran cetus kebimbangan bekalan tenaga dunia
Houthi serang 4 bandar Saudi, konflik Teluk kembali memuncak
RIYADH: Kumpulan Houthi yang disokong Iran melancarkan serangan besar-besaran menggunakan dron dan peluru berpandu ke atas empat bandar di selatan Arab Saudi pada 8 September, mencederakan sekurang-kurangnya 73 orang serta mencetuskan kebakaran di beberapa kemudahan minyak.
Serangan itu berlaku ketika konflik di Teluk kembali memuncak selepas Amerika Syarikat menyambung semula serangan terhadap sasaran Iran, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap bekalan tenaga sejagat dan mendorong harga minyak menghampiri paras AS$100 ($128) setong.
Serangan pada 8 September itu menandakan peluasan ketara konflik yang telah berlarutan selama enam bulan di Timur Tengah, dengan kedua-dua pihak kini semakin menyasarkan prasarana tenaga dan laluan strategik yang penting kepada ekonomi dunia.
Houthi berkata mereka telah melancarkan operasi jauh ke dalam wilayah Arab Saudi dengan menyasarkan sebuah pangkalan udara di bandar Khamis Mushait serta aset milik syarikat minyak negara itu, Saudi Aramco, di bandar Abha, Najran dan Jazan.
Pihak berkuasa Arab Saudi mengesahkan kebakaran berlaku di beberapa lokasi yang diserang dan memaklumkan bahawa wanita serta kanak-kanak antara mangsa yang cedera.
Imej satelit Pentadbiran Penerbangan dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) Amerika menunjukkan kepulan asap hitam tebal menyelubungi kawasan loji penapisan minyak Jazan, manakala asap putih kelihatan keluar dari sebuah pusat pengedaran minyak di Abha.
Bagaimanapun, tiada rakaman yang disahkan dari lokasi serangan itu diperoleh kerana kawalan ketat terhadap media di Arab Saudi.
Pada masa yang sama, tentera Amerika melancarkan serangan ke atas beberapa kapal tangki minyak Iran yang dikaitkan dengan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).
Seorang pegawai Amerika berkata serangan itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap cubaan Iran menyerang sebuah kapal perang Tentera Laut Amerika, sekali gus menamatkan tempoh dua hari tanpa serangan langsung antara kedua-dua negara.
Media Iran melaporkan sekurang-kurangnya dua kapal tangki minyak menjadi sasaran.
Agensi berita Iran, Tasnim, berkata sebuah peluru berpandu Amerika mengenai kapal tangki kira-kira enam kilometer dari hab minyak Pulau Kharg, manakala televisyen negara Iran melaporkan sebuah lagi kapal diserang berhampiran perairan Jask di Teluk Oman.
IRGC kemudian mengancam akan menyasarkan kapal tangki minyak yang berlabuh di pelabuhan Kuwait dan Bahrain sebagai tindak balas.
Dalam kenyataannya, IRGC turut memberi amaran kepada anak kapal berkenaan supaya mengosongkan kawasan pelabuhan itu.
Houthi menguasai sebahagian besar kawasan berpenduduk di Yaman, termasuk ibu kota Sanaa, dan telah berperang dengan gabungan tentera Arab Saudi selama lebih sedekad.
Walaupun konflik itu menunjukkan tanda-tanda reda sejak beberapa tahun lalu, gencatan senjata semakin rapuh selepas kedua-dua pihak kembali melancarkan operasi ketenteraan.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, pasukan pemerintah Yaman yang disokong Arab Saudi telah melancarkan serangan dari beberapa arah ke atas wilayah yang dikuasai Houthi, selepas kumpulan itu cuba mara ke kawasan di bawah kawalan pemerintah.
Jurucakap Houthi, Encik Yahya Saree, menuduh Riyadh meningkatkan konflik itu melalui serangan udara ke atas Yaman dan menegaskan bahawa kumpulan itu akan terus membalas tindakan Arab Saudi.
Pemerintah Yaman pula berkata matlamatnya adalah merampas semula semua wilayah yang kini dikuasai Houthi.
Pertempuran terbaharu di Teluk menimbulkan kebimbangan bahawa konflik tidak lagi terhad kepada Selat Hormuz, tetapi mula mengancam kemudahan tenaga di Arab Saudi.
Serangan ke atas loji penapisan dan pusat pengedaran minyak di Jazan dan Abha berpotensi mengganggu bekalan tenaga serantau sekiranya berlarutan.
Selepas keadaan yang sedikit tenang sepanjang Ogos, serangan berbalas antara Iran dengan Amerika telah menyebabkan harga minyak mentah Brent dan West Texas Intermediate melonjak ke paras tertinggi sejak Julai dan Jun.
Amerika kini berusaha memastikan laluan perkapalan di Selat Hormuz terus dibuka bagi membolehkan eksport minyak dunia diteruskan, sambil mengetatkan sekatan terhadap eksport minyak Iran.
Sebaliknya, Teheran mengumumkan rancangan mewujudkan “zon pengecualian maritim” yang akan merangkumi kawasan sekitar sekatan Amerika di Iran, Selat Hormuz dan sebahagian Teluk, sebagai langkah memperkukuh kawalan keselamatannya.
Konflik yang berpanjangan itu turut memberi kesan kepada ekonomi sejagat apabila bekalan minyak mentah dan bahan api bertapis semakin terhad.
Di Amerika, harga diesel kini mencapai paras purata runcit tertinggi dalam sejarah, sekali gus meningkatkan tekanan politik terhadap pentadbiran Presiden Donald Trump menjelang pilihan raya Kongres pada November.
Walaupun serangan udara Amerika telah melemahkan sebahagian keupayaan ketenteraan konvensional Iran, pegawai pertahanan Barat mengakui Teheran masih memiliki peluru berpandu balistik dan dron yang mampu mengancam pangkalan tentera Amerika serta kapal dagang di Selat Hormuz.
Dengan serangan Houthi ke atas Arab Saudi dan tindak balas langsung Amerika terhadap Iran, konflik Timur Tengah kini memasuki fasa baharu yang berisiko memperluaskan peperangan daripada Gaza dan Teluk kepada prasarana tenaga utama rantau itu. – Agensi berita.
