Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Arab Saudi tak akan jalin hubungan diplomatik dengan Israel tanpa negara Palestin

Sep 19, 2024 | 10:48 AM
Putera Mahkota Mohammed bin Salman pada sesi pembukaan Majlis Syura di Riyadh pada 18 September menyatakan kerajaan Arab Saudi tidak akan menjalin hubungan dengan Israel sehinggalah sebuah negara Palestin diwujudkan, sebagai tamparan kepada usaha Amerika Syarikat untuk memeterai perjanjian bagi memulihkan hubungan.
Putera Mahkota Mohammed bin Salman pada sesi pembukaan Majlis Syura di Riyadh pada 18 September menyatakan kerajaan Arab Saudi tidak akan menjalin hubungan dengan Israel sehinggalah sebuah negara Palestin diwujudkan, sebagai tamparan kepada usaha Amerika Syarikat untuk memeterai perjanjian bagi memulihkan hubungan. - Foto REUTERS

RIYADH: Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman mengulangi pendirian tegas Arab Saudi bahawa negaranya tidak akan mengiktiraf Israel tanpa pembentukan negara Palestin yang merdeka.

Beliau turut mengecam keras “jenayah penjajahan Israel” terhadap rakyat Palestin.

“Kerajaan tidak akan berhenti dalam usahanya yang gigih untuk menubuhkan negara Palestin yang bebas dengan Baitulmakdis Timur sebagai ibu negaranya, dan kami tegaskan bahawa kerajaan tidak akan menjalin hubungan diplomatik dengan Israel tanpa syarat ini,” kata Putera Mohammed, yang dikenali sebagai MBS.

Beliau berkata demikian di Majlis Syura, di Riyadh pada 18 September mewakili bapanya, Raja Salman.

“Kami perbaharui penolakan kerajaan dan mengutuk keras terhadap jenayah pendudukan Israel terhadap rakyat Palestin,” tambah beliau.

Sejak tercetusnya konflik antara Israel dengan Hamas, pada Oktober 2023, Arab Saudi menghentikan sementara rancangan untuk memulihkan hubungan dengan Israel, yang disokong oleh Amerika Syarikat.

Dua sumber yang rapat dengan Riyadh menyatakan bahawa keputusan itu dibuat sebagai tindak balas segera terhadap perubahan keutamaan diplomatik Arab Saudi.

Sebelum tercetusnya konflik, Riyadh dilihat semakin hampir mencapai persetujuan dengan Israel.

Namun Arab Saudi masih menyatakan bahawa mereka tidak menolak kemungkinan memulihkan hubungan diplomatik pada masa akan datang, selagi isu Palestin diberi keutamaan.

Dalam ucapannya, Putera Mohammed turut memuji negara yang telah mengiktiraf Palestin dan menyeru negara lain agar mengambil langkah yang sama.

Di samping itu, beliau menekankan komitmen kerajaan Saudi untuk terus memainkan peranan dalam usaha menstabilkan rantau itu dan menggalakkan keamanan sejagat, termasuk dalam krisis di Yaman, Sudan, Libya, dan Ukraine.

Perjanjian pemulihan hubungan yang diuruskan oleh Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Encik Donald Trump, pada 2020 antara Israel dengan Bahrain dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) telah menamatkan konsensus Arab yang telah lama wujud bahawa tidak sepatutnya ada pemulihan hubungan tanpa negara Palestin yang merdeka dan menumpukan perhatian kepada jiran mereka yang lebih berkuasa, Arab Saudi.

Awal September, Setiausaha Negara Amerika Encik Antony Blinken, membangkitkan prospek penubuhan pantas hubungan dengan penguasa minyak di negara Arab Teluk sebagai faedah yang berpotensi untuk Israel daripada perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan untuk Gaza.

Semasa lawatan ke Haiti itu, Encik Blinken berkata, beliau masih berharap memeterai perjanjian pemulihan hubungan antara Israel dengan Arab Saudi sebelum Presiden Joe Biden berundur pada Januari 2025. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg