WASHINGTON: Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan, dalam wawancara bersama CNN menegaskan bahawa normalisasi hubungan dengan Israel tidak dapat tercapai tanpa penyelesaian isu Palestin.
Putera Faisal menyatakan pendirian Arab Saudi bahawa negara Palestin adalah satu-satunya cara untuk mencapai kestabilan yang sebenar di rantau Timur Tengah.
Beliau menekankan kepada wartawan CNN Encik Fareed Zakaria, perdamaian sejati dan integrasi yang nyata dan dapat memberikan manfaat ekonomi dan sosial di Timur Tengah adalah “melalui proses perdamaian yang boleh dipercayai dan tidak dapat dibatalkan dalam menuju negara Palestin yang berdaulat.”
“Kami, tidak hanya sebagai Arab Saudi tetapi juga sebagai negara-negara Arab, sepenuhnya siap untuk terlibat dalam perbincangan tersebut. Kami berharap Israel juga mengambil sikap sedemikian, tetapi keputusan ada di tangan mereka,” ujar Putera Faisal lagi.
Kenyataan Putera Faisal itu adalah sebahagian daripada wawancara yang dirakam di luar Forum Ekonomi Dunia yang berlangsung antara 15 hingga 19 Januari di Davos, Switzerland. Temu bual tersebut disiarkan pada 21 Januari.
Beliau berkata fokus utama Arab Saudi sekarang adalah meredakan ketegangan konflik di Gaza. Selain itu, pihaknya komited untuk menghentikan perang yang menyebabkan kematian ramai orang awam.
“Ini sama sekali tidak perlu dan tidak boleh diterima sama sekali. Ia perlu dihentikan,” tegasnya.
Menyentuh tentang topik serangan Houthi terhadap kapal-kapal di sekitar Laut Merah beberapa minggu terakhir, Putera Faisal memaklumkan bahawa kerajaannya sangat bimbang dengan ketegangan di Laut Merah berikutan serangan Houthi Yaman dan serangan balas Amerika Syarikat yang berupaya hilang kawalan dan meningkatkan lagi konflik di rantau itu.
“Susulan perkembangan ketika ini, kami sangat bimbang... kita berada dalam keadaan sangat sukar dan berbahaya di rantau ini dan ini sebabnya kami menggesa meredakannya,” katanya.
Serangan oleh Houthi yang bersekutu dengan Iran ke atas kapal-kapal di dalam dan sekitar Laut Merah sejak beberapa minggu lalu memperlahankan perdagangan antara Asia dan Eropah dan mencemaskan kuasa besar berhubung peningkatan perang di Gaza.
Menurutnya, kerajaan Arab Saudi percaya kebebasan pelayaran berupaya mengurangkan ketegangan di rantau itu.
“Sudah tentu kami sangat percaya dengan kebebasan pelayaran. Dan itu adalah sesuatu yang perlu dilindungi. Bagaimanapun kita juga perlu melindungi keselamatan dan kestabilan rantau ini. Jadi kami sangat tertumpu untuk meredakan keadaan sebanyak mungkin,” katanya.
Houthi yang menguasai sebahagian besar Yaman, berkata serangannya sebagai solidariti kepada rakyat Palestin di Gaza yang diserang Israel.
Sejak minggu lalu, Amerika melancarkan serangan ke atas sasaran Houthi di Yaman dan meletakkan kembali Houthi ke senarai kumpulan ‘pengganas’.
Khamis lalu, 18 Januari, Presiden Amerika, Encik Joe Biden, berkata serangan udara akan berterusan walaupun beliau mengakui negaranya mungkin tidak menghentikan serangan Houthi. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg