Topik diikuti
Pergi ke BHkuArahan selamatkan wang undang maut bagi dua pekerja Aeon dalam gempa Jepun
Arahan selamatkan wang undang maut bagi dua pekerja Aeon dalam gempa Jepun
Arahan selamatkan wang undang maut bagi dua pekerja Aeon dalam gempa Jepun
KUMAMOTO (Jepun): Dua pekerja wanita yang terkorban dalam letupan di pusat beli-belah Aeon di wilayah Kumamoto sebenarnya telah berjaya menyelamatkan diri selepas gempa bumi kuat melanda kawasan itu, namun diarahkan masuk semula ke dalam bangunan untuk menyimpan wang jualan sebelum letupan berlaku.
Pengendali rangkaian kedai barangan harian Habita pada 4 Ogos mengakui arahan itu diberikan oleh pihak pengurusan syarikat dan memohon maaf kepada keluarga mangsa, selain menyerahkan laporan bertulis mengenai kronologi kejadian.
Insiden itu berlaku selepas gempa bumi bermagnitud 7.1 menggegarkan wilayah di barat daya Jepun pada 28 Julai lalu, dengan gegaran mencapai tahap tujuh, iaitu paras tertinggi dalam skala intensiti seismik Jepun.
Beberapa ketika selepas gempa, satu letupan besar memusnahkan sebahagian bangunan Aeon Mall Kumamoto di bandar Kashima, mengorbankan tujuh mangsa termasuk dua pekerja Habita.
Salah seorang mangsa ialah wanita berusia 22 tahun.
Menurut syarikat itu, kedua-dua pekerja terbabit pada mulanya berjaya keluar dari pusat beli-belah bersama pelanggan lain sebaik sahaja gegaran berlaku.
Bagaimanapun, mereka kemudian diarahkan kembali ke dalam bangunan untuk membawa hasil jualan dari kedai di tingkat dua ke peti besi yang terletak di tingkat bawah.
Pengurus jualan Habita yang berpangkalan di Kumamoto, Encik Koji Yuse, mengakui beliau sendiri mengarahkan pengurus cawangan supaya meminta kedua-dua pekerja berkenaan masuk semula ke premis.
“Saya berpendapat arahan itu tidak wajar. Saya benar-benar kesal dengan keputusan tersebut,” katanya dalam sidang media.
Beliau turut mengakui syarikat bertanggungjawab atas keputusan yang menyebabkan kedua-dua pekerja kembali memasuki bangunan yang ketika itu masih berisiko.
Sementara itu, kerajaan wilayah Kumamoto memaklumkan setakat pagi 4 Ogos, seramai 36 orang disahkan maut secara langsung akibat gempa bumi berkenaan, manakala dua lagi kematian masih dalam siasatan.
Jumlah keseluruhan korban kini meningkat kepada 38 orang, termasuk tujuh mangsa yang maut dalam letupan di pusat beli-belah Aeon serta sembilan pekerja yang terbunuh di kilang Nippon Paper Industries di Yatsushiro selepas beberapa cerobong kilang rosak dan runtuh akibat gegaran.
Seminggu selepas bencana itu, lebih 8,000 penduduk masih berlindung di 150 pusat pemindahan sementara di serata Kumamoto.
Pihak berkuasa menganggarkan kira-kira 12,000 bangunan mengalami kerosakan akibat gempa itu, manakala bekalan air masih terputus kepada sekitar 45,000 isi rumah di lima kawasan perbandaran.
Keadaan menjadi lebih sukar apabila wilayah itu dilanda cuaca panas melampau.
Pada 2 Ogos, beberapa kawasan merekodkan suhu melebihi 35 darjah Celsius, malah ada lokasi mencatat suhu sehingga 40 darjah Celsius buat pertama kali dalam sejarah.
Pihak berkuasa turut menyiasat satu lagi kematian yang disyaki berkaitan bencana apabila seorang mangsa dipercayai meninggal dunia akibat strok haba selepas bermalam di dalam kereta.
Susulan keadaan itu, usaha mencegah strok haba kini menjadi antara keutamaan kerajaan Jepun.
Kerajaan pusat dan pentadbiran wilayah mempertingkat penghantaran bekalan air minuman, menambah tandas mudah alih serta memasang pendingin hawa mudah alih di pusat perlindungan bagi mengurangkan risiko kesihatan kepada mangsa.
Perdana Menteri Jepun, Cik Sanae Takaichi, selepas melawat sebuah pusat pemindahan pada 3 Ogos mengumumkan kerajaan akan mengisytiharkan gempa Kumamoto sebagai “bencana teruk luar biasa”.
Pengisytiharan itu membolehkan kerajaan tempatan menerima bantuan kewangan yang lebih besar daripada kerajaan pusat bagi mempercepat usaha pembinaan semula dan membantu mangsa.
Pada 4 Ogos, Kabinet Jepun turut meluluskan peruntukan kecemasan sebanyak 24.2 bilion yen ($197 juta) daripada dana rizab negara.
Peruntukan itu akan digunakan bagi membaik pulih jambatan lebuh raya yang rosak, menghantar bekalan bantuan, membina penempatan sementara serta mempercepat pemulihan kawasan terjejas.
Dalam perkembangan lain, permohonan pemindahan sementara ke hotel bagi mangsa yang kehilangan tempat tinggal telah dibuka, manakala pembinaan rumah sementara sudah dimulakan di bandar Uki dan Hikawa yang paling teruk terjejas.
Bantuan antarabangsa turut mula tiba apabila bandar Kaohsiung di Taiwan menyumbangkan pelbagai keperluan asas kepada pusat jagaan warga emas Miyabien di Yatsushiro selepas mengetahui kawasan itu berdepan gangguan bekalan air yang serius.
Pengarah pusat jagaan itu, Encik Midori Tagata, berkata sumbangan tersebut amat bermakna kerana gangguan bekalan air menyukarkan penjagaan kebersihan penghuni yang terdiri daripada warga emas.
Sementara itu, gangguan terhadap sistem pengangkutan masih berterusan apabila perkhidmatan kereta api laju Kyushu Shinkansen antara Stesen Kumamoto dan Kagoshima-Chuo masih digantung, manakala Lebuhraya Kyushu turut ditutup kepada kenderaan awam di antara persimpangan Matsubase dan Ebino bagi membolehkan kerja pemeriksaan serta pembaikan dijalankan. - Agensi berita