TOKYO: Gempa bumi dengan magnitud 7.1 yang melanda daerah Kumamoto di selatan Jepun pada 28 Julai telah meragut beberapa nyawa dan mencederakan sekurang-kurangnya 50 orang, termasuk beberapa yang terperangkap di dalam sebuah pusat beli-belah yang runtuh.

Beberapa kematian disahkan selepas satu letupan menggegarkan pusat beli-belah tersebut, menurut laporan Fuji TV.

Berucap kepada wartawan di pejabatnya di Tokyo, Perdana Menteri Jepun, Cik Sanae Takaichi, berkata pihak berkuasa masih menilai skala sebenar kerosakan di kawasan itu, yang turut dilanda gempa maut sedekad lalu.

“Kami telah dimaklumkan bahawa terdapat orang yang cedera,” kata Cik Takaichi.

“Gangguan bekalan elektrik dan kebakaran berlaku di sesetengah kawasan, dan turut berlaku kerosakan pada jalan raya serta jambatan, selain keruntuhan bangunan.

“Saya minta semua orang mengambil langkah untuk melindungi diri, termasuk berpindah ke lokasi yang selamat.”

Sekitar 300,000 orang telah diarah agar pergi ke pusat pemindahan, kata agensi pengurusan bencana Jepun, manakala Cik Takaichi turut menyatakan 3,600 askar akan dikerah untuk membantu usaha pemulihan bencana ketika gegaran susulan terus berlaku.

Seperti debu gunung berapi turun

Sebuah hospital melaporkan lebih 50 kes kecederaan, menurut stesen penyiaran awam NHK.

Beberapa penumpang dalam sebuah kereta api berkelajuan tinggi ketika gempa itu berlaku turut cedera, lapor akhbar, Nikkei.

Beberapa orang terperangkap di dalam sebuah pusat beli-belah Aeon yang digegarkan oleh letupan yang berlaku selepas gempa bumi tersebut, kata pihak perkhidmatan kecemasan.

Polis Kumamoto berkata ada beberapa orang yang disyaki maut akibat letupan itu, lapor stesen penyiaran TBS.

Seorang jurucakap Aeon berkata pelanggan dan pekerja telah dipindahkan sejurus selepas gegaran awal, dan punca sebenar letupan yang berlaku selepas itu masih belum diketahui.

Seorang saksi, Encik Kazuya Tsurunaga, memberitahu TBS beliau mendengar bunyi letupan itu kira-kira 300 meter dari pusat beli-belah Aeon.

“Kesannya sangat besar,” katanya.

“Segumpal asap tebal menjulang tinggi, dan memandangkan arah angin ketika itu bertiup ke arah kedai, kawasan sekitar kami seperti dilanda hujan debu gunung berapi.”

Bangunan terbakar

Menurut rakaman NHK, beberapa bangunan lain turut terbakar atau runtuh, manakala retakan besar kelihatan pada jalan raya utama termasuk lebuh raya bertingkat.

Perkhidmatan kereta api dan penerbangan turut dihentikan.

Pembuat cip kontrak terbesar dunia, TSMC, memindahkan pekerja dari kilangnya di kawasan itu sebagai langkah berjaga-jaga, kata seorang jurucakap syarikat tersebut.

Sony dan Fujifilm turut memindahkan kakitangan dari kilang masing-masing di kawasan itu, lapor akhbar Nikkei.

Seorang jurucakap Sony sebelum ini berkata syarikat itu sedang memantau keadaan.

Pusat gempa itu terletak sekitar 20 kilometer selatan Kumamoto, bandar terbesar di pulau Kyushu tengah yang mempunyai kira-kira 700,000 orang penduduk.

Penduduk di kawasan yang mengalami gegaran paling kuat perlu berwaspada terhadap kemungkinan gempa susulan yang kuat selama kira-kira seminggu, selain risiko tanah runtuh, kata seorang pegawai Agensi Meteorologi Jepun (JMA). – Agensi berita.