LONDON: Pasukan yang sedang mendahului Liga Perdana England (EPL), Arsenal, terus akan menentang Crystal Palace dalam suku akhir Piala Liga, manakala pasukan divisyen tiga, Cardiff City, satu-satunya pasukan bukan Liga Perdana yang mara ke suku akhir, pula akan menentang Chelsea.
Penyandang juara, Newcastle United, akan menentang Fulham di tempat sendiri dan Manchester City, yang telah memenangi Piala Liga lapan kali, akan menentang Brentford.
Perlawanan lapan pasukan terakhir itu akan berlangsung pada minggu 15 Disember.
Empat daripada pasukan suku akhir – Brentford, Fulham, Cardiff City dan Crystal Palace – tidak pernah memenangi Piala Liga.
Sementara itu, Liverpool, pasukan pilihan kedua dan telah memenangi Piala Liga sebanyak 10 kali, dibelasah 3-0 oleh Crystal Palace apabila Ismaila Sarr menjaringkan dua gol untuk pasukan pelawat dalam Piala Liga pada 29 Oktober.
Penyandang juara, Newcastle United, menewaskan Tottenham Hotspur 2-0; Arsenal menewaskan Brighton & Hove Albion 2-0; Manchester City bangkit untuk menewaskan pasukan divisyen dua, Swansea City 3-1; dan Chelsea pula menewaskan Wolverhampton Wanderers 4-3 dalam perlawanan pusingan keempat.
Jurulatih Liverpool, Arne Slot, merehatkan kebanyakan pemain utamanya – begitu juga kelab-kelab utama Liga Perdana yang lain – menyebabkan Liverpool mengalami kekalahan keenam mereka dalam tujuh perlawanan merentasi semua pertandingan.
Perlawanan di Anfield agak seimbang sebelum Sarr menjaringkan gol pada minit ke-41 dengan rembatan deras melepasi penjaga gol, Freddie Woodman.
Sarr menggandakan kedudukan Palace beberapa saat sebelum rehat apabila beliau menerima hantaran ke belakang yang cantik daripada Yeremy Pino.
Liverpool terpaksa bermain dengan 10 orang apabila Amara Nallo dibuang padang pada minit ke-79 kerana menjatuhkan Justin Devenny.
Pino menambah derita Liverpool dengan gol ketiga pasukan pelawat pada minit ke-88.
Manakala Newcastle mara ke suku akhir hasil jaringan Fabian Schar pada separuh masa pertama dan Nick Woltemade pada separuh masa kedua untuk menyingkirkan Spurs.
Ethan Nwaneri, 18 tahun, dari Arsenal, memecah kebuntuan pada minit ke-57 semasa pasukannya menentang Brighton di Emirates, selepas beliau menerima hantaran Myles Lewis-Skelly sebelum merembat bola masuk ke gawang lawan.
Bukayo Saka menggandakan jaringan The Gunners pada minit ke-76 apabila beliau menyambar bola untuk membuat jaringan – menewaskan penjaga gawang Brighton, Jason Steele.
Skuad liga Championship, Swansea, pula mengejutkan Manchester City kendalian Pep Guardiola – yang berada 28 anak tangga di atas mereka dalam piramid bola sepak England – apabila Goncalo Franco menjaringkan gol pada minit ke-12.
Tetapi Jeremy Doku menyamakan kedudukan sebelum separuh masa pertama tamat.
Omar Marmoush meletakkan City di hadapan pada minit ke-77 apabila beliau merembat bola ke bumbung jaring gol sebelum Rayan Cherki melengkapkan kemenangan dengan gol pada masa kecederaan. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg