FRANKFURT (Jerman): Kemenangan besar Liverpool 5-1 dalam Liga Juara-Juara di Eintracht Frankfurt pada 22 Oktober bukan sahaja menamatkan empat kekalahan berturut-turut, bahkan juga menawarkan gambaran tentang kemungkinan gandingan serangan yang kuat – jika kecederaan tidak berlaku.
Hugo Ekitike bermula bersama Alexander Isak – kedua-duanya baru dibeli dalam tempoh pemindahan lalu – buat kali pertama, namun masing-masing mengalami pengalaman berbeza.
Ekitike menjaringkan gol pertama Liverpool pada malam itu, manakala Isak, yang terlepas pramusim akibat isu pemindahan daripada Newcastle United, meninggalkan perlawanan itu pada separuh masa akibat kecederaan pangkal paha.
“Kami telah mencipta banyak peluang sejak kebelakangan ini tetapi tidak dapat menjaringkan gol,” kata pengurus Liverpool, Arne Slot.
“Hari ini, bersama Alex dan Hugo, saya mempunyai dua pemain beraksi di atas padang yang biasanya mampu menjaringkan gol. Kedua-dua mereka telah melakukan apa yang saya harapkan dan kedua-duanya melakukannya dengan baik.
“Alex hampir menjaringkan gol beberapa kali, tetapi terpaksa dikeluarkan pada separuh masa.
“Itulah cara kami menguruskan (proses pemulihannya). Beliau hampir tidak berlatih sebelum menyertai kami, dan kami sedang membantunya selangkah demi selangkah.
“Anda rasa mesti ada saat beliau boleh bermain dua kali seminggu. Kali pertama kami mencuba, beliau terpaksa dikeluarkan. Harap-harap ia tidak begitu buruk,” kata Slot dengan penuh semangat.
Liverpool mengalami perubahan pantas selepas menentang Manchester United pada 19 Oktober, yang menyaksikan mereka tewas 2-1.
Menurut Slot, Isak bermain dua kali dalam seminggu untuk Sweden semasa tempoh rehat antarabangsa baru-baru ini, selepas kelab itu memaklumkan kepada pasukan negaranya beliau sudah cukup cergas untuk turun padang.
Tetapi, beliau menekankan kepentingan membolehkan pemain penyerang itu menyesuaikan diri dengan jadual perlawanan pasukan yang padat.
Slot turut gembira dengan prestasi Ekitike yang menjaringkan gol cemerlang menentang bekas pasukannya.
“Gol pertama yang dijaringkan Hugo adalah istimewa. Anda boleh lihat di wajahnya – detik itu bermakna segala-galanya baginya,” kata Slot.
“Inilah saat-saat yang kami harapkan.”
Jeremie Frimpong terincut-incut keluar pada awal permainan selepas kecederaan otot paha yang bertambah buruk.
Slot berkata beliau menjangkakan pemain bek kanan itu akan diketepikan selama beberapa minggu.
Rasmus Kristensen membuka jaringan untuk pasukan tuan rumah dan selepas Ekitike menyamakan kedudukan untuk Liverpool, Virgil van Dijk, Ibrahima Konate, Cody Gakpo dan Dominik Szoboszlai semuanya menjaringkan gol, dua gol terakhir dibantu oleh Florian Wirtz. – Reuters, AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg