Topik diikuti
Pergi ke BHkuAS adakan rundingan sulit dengan Iran ketika perang berlarutan
AS adakan rundingan sulit dengan Iran ketika perang berlarutan
WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Encik Donald Trump, mengadakan rundingan sulit dengan Iran bagi menghantar pulang warga negara itu yang berada di Amerika, meskipun kedua-dua negara masih terlibat dalam peperangan.
Perkara itu didedahkan menerusi dokumen mahkamah yang dibuka kepada umum pada 5 November, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keselamatan warga Iran yang bakal dihantar pulang ke negara asal mereka.
Dokumen tersebut menunjukkan pentadbiran Trump masih merancang pengusiran warga Iran sehingga pertengahan Oktober lalu, termasuk kemungkinan menghantar mereka melalui negara ketiga yang tidak dinamakan.
Bagaimanapun, belum jelas bila rancangan itu akan dilaksanakan.
Hakim Mahkamah Daerah Amerika, Cik Ana Reyes, mengarahkan pemerintah memaklumkan mahkamah sekurang-kurangnya 24 jam selepas sebarang rancangan pengusiran ke Iran atau negara lain dimuktamadkan.
Pemerintah juga diwajibkan memberikan notis bertulis lima hari sebelum sebarang pengusiran dilaksanakan.
Menurut dokumen itu, pegawai Amerika terus berhubung dengan pihak berkuasa Iran sepanjang peperangan bagi menguruskan dokumen perjalanan dan mencari kaedah yang membolehkan warga Iran dihantar pulang.
Pendedahan tersebut mencetuskan kebimbangan kerana Iran dan Amerika tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi sejak beberapa dekad lalu, selain kini terlibat dalam konflik ketenteraan.
Dalam prosiding mahkamah pada 15 Oktober, Hakim Reyes mempersoalkan keputusan pemerintah ntuk menghantar pulang warga Iran ketika keadaan keselamatan di negara itu masih berbahaya.
“Kita sedang berperang dengan sebuah negara yang Presiden Amerika sendiri sifatkan sebagai negara yang pada asasnya tidak menghormati undang-undang.
“Negara itu dianggap musuh Amerika oleh Presiden sekarang. Menurut Presiden kita, negara tersebut telah membunuh puluhan ribu penunjuk perasaan,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa warga Iran yang dihantar pulang mungkin menghadapi ancaman terhadap nyawa mereka.
“Adakah anda memberitahu saya bahawa Amerika Syarikat akan menghantar individu kembali ke kawasan itu, sedangkan kita semua tahu mereka sekurang-kurangnya berdepan ancaman serius yang boleh membawa maut?” soal hakim tersebut.
Peguam Jabatan Kehakiman Amerika, Encik Dimitar Georgiev-Remmel, menjawab bahawa pemerintah sedang melaksanakan perintah pengusiran yang sah di sisi undang-undang.
“Ya, Yang Arif. Pemerintah sedang melaksanakan perintah pengusiran yang sah,” katanya.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) Amerika belum memberikan sebarang ulasan segera mengenai pendedahan itu.
Rundingan sulit tersebut terbongkar melalui satu kes mahkamah yang masih berjalan, membabitkan dakwaan bahawa agensi imigresen Amerika berkongsi maklumat sulit pemohon suaka Iran dengan pemerintah Teheran.
Menurut dokumen mahkamah, tindakan itu didakwa melanggar peraturan imigresen Amerika dan boleh membahayakan keselamatan warga Iran yang mendapatkan perlindungan di negara tersebut.
Bagaimanapun, DHS menafikan bahawa rekod permohonan suaka telah dikongsi dengan pemerintah Iran.
Dokumen mahkamah turut mendedahkan ratusan e-mel antara pegawai imigresen Amerika yang menunjukkan kerjasama kedua-dua negara bagi mengatur penghantaran pulang lebih 100 warga Iran.
Penghantaran itu dilakukan pada September dan Disember 2025 serta Januari 2026.
Sebelum ini, pengusiran warga Iran dari Amerika ke negara asal mereka jarang berlaku kerana ketiadaan hubungan diplomatik antara Washington dengan Teheran.
Selain halangan diplomatik, terdapat kebimbangan bahawa mereka yang dihantar pulang mungkin menghadapi penganiayaan politik, penahanan atau tindakan keras pihak berkuasa Iran.
Namun, di bawah pentadbiran Trump, agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam AS (ICE) semakin giat mengusir pendatang, termasuk ke negara yang sebelum ini enggan menerima mereka.
Dalam beberapa kes, pemerintah Amerika menghantar pendatang ke negara ketiga yang tidak mempunyai hubungan dengan mereka.
Sepanjang penggal kedua Encik Trump, negara seperti El Salvador, Costa Rica dan Panama menerima pendatang yang dihantar dari Amerika walaupun mereka bukan rakyat negara berkenaan.
Pada Jun lalu, seorang wanita Iran turut menjadi antara kira-kira 24 pendatang yang dihantar Amerika ke Republik Afrika Tengah.
Kumpulan hak asasi manusia menyuarakan kebimbangan bahawa warga Iran yang dihantar pulang mungkin menjadi sasaran tindakan keras pemerintah Teheran, khususnya mereka yang pernah mengkritik pemerintah atau memohon perlindungan politik di luar negara.
Pendedahan mengenai rundingan pengusiran itu muncul ketika ketegangan ketenteraan antara Washington dengan Teheran masih berlarutan.
Encik Trump baru-baru ini memberi amaran bahawa Amerika mungkin terpaksa memusnahkan baki kemudahan Iran, sambil mendakwa usaha membangunkan semula negara itu boleh mengambil masa sehingga 25 tahun.
Beliau turut berkata orang ramai akan mengetahui tidak lama lagi sama ada tindakan ketenteraan lanjut akan dilaksanakan.
Dalam perkembangan berkaitan, Iran dilaporkan telah mengemukakan cadangan mengenai program nuklearnya kepada Amerika melalui pengantara Qatar.
Washington kini sedang meneliti cadangan tersebut, manakala Teheran menunggu tujuh tuntutannya dipenuhi. Agensi berita
