Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS arah agensi makanan PBB henti kerja, jejas bantuan kecemasan sejagat

Feb 7, 2025 | 12:05 PM
Para sukarelawan mengagihkan bantuan makanan daripada Program Makanan Sedunia (WFP) kepada mangsa ribut taufan di Pemba, Mozambique, pada 18 Disember 2024.
Para sukarelawan mengagihkan bantuan makanan daripada Program Makanan Sedunia (WFP) kepada mangsa ribut taufan di Pemba, Mozambique, pada 18 Disember 2024. - Foto REUTERS

LOS ANGELES: Washington telah mengarahkan Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya menghentikan kerja melibatkan berpuluh-puluh geran yang dibiayai Amerika Syarikat.

Menurut e-mel yang dilihat Reuters, tindakan terbaru itu dibuat lima hari selepas Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, mengeluarkan pengecualian bagi bantuan makanan kecemasan.

Geran Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) itu bernilai berpuluh-puluh juta dolar dan ia menyediakan bantuan makanan di negara miskin termasuk Yaman, Republik Demokratik Congo, Sudan, Sudan Selatan, Republik Afrika Tengah, Haiti dan Mali.

Jabatan negara Amerika dan WFP tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas mengenainya.

Beberapa geran yang digantung adalah di bawah program, ‘Food for Peace Title II’, yang melibatkan perbelanjaan sekitar AS$2 bilion ($2.7 bilion) setiap tahun.

Program itu, yang membentuk sebahagian besar bantuan makanan antarabangsa Amerika, ditadbir bersama oleh Jabatan Pertanian Amerika dan USAID.

Hanya beberapa jam selepas memegang jawatan pada 20 Januari, Presiden Donald Trump, mengarahkan bantuan asing dihentikan selama 90 hari supaya sumbangan boleh disemak untuk melihat sama ada ia sejajar dengan dasar luarnya ‘Dahulukan Amerika’.

Amerika adalah penyumbang bantuan terbesar di dunia.

Jabatan Negara kemudian menghantar notis “hentikan kerja” pada 24 Januari untuk semua bantuan asing sedia ada dan menghentikan bantuan baru.

Namun berkata, Encik Rubio telah memberikan pengecualian bagi bantuan makanan kecemasan.

Beliau juga meluluskan pengecualian pada 28 Januari untuk bantuan kemanusiaan yang bertujuan menyelamatkan nyawa seperti perkhidmatan perubatan, makanan dan tempat tinggal.

Pada 29 Januari, WFP – yang pengarah eksekutifnya ialah seorang warga Amerika, Cik Cindy McCain – menerima e-mel, dilihat oleh Reuters, daripada USAID yang menyenaraikan puluhan projek yang dikenakan arahan hentikan kerja.

Seorang pegawai kanan WFP di Washington mengirim e-mel balas memohon penjelasan dan membangkitkan kebimbangan berlakunya gangguan rantaian bekalan makanan besar-besaran WFP, menjejas lebih 507,000 tan metrik (MT) makanan bernilai lebih AS$340 juta.

Pegawai itu menyatakan bahawa sebahagian daripada makanan itu sedang dalam perjalanan melalui laut, lebih banyak disimpan di 23 negara dan sebahagian lagi dalam pengangkutan darat.

Mereka menambah bahawa “jumlah makanan yang banyak sedang dimuatkan di pelabuhan seperti Houston dan lokasi lain di seluruh rantaian bekalan domestik Amerika”. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg