WASHINGTON: Pemerintah Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump telah membatalkan sekurang-kurangnya 300 visa pelajar asing, termasuk seorang pelajar kedoktoran warga Turkey, sebagai sebahagian daripada tindakan keras terhadap protes pro-Palestin yang berlaku di kampus-kampus universiti.
Setiausaha Negara Encik Marco Rubio, mengesahkan perkara ini ketika lawatannya ke Guyana.
“Mungkin lebih 300 visa telah dibatalkan setakat ini. Kami lakukannya setiap hari. Setiap kali saya jumpa ‘pengacau’ seperti ini, kami bertindak,” katanya kepada wartawan.
Antara yang menjadi perhatian ialah penahanan seorang pelajar Turkey, Cik Rumeysa Ozturk, yang sedang mengikuti program kedoktoran dalam bidang Kajian Kanak-Kanak dan Pembangunan Manusia di Universiti Tufts. Beliau juga merupakan penerima biasiswa Fulbright dan memegang visa pelajar F-1.
Video penahanannya oleh pegawai imigresen berpakaian biasa yang bertopeng di luar Boston tular dan mencetuskan kemarahan di media sosial. Namun, Encik Rubio mempertahankan tindakan itu.
“Jika anda mohon visa pelajar ke Amerika dan menyatakan anda datang bukan hanya untuk belajar, tetapi untuk menyertai pergerakan yang merosakkan kampus, ganggu pelajar, rampas bangunan dan cipta kekacauan, kami tak akan beri visa itu,” tegasnya.
Setakat ini, tiada pertuduhan rasmi diumumkan terhadap Cik Ozturk, walaupun beliau diketahui aktif dalam protes pro-Palestin dan pernah menulis artikel bersama rakan pelajar lain yang menggesa Universiti Tufts menarik pelaburan dari syarikat yang mempunyai kaitan dengan Israel, serta menyebut soal “pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin”.
Peguam Cik Ozturk, Cik Mahsa Khanbabai berkata:
“Berdasarkan pola yang berlaku di seluruh negara, kebebasan bersuara beliau mungkin menjadi sebab utama penahanannya.”
Penahanan Cik Ozturk merupakan antara siri tindakan ke atas pelajar antarabangsa yang menyuarakan sokongan terhadap Palestin. Tindakan itu berlandaskan Akta Imigresen dan Kewarganegaraan yang membolehkan pemindahan individu bukan warganegara jika dianggap mengancam dasar luar atau keselamatan negara.
Jurucakap Keselamatan Dalam Negeri Amerika, Cik Tricia McLaughlin mendakwa bahawa Cik Ozturk “terlibat dalam aktiviti menyokong Hamas, sebuah organisasi pengganas asing yang meraikan pembunuhan warga Amerika.”
Namun, ahli politik dari parti Demokrat, Senator Elizabeth Warren, mengecam keras tindakan ini:
“Ini adalah corak yang membimbangkan. Mereka menahan pelajar sah tanpa proses yang adil. Ini serangan terhadap Perlembagaan dan kebebasan asas rakyat dan kami akan lawan balik,” katanya dalam kenyataan.
Pada 26 Mac, seorang hakim persekutuan turut mengarahkan pentadbiran Trump untuk menghentikan usaha menahan dan mengusir Cik Yunseo Chung, seorang pelajar Universiti Columbia berusia 21 tahun. Cik Chung merupakan pemastautin tetap sah di Amerika yang berhijrah dari Korea Selatan ketika masih kanak-kanak. Kes beliau kini menjadi simbol kebimbangan awam terhadap tindakan keras yang menyasarkan pelajar asing.
Ketika diminta mengulas pada 27 Mac, Encik Rubio menegaskan pendirian pentadbiran Trump:
“Kami beri visa kepada pelajar untuk belajar, bukan untuk jadi aktivis yang huru-harakan kampus. Jika anda menipu untuk dapatkan visa dan kemudian lakukan hal sebaliknya, kami akan tarik balik visa itu.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg