Topik diikuti
Pergi ke BHkuAS dakwa Iran telah tandatangani perjanjian damai, kapal mula bergerak di Hormuz
AS dakwa Iran telah tandatangani perjanjian damai, kapal mula bergerak di Hormuz
AS dakwa Iran telah tandatangani perjanjian damai, kapal mula bergerak di Hormuz
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berkata kapal-kapal mula bergerak melalui Selat Hormuz ketika Washington dan Teheran bersedia memeterai perjanjian rasmi bagi menamatkan perang Amerika-Israel dengan Iran.
Encik Trump berkata perkembangan itu menunjukkan keadaan di laluan perkapalan paling penting dunia itu semakin stabil selepas kedua-dua pihak mencapai memorandum persefahaman (MoU) awal untuk menghentikan konflik.
“Kapal-kapal mula bergerak, kebanyakannya membawa minyak keluar dari Selat Hormuz,” katanya menerusi platform Truth Social sebelum tiba di Perancis bagi menghadiri sidang kemuncak G7.
“Mereka menggunakan laluan selatan yang kini selamat, terjamin dan bersih,” tambah beliau merujuk kepada laluan perkapalan melalui perairan Oman.
Menurut Encik Trump, Selat Hormuz dijangka dibuka sepenuhnya menjelang Jumaat ini, 19 Jun.
Kenyataan itu dibuat selepas Amerika dan Iran mengumumkan majlis menandatangani rasmi perjanjian damai akan diadakan di Switzerland pada 19 Jun.
Walaupun teks penuh perjanjian belum didedahkan kepada umum, Naib Presiden Amerika, Encik JD Vance, dan seorang pegawai kanan Amerika berkata syarat utama perjanjian sudah dipersetujui dan kedua-dua pihak telah menandatangani versi digital MoU itu pada Ahad, 14 Jun.
Perjanjian awal tersebut dijangka membuka semula Selat Hormuz, menamatkan sekatan laut Amerika terhadap pelabuhan Iran dan menghentikan pertempuran di beberapa medan konflik di Asia Barat.
Namun isu lebih rumit seperti program nuklear Iran, sokongan Teheran terhadap kumpulan sekutu di rantau itu, pembekuan aset Iran serta sekatan ekonomi dijangka dibincangkan dalam rundingan teknikal selama 60 hari.
Encik Vance berkata isu berkaitan masa depan Selat Hormuz termasuk kemungkinan laluan bebas tol akan dibincangkan dalam rundingan seterusnya.
“Kami menjangkakan selat itu akan dibuka secara bebas tol untuk jangka panjang,” katanya kepada CNBC.
Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmaeil Baghaei, memberi bayangan bahawa Iran mungkin mengenakan bayaran tertentu kepada kapal yang menggunakan laluan tersebut.
“Matlamat kami ialah memastikan laluan ini selamat. Namun kami memerlukan sedikit masa untuk berbincang dengan pihak lain mengenai perkara penting ini,” katanya.
Walaupun pasaran minyak dunia kembali stabil selepas berita perjanjian itu diumumkan, syarikat perkapalan dan keselamatan maritim memberi amaran bahawa operasi di Selat Hormuz mungkin mengambil masa beberapa bulan untuk pulih sepenuhnya.
Menurut Reuters, operasi membersihkan periuk api laut di kawasan tersebut mungkin memerlukan antara 40 hingga 50 hari sebelum syarikat insurans dan perkapalan benar-benar yakin untuk membenarkan kapal melalui laluan itu secara normal.
Dewan Perkapalan Antarabangsa pula memaklumkan sekitar 500 kapal masih menunggu untuk melalui selat tersebut, dengan kira-kira 20,000 anak kapal terkandas akibat konflik.
Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, berkata Perancis dan Britain akan mengetuai misi bagi menyelaras pembukaan semula laluan strategik itu.
Pertubuhan Maritim Antarabangsa sebelum ini merekodkan 46 serangan melibatkan Amerika dan Iran terhadap laluan perkapalan antarabangsa sepanjang konflik berlangsung.
Walaupun suasana semakin reda, beberapa persoalan penting masih belum terjawab termasuk mengenai siapa yang akan mengawal atau menyelia keselamatan Selat Hormuz selepas perjanjian dimeterai.
Penganalisis turut melihat konflik terbaru itu mengukuhkan lagi kedudukan Iran dalam menggunakan Selat Hormuz sebagai alat tekanan strategik terhadap Barat.
Selat Hormuz merupakan laluan utama eksport minyak dunia dan sebarang gangguan di kawasan itu mampu memberi kesan besar kepada ekonomi global.
Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, pula menggambarkan perkembangan terbaru itu sebagai kemenangan bagi Tehran.
Beliau bagaimanapun mengakui masih terdapat “beberapa perbezaan kecil” dalam rundingan tanpa menjelaskan lanjut.
Dalam perkembangan lain, beberapa media melaporkan perjanjian itu mungkin membuka jalan kepada pelonggaran sekatan terhadap Iran serta penubuhan dana pembinaan semula bernilai AS$300 bilion (S$384 bilion) yang akan dibiayai negara-negara Teluk.
“Itulah jenis akses yang mungkin mereka peroleh selagi mereka memenuhi tanggungjawab mereka,” kata Encik Vance kepada CBS News ketika ditanya mengenai dana tersebut.
Seorang pegawai kanan Amerika yang enggan dikenali turut mengesahkan bahawa Encik Trump, Encik Vance dan Speaker Parlimen Iran, Encik Mohammad Bagher Ghalibaf, sudah menandatangani perjanjian digital itu.
Bagaimanapun Iran setakat ini belum mengesahkan penglibatan rasmi Encik Ghalibaf.
Pegawai Amerika itu berkata sebarang langkah membebaskan aset Iran dan menarik balik sekatan akan bergantung kepada tindakan Teheran selepas perjanjian dimeterai.
Beliau turut menjelaskan bahawa kedudukan tentera Amerika di Asia Barat tidak akan berubah sepanjang tempoh rundingan 60 hari, walaupun kemungkinan pengurangan tentera pada masa depan tidak ditolak.
Encik Trump pula berkata teks penuh perjanjian akan diumumkan 19 Jun ini atau selepas majlis pemeteraian rasmi di Switzerland.
“Semuanya sudah ditandatangani,” katanya.
Beliau bagaimanapun belum mengesahkan sama ada akan menghadiri sendiri majlis tersebut. - Agensi berita
