Topik diikuti
Pergi ke BHkuAS, Iran capai perjanjian damai
AS, Iran capai perjanjian damai
Persetujuan awal rangkumi gencatan senjata 60 hari untuk rundingan lanjut program nuklear Iran, penarikan sekatan ekon AS
AS, Iran capai perjanjian damai
WASHINGTON/TEHERAN: Amerika Syarikat dan Iran mencapai satu perjanjian damai penting pada 14 Jun yang membuka laluan kepada rundingan lanjut untuk menamatkan konflik berbulan-bulan di Asia Barat.
Konflik itu telah mengorbankan ribuan nyawa, menggugat ekonomi dunia dan mencetuskan ketegangan besar di rantau itu.
Pengumuman tersebut segera disambut dengan rasa lega di Iran serta beberapa negara Asia Barat, selain memberi kesan positif kepada pasaran dunia apabila harga minyak mula menurun.
Pasaran menjangkakan perjanjian itu akan membawa kepada pembukaan semula Selat Hormuz, laluan strategik utama bagi perdagangan minyak dan gas dunia yang sebelum ini lumpuh akibat konflik.
Presiden Amerika, Encik Donald Trump, dalam satu kenyataan berkata perjanjian dengan Iran kini sudah dimuktamadkan.
Encik Trump berkata beliau telah mengarahkan pembukaan semula Selat Hormuz tanpa sebarang bayaran tol serta penamatan segera sekatan laut Amerika terhadap pelabuhan Iran.
“Kapal-kapal dunia, hidupkan semula enjin anda. Biarkan minyak mengalir semula,” katanya menerusi media sosial.
Tidak lama kemudian, Iran mengumumkan perjanjian baru dengan Amerika itu menandakan “pengakhiran serta-merta” perang antara kedua-dua negara.
“Pengakhiran perang secara serta-merta dan kekal telah diisytiharkan di semua medan termasuk Lebanon,” kata Timbalan Menteri Luar Iran, Encik Kazem Gharibabadi, dalam kenyataan yang disiarkan televisyen negara itu.
Perjanjian itu dijangka dimeterai secara rasmi di Geneva, Switzerland pada 19 Jun ini.
Walaupun teks penuh perjanjian masih belum diterbitkan, pegawai Amerika dan Iran sebelum ini memaklumkan bahawa persetujuan awal tersebut merangkumi gencatan senjata selama 60 hari bagi memberi ruang kepada rundingan lanjut mengenai program nuklear Iran dan penarikan sekatan ekonomi Amerika.
Iran memaklumkan rundingan selama 60 hari antara Teheran dengan Washington akan hanya dimulakan selepas Amerika memenuhi beberapa komitmen utama, khususnya pembebasan dana Iran yang dibekukan bernilai berbilion dolar.
Majlis Keselamatan Nasional Tertinggi Iran pula menyifatkan persetujuan itu sebagai memorandum persefahaman yang menetapkan penghentian segera operasi ketenteraan di semua medan konflik, termasuk Lebanon.
Konflik itu bermula pada Februari lalu selepas Amerika dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran, sebelum Teheran bertindak balas dengan menyerang Israel dan sekutu Amerika di rantau tersebut.
Iran turut menutup hampir keseluruhan laluan kapal di Selat Hormuz, menyebabkan gangguan besar kepada bekalan tenaga dunia.
Amerika kemudian bertindak mengenakan sekatan laut terhadap pelabuhan Iran.
Keadaan itu menyebabkan harga bahan api meningkat di banyak negara dan menjejaskan rantaian bekalan sedunia, termasuk sektor makanan dan baja pertanian.
Naib Presiden Amerika, Encik JD Vance, berkata perjanjian itu dijangka membantu menurunkan kos tenaga dunia untuk jangka panjang.
“Apa yang kami mahu lakukan ialah menurunkan kos tenaga bukan sahaja sekarang, tetapi untuk jangka panjang dan mewujudkan enjin kemakmuran sebenar di Asia Barat,” katanya kepada Fox News.
Menurut beliau, beliau merancang menghadiri majlis pemeteraian perjanjian di Geneva dan tidak menolak kemungkinan Encik Trump turut hadir.
Perdana Menteri Pakistan, Encik Shehbaz Sharif, yang menjadi antara pengantara utama rundingan, turut mengesahkan persetujuan damai telah dicapai.
“Perjanjian damai telah dicapai. Kedua-dua pihak bersetuju menghentikan operasi ketenteraan secara segera dan kekal di semua medan termasuk Lebanon,” katanya menerusi platform X.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Qatar, Arab Saudi dan Turkey atas peranan mereka membantu proses pengantaraan.
Bagaimanapun, beberapa isu penting masih belum diselesaikan terutama mengenai program nuklear Iran.
Rundingan mengenai nasib stok uranium diperkaya Iran dijangka menjadi tumpuan utama dalam rundingan susulan.
Encik Trump sebelum ini menegaskan bahawa perang tersebut perlu bagi menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear, walaupun Teheran berulang kali menafikan mempunyai cita-cita sedemikian.
“Apabila keadaan benar-benar tenang nanti, kami akan masuk dan mengambil ‘debu nuklear’ itu untuk dimusnahkan,” kata Encik Trump pada 13 Jun lalu.
Antara perkara yang masih menjadi pertikaian ialah soal kawalan terhadap Selat Hormuz.
Teheran sebelum ini menegaskan Iran mesti mengekalkan pengaruh terhadap laluan strategik itu, namun Amerika menolak sebarang bentuk kawalan yang boleh menjejaskan kebebasan perdagangan antarabangsa.
Perjanjian damai tersebut hampir gagal pada 14 Jun selepas Israel melancarkan serangan udara ke atas kubu Hezbollah di pinggir Beirut sebagai tindak balas terhadap serangan roket kumpulan itu.
Encik Trump dilaporkan berang dengan tindakan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, yang menurutnya hampir menggagalkan rundingan.
Dalam wawancara dengan syarikat media digital, Axios, Encik Trump berkata beliau sangat marah terhadap tindakan Israel.
“Saya sangat marah. Saya sudah beritahu beliau,” katanya.
Serangan Israel itu mencetuskan kebimbangan bahawa konflik boleh kembali memuncak, namun rundingan intensif saat akhir yang diketuai Qatar berjaya meredakan ketegangan. – Agensi berita.
“
“Perjanjian damai telah dicapai. Kedua-dua pihak bersetuju menghentikan operasi ketenteraan secara segera dan kekal di semua medan termasuk Lebanon.”